TAFAKKUR hari ini masih meneliti keagungan ciptaan Allah di langit dan bumi. Setiap kajian yang dilakukan bersandar kepada ayat al-Quran pasti akan membuahkan pengetahuan yang sangat luar biasa dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada jiwa manusia.
Allah telah menjelaskan kepada manusia tentang kekuasaan-Nya mencipta langit dan bumi dalam enam masa sebagaimana ayat:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۗ وَلَئِنْ قُلْتَ إِنَّكُمْ مَبْعُوثُونَ مِنْ بَعْدِ الْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ
"Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang Arasy-Nya berada di atas air. Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) berkata: bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati, tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata."
[Hud: 7]
Jika diteliti kepada pendapat para Mufassirun dalam mentafsirkan ayat berkenaan, bahawa yang disebut dengan 'sittati ayyaamin' itu adalah enam tahap atau proses penciptaan. Ia bukanlah enam hari sebagaimana hari-hari kita sekarang ini walaupun di sana ada pendapat Ulama yang turut menyatakan ia adalah seumpama enam hari biasa cuma peredarannya adalah dalam ilmu Allah yang tiada siapa mengetahuinya.
Sayyidina Ibnu Abbas, Mujahid dan al-Dhahhak berpendapat bahawa enam masa tersebut tidak seperti masa kehidupan kita bahkan setiap satu masa atau satu hari itu bersamaan dengan 1,000 tahun hari yang biasa.
Para Saintis Islam menyatakan bahawa hari atau fasa pertama penciptaan langit dan bumi dimulai dengan sebuah ledakan besar (Big Bang) sekitar 12 hingga 20 juta tahun lalu. Kemudian fasa kedua bermula proses pembentukan langit. Langit dilihat berwarna biru adalah disebabkan pantulan cahaya matahari oleh partikel-partikel di atmosfera.
Pada fasa ketiga berlaku penciptaan alam semesta melalui proses penciptaan tata suria termasuk bumi. Setelah bumi dicipta, pada fasa keempat berlaku pemadatan di kerak bumi seterusnya ia menjadi dasar lautan dan daratan. Kemudian hadirnya air dan atmosfera di bumi yang menjadi syarat terciptanya kehidupan di bumi pada fasa kelima.
Setelah itu, berlakulah fasa keenam melalui proses penciptaan alam dengan lahirnya kehidupan di bumi yang bermula daripada makhluk bersel tunggal dan tumbuh-tumbuhan. Hadirnya tumbuh-tumbuhan dan Proses Fotosintesis menyebabkan atmosfera bumi mulai terisi dengan oksigen.
Allah turut mengkhabarkan keagungan-Nya tentang awal penciptaan alam semesta sebelum makhluk manusia dan jin diciptakan dan bahawa Arasy Allah telah berada di atas air sebelum penciptaan langit dan bumi. Para Malaikat ada yang memikul Arasy dan yang berada di sekelilingnya bertasbih serta tunduk patuh kepada Allah S.W.T.
Ayat-ayat sebegini sangat perlu ditafakkur serta ditafaqquh kerana ia memberi rasa kerdilnya kita dan dapat melahirkan rasa kepatuhan yang sepenuhnya kepada Allah S.W.T.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
12 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 28/5/2018
12 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 28/5/2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan