Ahad, 3 Jun 2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 16

ALLAH S.W.T telah menurunkan ayat-ayat al-Quran sebagai panduan kepada manusia untuk kemaslahatan hidup mereka. Kajian terhadap kandungan al-Quran akan menemui pelbagai ilmu baru sebagaimana kenyataan al-Quran bahawa tumbuhan-tumbuhan juga dicipta berpasangan. Firman Allah S.W.T:
الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا وَسَلَكَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْ نَبَاتٍ شَتَّىٰ
"(Dialah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan dan Dia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan untuk lalu-lalang. Dia juga yang telah menurunkan hujan dari langit. Maka, Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis pasangan tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya."
[Thaha: 53]
Pada zaman dahulu, manusia tidak mengetahui bahawa tumbuhan juga mempunyai pasangan jantan dan betina sebagaimana manusia dan binatang. Setelah itu, ilmu botani di zaman moden telah menjumpai adanya jenis jantan dan betina pada tumbuhan. Malah tumbuhan yang mempunyai kedua-dua jantina (unisexual), mempunyai kedua-dua elemen yang jelas perbezaannya antara jantan dan betina. Hal ini sebenarnya telah dinyatakan dalam al-Quran sejak lebih 1,400 tahun lampau.
Jika kita membaca kajian-kajian tentang perkembangan kehidupan tumbuh-tumbuhan, maka kita dapati pada buah yang dihasilkan adalah produk terakhir daripada sistem pembiakan tumbuh-tumbuhan berperingkat tinggi. Peringkat sebelum menjadi buah adalah bunga yang mempunyai organ jantan dan betina. Apabila debunya dibawa ke bunga, ia menjadi buah. Oleh kerana itu, semua buah-buahan juga menunjukkan adanya organ jantan dan betina.
Pada hakikatnya, setiap makhluk yang diciptakan adalah berpasangan ini baru terbongkar pada abad ke-19. Seorang Ilmuwan Barat, Paul Dirac, dalam penelitiannya berhasil menemukan bahawa seluruh benda yang ada di alam semesta sampai partikel terkecil yang tidak terlihat oleh mata kasar, ternyata juga mempunyai pasangannya. Hasil kajian berkenaan, beliau telah dianugerah Nobel dalam bidang fizik pada tahun 1933.
Penemuan demi penemuan baru telah diketemui oleh para pengkaji pada zaman kini setelah adanya alat-alat canggih. Namun, pada hakikatnya penemuan ini telah lama disebut dalam al-Quran dan hanya dijumpai oleh golongan yang tafakkur serta tafaqquh ayat-ayat Allah S.W.T.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
16 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 1/6/2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan