RAHMAT Allah S.W.T kepada makhluk di bumi juga dikurniakan melalui penciptaan gunung-ganang dan bukit-bukau. Walaupun fizikalnya seolah-olah tidak bergerak akan tetapi ia sebenarnya berfungsi sebagai pasak bumi daripada bergoncang. Firman Allah S.W.T:
وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْبَتْنَا فِيهَا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ مَوْزُونٍ
"Dan bumi ini Kami bentangkan lalu Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh berdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya."
[Al-Hijr: 19]
Al-Quran memaparkan penciptaan gunung dengan menyebut istilah Jibal dan Jabal sebanyak 39 kali dan dengan kalimah Rawasi sebanyak 9 kali. Mufasirun menyatakan bahawa kalimah Jibal lebih bersifat umum sedangkan Rawasi lebih khusus kepada gunung yang berfungsi sebagai pasak bumi.
Gunung-ganang memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan makhluk di muka bumi. Ia menjadi penyeimbang bumi atau pasak bumi bagi menahan bumi daripada bergerak tidak tentu arah. Ilmu geologi moden mengakui kepentingan bukit-bukau serta gunung-ganang sebagai faktor pasak atau penstabil bumi daripada sebarang gegaran, tanah runtuh dan gempa bumi.
Selain itu, penemuan baru para Saintis di bidang Geologi dan Kaji Bumi juga mendapati bahawa bukit-bukau dan gunung-ganang sememangnya mempunyai akar yang jauh lebih dalam ke dasar bumi berbanding dengan puncaknya. Hal ini menjadikan pergerakan bumi stabil dan tidak bergoncang.
Pada hakikatnya gunung-ganang dan bukit-bukau turut bertindak sebagai span di mana air hujan akan terkumpul di dalam lingkungan tanah tinggi. Sekiranya kawasan ini diganggu secara berleluasa tanpa perancangan dan kawalan, ia akan menyebabkan penyerapan air yang berlebihan ke dalam tanah seterusnya melemahkan kekuatan bahan tanah secara beransur-ansur. Keadaan ini akan menyumbang kepada risiko berlaku tanah runtuh dan bencana alam lain.
Oleh itu, manusia perlu berkomunikasi secara baik dengan alam semesta termasuk bukit-bukau bagi mengambil manfaat yang Allah jadikan padanya.
Tafakkurlah al-Quran.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
14 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 30/5/2018
14 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 30/5/2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan