Isnin, 6 Januari 2014

BELAJAR AL-QURAN SECARA FREE - Note 3 (06/01/2014)



NOTA 3 – ILMU TAJWID SECARA UMUM

1.      Pengenalan

Ilmu tajwid yang diulaskan dalam laman web ini berdasarkan fahaman menerusi buku yang bertajuk “Ilmu Tajwid Menurut RIWAYAT HAFS ‘AN ‘ASIM Melalui TORIQ ASY-SYATIBIYYAH” (Oleh Surur Shihabuddin An-Nadawi)  dan “Al-Quran dan Terjemahannya” (oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran Indonesia).

2.      Ilmu Tajwid Secara Umum

a.       Rasulullah s.a.w. sangat menitik beratkan pembacaan Al-Quran dengan betul dan tepat sebagaimana dengan firman Allah:

“Bacalah Al-Quran itu dengan tartil (bertajwid)”. (Al-Muzammil:4)

b.      Rasulullah s.a.w. diperintahkan supaya tidak tergesa-gesa membaca Al-Quran seperti firman Allah:

“Janganlah engkau (wahai Muhammad) - kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaan itu;” (Al-Qiyamah: 16-18)

c.       Rasulullah s.a.w. sangat berhati-hati dalam menjaga kesahihah bacaannya seperti disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya:

“Adalah (Jibril a.s) mengemukakan kepada Nabi s.a.w. bacaan Al-Quran sekali setiap tahun (yakni pada bulan Ramadan). Maka pada tahun baginda wafat dikemukakan kepadanya dua kali. Adalah Nabi s.a.w. beriktikaf 10 hari setiap tahun (yakni pada bulan Ramadan). Maka pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf 20 hari.” (Hadis ke 4614 Sahih Al-Bukhari).

d.      Rasulullah s.a.w. pula mengajar dan menurunkan bacaan Al-Quran secara “talaqqi” dan “musyafahah” kepada para sahabatnya sebagaiman bacaan yang beliau terima dari Jibril a.s tanpa mengubahnya.

e.       Beberapa orang sahabat yang berkelayakan dan berkeahlian dalam pembacaan Al-Quran dan perlunya dipelajari daripada mereka ialah seperti dari sebuah hadis daripada Abdullah Ibnu ‘Amr bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Ambillah bacaan Al-Quran itu dari empat orang iaitu; Abdullah Ibnu Mas’ud, Salim, Mu’az bin Jabal dan Ubai bin Ka’ab”. (hadis ke 4615 dari Sahih Al-Bukhari).

f.       Pembacaan Al-Quran itu punyai ciri dan cara tersendiri mengikut para sahabat seperti yang disebut  dalam hadis di atas, dan ciri dan cara inilah yang kemudiannya dinamakan sebagai ilmu “TAJWID” dan juga ilmu “QIRAAT”.

Nota 1, Nota 2, Nota 4

Wallahualam