Sabtu, 12 September 2009

kasih di hujung rindu part 8

Bab 35 – Khairul

"Farah, dah seminggu sayang begini. Sudah seminggu Farah membisu begini. Abang boleh jadi gila kalau Farah berterusan begini." Aku sudah tidak tahan melihat keadaan Farah yang langsung tidak mahu bercakap denganku. Suaranya hanya kedengaran sewaktu dia bersama-sama dengan anak-anakku.

Seperti biasa, kata-kataku bagaikan angin lalu sahaja padanya. Dia hanya memandang wajahku tanpa bicara dan kemudiannya terus beredar meninggalkan aku terpinga-pinga. Aku sudah tidak tahan menghadapi situasi begini.

"Farah, abang tahu abang telah melukakan hati Farah. Mungkin juga telah memusnahkan hidup Farah, tapi abang minta maaf. Jikalah abang dapat lakukan sesuatu untuk menebus kesilapan abang, katakanlah… abang sanggup lakukan. Asalkan Farah kembali seperti dahulu. Janganlah terus membisu begini."

Kali ini riak wajahnya berubah. Dia kelihatan tersenyum sedikit. Dia kembali memandang wajahku.

"Sebelum abang gila, Farah sudah gila dahulu. Mungkin juga terus mati lantaran kekecewaan yang amat menyakitkan ini."

Terpana aku mendengar kata-katanya. Lantas aku memeluknya dengan erat. Tetapi tiada reaksi langsung darinya. Aku melepaskan pelukanku perlahan-lahan. Kutatap wajahnya yang sudah dibasahi dengan air mata.

"Please, jangan sebut pasal mati. Abang tak sanggup kehilangan Farah. Abang sayangkan Farah."

"Lebih baik Farah mati daripada hidup menanggung kekecewaan. Lagipun, abang tidak pernah menerima Farah sebagai isteri abang. Hanya sekadar pengasuh buat Farhan dan Azim." Mendatar sahaja dia bersuara. Wajahnya dipalingkan dari memandangku.


"Abang sayangkan Farah, sungguh!"

"Tak, abang tak pernah sayangkan Farah. Kata-kata abang dusta dan hanya lakonan semata-mata." Nampaknya sudah hilang kepercayaannya buatku. Sedikitpun kata-kataku tidak memberi kesan padanya. Dia benar-benar amat membenciku.

Selepas menuturkan kata-kata itu, dia terus berlalu dariku. Dia mendapatkan Farhan dan Azim yang sedang leka menonton tv. Dia kemudiannya terus bergurau dengan anak-anakku. Mereka bergelak ketawa. Aku hampir gila melihat keadaannya sekarang. Aku tahu dia mengalami tekanan perasaan yang amat teruk tika ini.

Dia berlagak selamba di hadapan anak-anak untuk menutup kekecewaan yang merajai di hatinya tika ini. Bagaimana dia boleh setabah itu? Aku semakin kagum dengan wanita ini. Namun apalah gunanya sekarang, kami diibaratkan dua insan yang begitu asing walaupun tinggal serumah. Aku seolah-olah tidak wujud langsung di sini. Kami sudah terpisah jauh, teramat jauh sebenarnya.

Bab 36 – Farah

Apa sudah terjadi di dalam bilikku ini? Kosong sahaja. Ke mana semua barang-barangku? Almari baju juga sudah dikosongkan. Apa makna semuanya ini? Apakah dia mahu menghalau aku dari sini? Dia sudah membenci diriku? Dan ingin membuang aku dari kehidupannya?

"Farah." Terdengar suaranya memanggilku dari luar dengan diiringi ketukan di pintu. Aku bergegas membuka pintu.

"Apa abang dah buat dengan barang-barang Farah? Abang hendak menghalau Farah dari rumah inikah?

" Kataku sejurus membuka pintu. Suaraku sedikit meninggi. Dia sedikit terkejut dengan tutur kataku.

"Maafkan abang. Abang tak bermaksud begitu. Cuma emak dan ayah akan tiba tak lama lagi. Jadi, mereka akan tinggal di bilik Farah. Atas sebab itulah abang mengemas semua barang-barang dan pakaian Farah tanpa memberitahu Farah dahulu." Penerangannya melegakan hatiku. Kemarahanku sedikit kendur apabila mendengar penjelasannya itu. Aku sedikit menyesal di atas tindakan terburu-buru aku tadi.

"Abang sepatutnya telefon Farah dahulu. Biar Farah kemaskan semua barang dan pakaian Farah." Suaraku mulai kendur, tidak seperti mula-mula tadi. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini aku mudah marah dan adakalanya amat sensitif terhadap perkara-perkara remeh. Sedangkan dahulu, perkara tersebut sedikitpun tidak menjadi soal bagiku.

"Abang sudah cuba hubungi Farah, tapi orang di pejabat beritahu Farah sedang bermesyuarat dan tak tahu bila akan tamat. Untuk menunggu Farah pulang, rasanya tak sempat. Jadi, abang rasa biarlah abang sahaja yang lakukan." Berhati-hati dia memberi penjelasan di atas tindakannya itu. Aku menganggukkan kepalaku tanda menyetujui tindakannya itu.

"Abang letak di mana barang-barang Farah?" Aku kemudiannya berpaling lalu duduk di birai katil. Dia
masih lagi berdiri di ambang pintu bilik.

"Abang bawa masuk ke dalam bilik abang." Bagaikan terkena kejutan elektrik, aku terus bangun berdiri.

"Bawa masuk ke bilik abang? Jadi, malam ini Farah tidur di mana?" Aku tahu soalan aku agak kebodoh-bodohan, walhal aku sudah tahu jawapannya. Dadaku berdebar-debar. Hatiku mula gusar.

"Nampaknya Farah kena tidur dalam bilik abanglah selama mak dan ayah di sini." Jawabnya lalu beredar
meninggalkan aku sendirian di dalam bilik.

Setelah apa yang berlaku di antara kami dua bulan yang lalu, kini kami terpaksa tidur sebilik. Aku tak
mahu!!! Aku tak mahu!!! Kerana ini akan mengingatkan kembali 'kesilapan' yang terjadi di antara kami. Luka dahulu masih lagi berdarah, pedihnya masih terasa. Mana mungkin aku boleh tidur dengan tenang jika sebilik dengannya.

Sedang aku mengelamun seorang diri di dalam bilik, telingaku terdengar bunyi riuh-rendah suara Farhan dan Azim. Aku terdengar suara yang seakan-akan pernah aku dengar sebelum ini. Aku terus keluar dari bilik dan menjengah dari atas. Emak dan ayah sudah sampai! Aku bergegas menuruni tangga dan mendapatkan mereka yang baru sahaja masuk ke dalam rumah. Aku menyalami tangan kedua-dua ibu dan ayah mertuaku.

"Baru balik dari pejabatkah Farah?" Ayah menyoal aku ketika aku menyalaminya. Kemudian aku beralih kepada emak untuk menyalaminya. Tepat pada sangkaanku, air muka emak menggambarkan kebenciaan yang tidak pernah surut. Salamku disambut acuh tak acuh sahaja. Namun aku tetap memaniskan mukaku di hadapannya.

"Ya, ayah. Baru saja sampai." Balasku lalu membantu mengangkat beg pakaian dari tangan emak. Farhan dan Azim sudah menarik opahnya duduk di sofa. Aku biarkan sahaja mereka melepaskan rindu terhadap opah mereka.

"Sudah agak lama kami tak datang ke sini. Rasanya dalam setahun, kan maknya?" Ayah berpaling ke arah emak yang sedang mengipas-ngipas badannya dengan selendang yang sudah dilucutkan dari kepalanya.

"Lebih kurang begitulah." Mendatar sahaja percakapan emak. Aku pula terus meminta diri ke dapur untuk
menyediakan minuman. Farhan dan Azim amat gembira dengan kedatangan datuk dan opah mereka. Suara anak-anakku itu jelas kedengaran dari dapur.

"Ada apa-apa yang boleh abang tolong?" Tiba-tiba sahaja Khairul bersuara di belakangku. Aku menolehnya sekilas.

"Ermm.. tolong aturkan cawan atas dulang." Jawabku tanpa memandang wajahnya Entah mengapa semenjak peristiwa dua bulan lepas, aku seakan hilang rasa hormat padanya. Namun dia tetap sabar melayani karenahku. Bukannya aku tidak merasa bersalah dengan tindakanku ini, namun apabila mengingatkan kata-katanya dahulu, langsung hilang perasaan simpatiku terhadapnya. Perasaan marah, sedih dan benci berpadu menjadi satu. Rasanya sudah hilang perasaan kasih dan sayangku buatnya. Aku gagahkan diri untuk bertahan di dalam rumah inipun, hanya mengenangkan Farhan dan Azim sahaja. Selain itu, tiada apa lagi yang dapat menahan aku dari terus tinggal di dalam rumah ini.

"Abang harap Farah dapat memberikan kerjasama pada abang. Abang tak mahu ayah dan emak menghidu apa yang sudah terjadi di antara kita berdua. Abang tak mahu mereka risau." Aku hanya mendiamkan diri. Aku menyibukkan diri membancuh minuman buat emak dan ayah. Dia mendekati aku lalu berdiri di sisiku. Aku buat-buat tidak menyedari kehadirannya di sisi.

"Abang tak perlu risau. Semuanya akan seperti biasa." Balasku lalu meletakkan jag air di atas dulang lalu
aku mengangkat dulang tersebut keluar ke ruang tamu.

Bab 37 – Khairul

Dengan kehadiran emak dan ayah ke rumahku, ini bermakna Farah terpaksa berkongsi bilik denganku. Namun, sejak tiga hari kedatangan emak dan ayah maka tiga hari jugalah dia tidur bersama Farhan dan Azim di bilik mereka. Dia hanya masuk ke bilikku untuk mandi, solat dan menyalin pakaiannya sahaja.

Pada mulanya, aku amat tidak menyetujui caranya itu kerana mungkin emak dan ayah akan mengesyaki sesuatu telah terjadi antara kami berdua tetapi apabila dia berkeras juga, aku membiarkan sahaja. Entah mengapa, perangainya sejak akhir-akhir ini amat berlainan. Dia menjadi seorang yang mudah marah dan sudah pandai merajuk. Kadang kala agak mencabar kesabaranku.

Setelah aku menghabiskan wiridku, Farah baru sahaja selesai bersiram. Dia keluar dari bilik mandi dengan hanya berkemban. Aku terkejut menatap penampilannya buat pertama kali sejak kami bergelar suami isteri. Dia juga terpempan melihat aku.

Dia tidak bergerak-gerak dari depan pintu bilik air. Air menitis dari hujung rambutnya yang masih lagi
kebasahan. Dadaku berdebar-debar melihat wajah isteriku yang kelihatan amat jelita.

Tanpaku sedari, kakiku menapak perlahan-lahan menghampirinya. Dia tetap berdiri tegak di situ dan memegang tuala yang membalut tubuhnya dengan kemas. Apabila tanganku mahu menjamah bahunya, dia mengundurkan langkahnya ke belakang.

"Jangan ulangi ‘kesilapan’ yang sama seperti dua bulan yang lalu." Ujarnya lalu terus menghampiri almari lalu dibukanya.

Aku seakan baru tersentak dari keasyikkan yang panjang. Cepat-cepat aku beristighfar. Aku menghampirinya lalu menyentuh bahunya yang lembap. Tetapi, cepat-cepat dia menjauhkan dirinya.
"Sorry, abang bukannya lakukan apa-apa pada Farah cuma…"

"Cuma apa?"

"Abang rasa, sudah sampai masanya untuk kita berdamai. Perangai Farah amat berlainan sekarang. Tidak seperti yang abang kenali dulu."

"Jadi, apa abang mahukan lakukan?"

"Okey, abang minta maaf di atas kata-kata abang dulu hingga membuatkan Farah menjauhkan diri dari abang. Abang tak boleh hidup dengan keadaan Farah begini. Kemuraman Farah menyeksa perasaan abang. Abang rindukan Farah yang dahulu. Farah yang sentiasa tersenyum, sentiasa ramah dan penyayang. Kini semuanya begitu kontras sekali." Aku meluahkan apa yang terbuku di hatiku sejak sekian lama. Dia agak terkejut dengan kata-kataku. Dia tidak menjawab kata-kata sebaliknya kembali menggeledah almari pakaian. Setelah mengambil sepasang pijama berwarna biru kepunyaannya, dia terus menuju ke dalam bilik air semula.

Tidak berapa lama kemudian, dia keluar dari bilik air dengan sudah siap berpakaian pijama birunya. Kemudian dia mengeringkan rambutnya dengan mengguna tuala. Aku hanya memerhatikan gelagatnya. Diriku langsung tidak diperdulikan. Terasa begitu sakit diperlakukan sebegini. Selesai mengeringkan rambut, dia menyisir rambutnya yang ikal melepasi bahu.
"Farah, tidur di bilik abang ya malam ini." Pintaku lalu menghampirinya. Aku meramas-ramas lembut bahunya. Namun, sedikitpun dia tidak memandang wajahku.

"Tak mengapalah, bang. Farah boleh tidur di bilik Farhan dan Azim sahaja." Jawapannya amat mengecewakan hatiku.

"Tak perlulah ke bilik anak-anak. Tidur di sini sahaja." Pintaku sekali lagi. Kedengaran dia mengeluh.

"Farah tak mahu akan berlaku satu lagi ‘kesilapan’." Ujarnya bersahaja lalu cuba bangun dan bersedia untuk ke bilik Farhan dan Azim.

"Farah, abang ingin menjernihkan perhubungan kita. Andainya ‘kesilapan’ dahulu telah mengeruhkan perhubungan kita, abang harap dapat menjernihkannya dan mengembalikan kegembiraan dalam keluarga kita. Kita masih belum terlewat untuk itu." Aku amat mengharap Farah memahami kata-kataku. Dia berpaling kepadaku lalu tersenyum sinis.

"Ianya sudah terlewat bang. Hati Farah sudah hancur… hancur bang." Setitis air mata gugur dari kelopak matanya.

Bab 38 – Farah

Berderau darahku setelah mendengar permintaan dari emak. Aku memandang wajah Khairul di sebelahku. Dia juga agak terkejut dengan kata-kata emak. Perlahan-lahan dia menggenggam tanganku.

"Apa salahnya kalau Farah bekerja emak. Lagipun selama kami berkahwin, belum pernah dia abaikan Farhan dan Azim. Anak-anak saya dijaga dengan elok. Lagipun budak-budak sendiri tak merungut." Nampaknya Khairul membelaku. Aku menarik nafas kelegaan. Permintaan emak agar aku berhenti kerja dan mengasuh Farhan dan Azim amat tidak dipersetujui olehku.

"Habis tu, masa kau kahwin dengan dia dulu alasan kau agar dapat jaga anak-anak kau. Kalau hendak jaga anak-anak kau, kenalah berhenti kerja dan tumpukan pada rumahtangga." Emak tetap berkeras dengan keputusannya. Aku semakin gelisah. Aku menjeling kepada Khairul di sebelahku. Dia hanya tersenyum melihat gelagatku. Aku mengetap bibir kegeraman.
"Memanglah pada mulanya dulu saya kata begitu. tapi, tak salah kalau Farah bekerja. Lagipun apa gunanya dia belajar tinggi-tinggi kalau akhirnya perapkan saja ijazah dia tu." Emak menjeling ke arah Khairul.

"Kau asyik menangkan isteri kau saja." Rungut emak perlahan. Khairul ketawa kecil lalu menarik aku ke dalam pelukannya. Semenjak kedatangan emak dan ayah, dia menonjolkan sikap romantiknya terhadapku secara terang-terangan di hadapan mereka. Kadang kala tak semena-mena dia mengucup pipiku di hadapan emak dan ayah. Tersipu-sipu aku menahan malu di hadapan ayah dan ibu mertuaku.

Aku hanya mendiamkan diri. Aku membiarkan Khairul menjawab bagi pihak diriku. Aku tahu, dia mengetahui gelodak yang sedang berkocak di dalam perasaanku tika ini. Melihatkan dia bersungguh-sungguh mempertahankan dirik, aku merasa amat terharu. Walaupun mendapat layanan dingin dariku, dia tetap tidak berubah malah semakin hari semakin cuba untuk memenangi hatiku.

"Beginilah emak, Farhan dan Azim semakin membesar dan sudah pandai untuk menguruskan diri sendiri. Sementara Farah masih belum mengandung, biarlah dia bekerja dulu. Saya janji, bila dia sudah mengandung nanti, saya sendiri akan buatkan surat pemberhentian kerjanya." Terpempan sebentar aku mendengar kata-kata suamiku itu. Aku mencubit tangannya lalu menarik muka masam.
"Aduh!! Ada ketam rupanya dalam rumah nie." Ujarnya berseloroh lalu ketawa kecil. Ayah yang menyedari gelagatku pula ketawa besar.

"Betul kata Khairul tu Limah. Sementara Farah belum berisi, biarlah dia bekerja dulu. Lagipun orang perempuan zaman sekarang lebih suka bekerja. Walaupun mereka keluar bekerja, tak semestinya mereka mengabaikan rumahtangga." Kata-kata ayah hanya disambut dengan cebikan bibir emak. Ayah tersenyum lalu menggeleng-gelengkan kepala melihat gelegat emak. Setelah mendengar kata-kata ayah, emak tidak menyahut sebaliknya terus beredar dari situ. Hatiku terasa dengan perbuatan emak namun aku pendamkan sahaja di dalam dati.

"Sudahlah Farah. Kau jangan ambil hati sangat dengan cakap mak kamu tu. Dia memang macam tu, tapi niat dia baik. Dia sebenarnya mahu cucu-cucunya terurus. Tapi, ayah faham keadaan kamu. Kamu lebih suka bekerja. Lagipun, dapat juga membantu dalam urusan kewangan keluarga kamu." Ayah cuba untuk memperbetulkan keadaan.

"Tak mengapa ayah. Farah faham dengan niat emak tu. Cuma Farah belum terasa mahu berhenti lagi.
Insyaallah, kalau sampai masanya nanti, Farah akan berhenti juga." Ayah hanya menganggukkan kepalanya tanda faham dan kemudian meminta diri. Dia menuju ke halaman rumah sambil mendukung Azim.

"Abang tak kisah kalau Farah hendak terus bekerja. Abang takkan halang. Dengan gaji abang sekarang sudah cukup untuk menyara keluarga kita. Tapi, abang tahu Farah takkan bersetuju jika abang mahu Farah berhenti kerja. So, terpulanglah pada Farah sendiri. Asalkan jangan abaikan tanggungjawab Farah dalam rumah ini, sudahlah." Khairul memberikan kata-kata semangat buatku. Terharu dengan bicaranya.

"Terima kasih bang kerana tidak mendesak Farah. Tapi, emak…" Kata-kataku terhenti di situ. Aku memandang wajahnya.

"Jangan risau. Emak akan faham suatu hari nanti." Ujarnya lalu mengemaskan rangkulan tangannya di
pinggangku.

"Tapi kenapa abang beri syarat begitu pada emak?" Aku mempersoalkan kembali syarat yang diutarakan kepada em ak. Aku cuba meloloskan diri dari rangkulannya, tapi tidak berjaya. Semakin erat pula rangkulannya hingga aku berasa tidak selesa.

"Hanya itu yang terlintas dalam fikiran abang." Dia ketawa kecil.

"Kenapa? Gelisah saja?"

"Abang peluk kuat sangat, sakitlah!" Desisku perlahan dan cuba meleraikan rangkulannya sekali lagi tapi
tidak berjaya.

"Tak apalah. Bila lagi nak peluk Farah macam nie. Malam-malam asyik peluk bantal saja."

"Isy… gatallah abang nie!" Pipiku mula merona merah. Apa kena dengan dia nie? Semakin berani mempamerkan kemesraan terhadapku. Kadang-kala sedikit sebanyak memberi kesan di hatiku. Namun, apabila memikirkan kata-katanya dulu… argghhhh…
"Farahlah tolong garukan. Emmm… tidur dalam bilik abang ya malam ini?" Dia tidak henti-henti memujuk aku kembali ke biliknya. Namun, hatiku masih belum dapat menerima ucapan maaf darinya.

Aku tidak menjawab sebaliknya aku terus mengrungkaikan rangkulannya dan cepat-cepat beredar dari sisinya. Aku bukannya barang permainan yang boleh kau gunakan sesuka hatimu. Aku manusia, ada perasaan. Setelah hatiku kau guris hingga robek, kau cuba untuk sembuhkannya dengan menambahkan lagi kelukaannya. Maafkan Farah, abang. Terlalu sukar untuk Farah menerima abang lagi. Biarlah kita begini saja. Demi Farhan dan Azim, Farah akan setia di sini sebagai ibu mereka dan bukannya sebagai isterimu walaupun hak Farah itu sudah kuhulurkan kembali padaku. Namun untuk menerimanya setelah apa yang berlaku, tidak mungkin!

Bab 39 – Farah

Aduh!!! Berdenyut-denyut kepalaku. Sejak pagi lagi ianya berdenyut. Aku kirakan bila sudah sampai di
pejabat, sakitnya akan berkurangan. Nampaknya semakin menjadi-jadi hingga aku terpaksa berbaring di bilik rehat.

"Tak kurang lagi sakitnya?" Sapa Hanim yang datang menjengukku di bilik rehat. Aku membuka mataku. Dia sedang menghulurkan segelas air suam padaku. Aku cuba bangun dari pembaringan tapi sebaik sahaja aku cuba bangun terasa berpusing keadaan sekelilingku. Aku kembali berbaring sambil memicit-micit dahiku.

"Belum, agaknya migrain aku datang baliklah." Ujarku perlahan. Kemudian terasa tangan Hanim membantuku memicit kepalaku. Aku membiarkan jari-jemarinya bermain-main di kepalaku.

"Aku panggil Khairul ya. Minta bawa kau ke klinik." Pinta Hanim.

"Jangan, sikit aje nie. Lagipun dia tak ada di pejabat. Dia out-station tiga hari. Kejap lagi baiklah. Lagipun aku dah telan panadol tadi. Kalau aku dapat tidur sekejap, oklah." Aku enggan membenarkan Hanim memberitahu Khairul.

"Hanim, aku risaulah. Mak mertua aku mahu aku berhenti kerja."

"Kenapa pula?" Ternyata Hanim amat terkejut dengan berita yang aku bawa.

"Dia mahu aku duduk di rumah dan mengasuh cucu-cucunya. Tapi, aku keberatanlah nak berhenti. Aku suka dengan kerja aku nie. Tapi, dia berkeras sangatlah." Aduku pada Hanim. Pening kepalaku sedikit lega apabila mendapat urutan dari Hanim. Aku cuba bangun dengan dibantu oleh Hanim.

"Agaknya kau terlalu fikirkan pasal hal itulah sampai kau sakit macam nie?" Duga Hanim.

"Agaknyalah. Tapi, aku dah buntu. Tak tahu apa yang perlu aku katakan."

"Mintalah Khairul Bantu kau pujuk emak dia. Takkanlah tak boleh tolong isteri sendiri."

"Sudah. Malah dia sendiri yang memberi syarat pada mak dia. Syaratnya, selagi aku tidak mengandung, selagi itulah aku boleh bekerja. Tapi, mak dia tak jawab apa-apa. Itu tandanya dia tetap dengan keputusannya mahukan aku berhenti kerja. Aku tak mahu berhenti. Aku sayangkan kerja aku." H ampir menangis aku apabila menceritakan kepada Hanim. Hanim turut muram melihat keadaanku begini.

"Ikut sajalah kata-kata emak mertua kau tu."

"Tak boleh Hanim. Hal-hal lain, aku boleh berunding. Tapi kalau soal kerja, aku rasa ralat sedikit. Aku ada tanggungjawab sendiri. Sekarang aku bertanggungjawab pada mak dan abah aku. Tiap-tiap bulan aku hantar duit pada mereka. Kalau aku berhenti nanti, macam mana aku hendak hantar duit pada mereka setiap bulan. Takkanlah aku mahu minta Khairul pula yang buat begitu. Sekurang-kurangnya aku dapat ringankan beban dia." Tungkasku. Kepalaku kembali berdenyut-denyut. Tiba-tiba sahaja perutku bergelodak. Bagaikan mahu terkeluar semua isi perutku.

Aku pantas berlari ke sinki. Di situ aku memuntahkan segala isi perutku. Hanim menggosok-gosok belakangku. Setelah beberapa ketika, barulah aku berhenti. Terasa ringan kepalaku setelah muntah. Aku berkumur untuk mencuci mulutku. Tercungap-cungap aku seketika. Dadaku berombak kencang.

"Sudah, ikut aku ke klinik sekarang!" Tanpa sebarang bantahan, aku terus membontoti Hanim.

************************************************************************

"Tahniah puan! Puan bakal menjadi seorang ibu dalam masa enam bulan dari sekarang." Berseri-seri wajah Doktor Salmah sewaktu mengkhabarkan berita gembira itu sedangkan aku bagaikan bermimpi. Terpaku aku mendengar kata-katanya itu.

"Saya mengandung?" Soalku meminta kepastian sekali lagi.

"Ya, puan mengandung. Anak sulung?"

Aku hanya tersenyum lalu mengorak senyuman hambar. Terasa badanku terawang-awang.

"Patutlah… Keadaan seperti ini biasa terjadi pada ibu-ibu yang baru pertama kali mengandung. Jadi, puan perlu…." Doktor Salmah memberi nasihat kepadaku tetapi semua itu bagaikan angin lalu sahaja padaku. Tidak sedikitpun melekat di ingatanku.

Hanya sekali! Hanya sekali sahaja, aku telah mengandungkan zuriatnya. Benihnya sedang berkembang di dalam rahimku. Aku hamilkan anaknya sekarang. Adakah aku gembira? Atau adakah aku tidak mengharapkan kehadiran anak ini? Tetapi, aku memang menginginkan zuriat sendiri. Namun, kehadirannya sekarang sewaktu aku sudah hampir membuang jauh-jauh perasaanku terhadap dia. Bagaimana harus aku lakukan?

Jika aku memberitahunya, sudah tentu aku akan dipaksa berhenti kerja. Aku tak sanggup. Jika ada apa-apa berlaku pada hubungan kami nanti, bagaimana aku mahu meneruskan hidup aku. Aku sayangkan kerja aku di sini. Oh Tuhan!! Berat benar dugaan-Mu padaku. Tidak tertanggung lagi rasanya.

"Puan? Puan Farah?" Tersentak aku dari lamunan yang jauh apabila Doktor Salmah memanggil-manggil namaku.

"Ya… ya!" Sahutku tergagap-gagap.

"Tak ada apa yang perlu puan risaukan. Semuanya akan berjalan seperti biasa jika puan mengikuti nasihat saya tadi." Ujarnya lalu tersenyum senang. Aku membalas senyumannya. Nasihat? Entah apa yang dikatakan oleh doktor ini, aku pun tak tahu. Sedikitpun aku tidak ambil perhatian.

Aku kemudiannya meminta diri. Sebaik sahaja, aku membuka pintu bilik Hanim menerpa kepadaku. Dia
memimpin aku dan mengarahkan aku duduk di kerusi sementara menunggu giliran mengambil ubat.

"Apa kata doktor?" Soalnya tidak sabar.

"Emm… doktor kata perut aku masuk angin. Sebab semalam aku tak makan. Lagipun tekanan darah aku rendah. Itu yang pening-pening tadi." Aku berbohong kepada Hanim. Aku tidak mahu dia mengetahui keadaanku dan akan menghebohkannya kepada rakan sekerja. Yang paling aku takutkan seandainya Khairul sendiri yang mengetahuinya. Nanti, sudah tentu dia akan memaksa aku berhenti kerja.

Aku sayangkan kerja aku. Aku juga sayangkan Farhan dan Azim. Aku tak mahu kehilangan kedua-keduanya. Tamakkan aku dalam membuat keputusan dalam hidupku ini? Atau aku terlalu pentingkan diri sendiri hingga memaksa diriku untuk menyembunyikan tentang kehamilan aku ini. Tapi, kandungan ini semakin hari akan semakin membesar. Bagaimana harus aku sorokkan? Aduh… sakit di kepalaku semakin mencengkam.

Bab 40 – Farah

Aku melangkah lemah keluar dari ker eta. Hanim beria-ia mahu menghantar aku pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatanku. Namun, aku berjaya menyakinkan dirinya bahawa aku masih mampu untuk memandu pulang sendirian. Hakikatnya aku tidak mahu biarkan dia bersua dengan ibu mertuaku. Aku tidak mahu emak membuat tanggapan yang tidak menyenangkan tentang kawanku. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini perangaiku amat berubah sekali. Aku sendiri menyedarinya. Mungkin ini akibat pembawaan bayi yang sedang kukandung.

Sambil melangkah, aku mengusap-usap perutku yang masih tidak mengalami banyak perubahan. Mungkin kerana tubuhku yang tinggi lampai, dapat menyembunyikan keadaan perutku yang sedikit membonjol. Kasihan kau anakku. Kau hadir di kala mama hampir berada di penghujung rindu. Tetapi mama tetap setia di samping papa dan abang-abangmu atau, perlukah mama memilih jalan sendiri? Mama sendiri keliru, anakku!

Sunyi sahaja rumah ini? Mana emak dan ayah? Mana pula Farhan dan Azim. Sejak kedatangan mak dan ayah, aku tidak lagi menghantar mereka kepada pengasuh untuk menjaganya. Sebaliknya emak sendiri yang menawarkan diri untuk menjaga cucu-cucunya.

Aku balik awal hari ini setelah mendapat kelulusan untuk bercuti. Jam menunjukkan angka sebelas ketika
aku tiba di rumah. Pada Khairul tidak aku beritahu. Nasib baiklah hari ini aku membawa kereta sendiri
lantaran Khairul terpaksa ke luar daerah selama tiga hari.

Ke mana agaknya emak dan ayah bawa cucu-cucunya. Mungkin keluar berjalan-jalan agaknya. Biarlah. Aku mahu tidur sebentar. Aku menghenyakkan badan ke sofa untuk melelapkan mata.

Apabila aku membuka mata, jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Sudah empat jam aku terlena seorang diri di ruang tamu. Kepalaku sudah berkurangan sedikit denyutannya. Tapi, keadaan di dalam rumah masih lagi sunyi. Aku mula tidak sedap hati. Bagaikan sesuatu telah terjadi.

Walaupun keadaanku masih lemah, aku gagahkan diri memanjat tangga dan menuju ke bilik Farhan dan Azim. Bilik itu disusun dengan kemas sekali. Setelah melihat k eadaan di dalam bilik anak-anakku seperti biasa, aku menarik pintu. Tetapi, aku baru tersedar bahawa kereta mainan kegemaran Farhan tiada di tempatnya.

Hatiku berdetak kencang. Aku kembali membuka pintu dan kali ini aku melangkah masuk ke dalam bilik. Aku membuka almari pakaian Farhan dan Azim. Hampir kosong almari itu. Kebanyakan baju-baju Farhan dan Azim sudah tiada sedangkan baru semalam aku melipat dan menyusun ke dalam almari ini. Apa yang sudah berlaku dalam rumah ini? Ke mana mereka semua pergi? Mungkin emak dan ayah membawa mereka pulang ke kampung. Tetapi, mengapa aku tidak diberitahu.

Aku bergegas turun ke bawah dan menuju ke telefon. Dengan pantas aku menelefon nombor Khairul. Aku menunggu seketika sebelum talian disambungkan.

"Hello." Khairul menyambut panggilanku.

"Hello, abang! Farah di sini."

"Hah, sayang! Kenapa cemas saja nie?" Kedengaran suara Khairul di hujung talian.
"Abang, Farah tengok baju anak-anak macam banyak dah tak ada. Diaorang pun tak ada di rumah. Mak dan ayah pun begitu. Farah risau kalau-kalau ada benda yang berlaku pada mereka." Hampir menangis aku ketika mengadu padanya.


"Farah di mana sekarang?" Agaknya dia kehairanan. Sepatutnya aku berada di pejabat sekarang.
"Farah di rumah sekarang?" Balasku.

"Kenapa balik rumah? Ada benda yang tertinggal ke?"

"Emmm… Farah dapat mc hari ini." Jawabku sedikit gementar.

"Kenapa? Sayang sakit ke? Kenapa tak beritahu abang?" Suaranya kedengaran cemas. Hatiku mula berdebar-debar.

"Sakit sikit saja. Tekanan darah rendah." Terangku perlahan.

"Kenapa tak beritahu awal-awal. Boleh abang cancel kerja abang di sini."

"It’s okay. Don’t worry about me. Where is our childrens?" Aku semakin risaukan akan Farhan dan Azim.

"Oh, anak-anak mak dan ayah bawa balik kampung. Kebetulan ada kematian di situ. So, mereka rush balik kampung. Abang yang benarkan mak dan ayah bawa mereka balik ke sana. Ayah tak beritahu sayang ke?" Aku menarik nafas lega setelah mendengar penjelasan dari suamiku.

"Lega hati Farah dengar abang kata begitu. Ingatkan…"

"Ingatkan mak dan ayah dan larikan anak-anak?" Serkap Khairul lalu ketawa besar. Nampaknya dia mengetahui kegusaran hatiku.

"Ish… tak adalah." Aku cuba menafikan kenyataan yang timbul di fikiranku tadi.

"Emmm… sayang okay ke? Perlu tak abang balik temankan sayang?" Dia kembali menyoal tentang kesihatanku. Hatiku kembali gelisah.

"Tak mengapa. Sekarang dah lega. Alah… tak perlulah abang risau." Aku cuba menyakinkan suamiku. Aku takut dia akan menyedari perubahan diriku.

"Tapi, sampai dapat mc… mesti terukkan?"

"Taklah. Farah sendiri yang minta mc sebab malas nak ke pejabat hari ini." Dalihku lagi.
"Are you sure?" Soalnya kembali tidak puas hati.

"Yup, hundred percent!" Balasku lalu ketawa kecil.

"Okay, tiga hari lagi baru abang balik. Take care, bye sayang." Aku meletakkan ganggang telefon ke tempatnya semula. Tapi, hatiku masih gusar. Terasa akan sesuatu yang dirancangkan oleh emak. Aku tahu aku tidak sepatutnya menaruh syak wasangka yang begini. Tapi, naluriku kuat mengatakan bahawa emak seolah-olah merancang sesuatu. Tambahan pula, mereka tidak memberitahu kepadaku tentang pemergian mereka. Harap-harap apa yang aku gusarkan ini tidak akan menjadi kenyataan.

Tiba-tiba tekakku terasa mual. Isi perutku kembali bergelodak. Cepat-cepat aku menuju ke bilik air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan