Bab 14 - Farah
"Takkan di Malaysia nie dah tak ada anak teruna, sampai kau nak kahwin dengan duda tu?" Abah bersuara membuatkan perutku seakan kecut. Abah amat jarang berbual-bual denganku. Dan aku amat menghormatinya sehinggakan timbul perasaan takut dalam diriku. Berbeza dengan emak yang begitu akrab denganku.
Aku hanya mendiamkan diri. Aku memandang ke wajah emak yang duduk di sebelah abah. Aku mengerutkan dahi kepada emak agar dia memahami isyaratku supaya membantuku untuk menjawab soalan abah. Tapi, emak buat-buat tidak faham.
Aku menarik nafas seketika sebelum menjawab pertanyaan dari abah.
"Bukan begitu abah. Sudah jodoh saya dengan dia." Jawabku perlahan. Sedikitpun aku tidak berani menentang mata abah.
Abah merengus perlahan. Aku tahu, dia bukannya marahkan aku kerana mahu mengahwini seorang duda tetapi, kalau boleh dielakkan lagi elok. Sedangkan dulu sewaktu emak mengahwini abah, abah juga seorang duda beranak satu. Mungkin dia tidak mahu aku mengikut jejak langkah emak yang mengahwini seorang duda.
"Alah, abahnya... apa salahnya. Bukannya kita tak kenal si Khairul tu. Dah macam anak kita sendiri. Diakan selalu datang bersama dengan arwahnya Linda dulu. Cuma selepas Farah berpindah kerja, kita
langsung tak berjumpa dengan mereka. Sampaikan Linda 'pergi' pun, kita tak tahu." Kata-kata dari emak
membuatkan aku berasa sedikit lega. Memang aku sudah memberitahu pada emak dan abah tentang Linda. Mereka pada mulanya amat terkejut dengan berita yang ku bawa, tetapi mereka akur dengan ketetapan Ilahi.
"Abah bukannya menghalang, tapi abah rasa macam tak sedap hati hendak melepaskan Farah berkahwin dengan dia. Lagipun dia ada anak. Macam mana Farah hendak sesuaikan diri dengan anak-anak tiri. Tengok macam kakak kamu, tak mahu dia tinggal dengan emak kamu nie. Dia lebih rela duduk dengan opah sebelah arwah ibunya. Inikan pula kamu yang akan tinggal serumah dengan mereka. Abah takut kalau kau tak sesuai tinggal dengan budak-budak. Kau tu anak tunggal kami. Mana ada adik-beradik yang lain." Abah meluahkan kesangsiannya terhadap kesanggupan aku untuk menjaga bakal anak-anak tiriku itu.
"Itu abah tak perlu risau. Saya dah berjumpa dengan anak-anak Khairul. Mereka nampaknya menyenangi saya dan malah menganggap saya sebagai ibunya. Mungkin mereka kehilangan seorang ibu sewaktu mereka masih kecil, jadi bila Farah rapat dengan mereka lalu mereka anggap Farah nie ibu mereka." Jawabku berhat-hati. Kali ini aku lebih berkeyakinan untuk menjawab setiap soalan yang diajukan oleh abah.
"Farah pasti dengan jodoh Farah ini?" Soal abah.
"Ya." Jawabku gugup.
"Takkan menyesal kalau apa-apa berlaku di kemudian hari?"
"Tak. Farah takkan menyesal." Jawabku dengan yakin.
Abah mengangguk-anggukkan kepalanya mungkin berpuas hati dengan jawapanku. Dia mengalihkan pandangannya kepada emak pula.
"Macam mana Dah? Awak setuju?"
"Saya tak ada masalah. Mana yang baik pada Farah, baiklah pada saya." Balas emak lalu tersenyum senang.
"Baiklah kalau begitu, nanti kau minta pihak Khairul datang untuk berbincang dengan keluarga kita."
Sebaris ayat yang keluar dari mulut abah amat menggembirakan hatiku. tanpa berlengah-lengah lagi aku terus mencapai telefon bimbitku lalu berlari ke tengah halaman rumah dan mendial nombor telefon Khairul. Tidak sabar rasanya untuk aku menyampaikan berita gembira ini.
"Hello." Kedengaran suara Khairul di corong telefon bimbitku.
"Hai, Farah di sini." Balasku pantas.
"So, apa keputusannya?" Soal Khairul tidak sabar.
"What do you think?" Soalku kembali dengan nada yang agak sedih. Sengaja mahu bergurau dengannya.
"Emmm... I don't know. I hope, positive." Balasnya perlahan. Aku tersenyum. Mesti dia buat muka 'seposen', desisku lalu ketawa kecil.
"You laugh, it;s mean..." Suaranya kembali bersemangat. Kali ini aku ketawa besar dan
memberitahunya bahawa abah dan emakku bersetuju. Cuma menunggu pihaknya datang untuk merisikku secara rasminya.
"How about your mother?" Soalku pula. Aku tahu ibunya tidak begitu menyenangi dengan keputusannya untuk berkahwin lagi. Aku tidak tahu apa yang dikatakan pada ibunya sewaktu memujuk agar merestui perkahwinanya buat kali kedua ini. Cuma dia meminta agar aku jangan risau. Walaupun begitu, sedikit sebanyak aku seperti terasa tempiasnya. Aku tahu aku bakal menghadapi sedikit masalah apabila berdepan dengan ibunya nanti.
"Dia emak aku. Tahulah aku uruskan. Dia sudah merestui perkahwinan kita and she want to see you."
Bagaikan terhenti jantungku apabila mendengar permintaan ibu Khairul.
"Your mother want to see me?" Soalku kepadanya untuk meminta kepastian.
"Yes... she want to see her future daughter-in-law." Kata Khairul mesra.
Aku mendiamkan diri. Aku tahu, aku perlu berjumpa dengan ibunya. Tapi, entah mengapa hatiku berasa tidak enak. Bukannya aku tak pernah berjumpa dengannya sebelum ini. Sewaktu Linda masih ada, sering juga berkunjung ke rumah ibu Khairul. Mungkin kunjunganku kali ini berbeza dari dahulu. Kalau dulu, kunjunganku hanya sekadar kunjungan rakan anaknya, tapi kali ini kunjunganku adalah untuk bertemu dengan bakal ibu mertuaku!
"Takut?" Suara Khairul kembali menerpa ke corong telingaku. Tersentak aku seketika.
"Emmm... no. Nervous!" Balasku. Kedengaran dia ketawa.
"Bukannya kau tak pernah berjumpa dengan emak aku. It's okay, bukannya mak aku nak makan kau." Ucapnya bergurau. Aku hanya tersenyum.
"OK. Abah dan emakku meminta pihak kau datang untuk membincangkan hal kita." Aku cuba mengelak dari terus membicarakan tentang pertemuan di antara aku dan emak Khairul. Entah mengapa, setiap kali mengingatkan wajah emak Khairul, jantung berdebar-debar sahaja.
"Tentang itu, aku akan berbincang semula dengan emak dan ayahku. Tapi, yang penting sekarang ialah... aku perlu bawa kau berjumpa dengan emak dan ayahku."
"Baiklah. Esok aku akan kembali ke sana. Hari Sabtu, selepas waktu kerja... kita pergi berjumpa dengan mak dan ayah kau."
Akhirnya aku memberikan persetujuan untuk berjumpa dengan emak dan ayah Khairul. Aku tahu aku tidak boleh mengelak dari berjumpa mereka berdua. Lambat laun, aku pasti akan berdepan dengan mereka kerana aku bakal menjadi sebahagian dari keluarga itu.
"That's my girl..." Mendengar suara Khairul membuatkan hatiku kembali tenang. Setenang petang yang indah ini.
Aku kegelisahan. Berbagai-bagai persoalan timbul di benakku. Entah mengapa hatiku bagaikan tidak enak untuk menemui emak dan ayah Khairul. Terasa seolah-olah seperti ada sesuatu yang bakal berlaku. Tetapi tidak aku suarakan pada Khairul yang sedang menumpukan perhatiannya pada jalan raya yang tidak begitu sibuk. Aku memandang wajahnya, lama.
"Kenapa?" Soalnya tenang. Agaknya dia perasan aku memerhatikannya agak lama.
Aku hanya menggeleng-gelengkan kepalaku sambil melepaskan keluhan kecil.
"Nervous?" Soalnya lagi. Kali ini ku hanya menganggukkan kepala sambil melemparkan senyuman hambar.
Pantas tangannya mencapai tanganku lalu digenggam erat dan dibawa ke dadanya yang bidang itu.
"Bawa bertenang. Tarik nafas dalam-dalam kemudian hembus. Kita sudah hampir sampai nie. Dalam lima belas minit lagi." Aku tahu dia cuba mententeramkan perasaanku yang agak berkecamuk.
Aku tidak memberi apa-apa reaksi. Sebaliknya aku mengalihkan tumpuanku ke tempat duduk belakang. Farhan dan Azim sedang tidur dengan lenanya. Kasihan anak-anak ini. Selepas tamat waktu kerja tadi, Khairul terus membawa aku mengambil Farhan dan Azim dari rumah pengasuh mereka lalu bergegas meneruskan perjalanan pulang ke kampung Khairul.
Tidak lama kemudian Khairul membelokkan keretanya ke sebuah taman perumahan. Di kiri-kanan kelihatan rumah banglo dua tingkat berdiri dengan megahnya. Sudah lama keluarga Khairul menetap di sini. Semenjak aku mula mengenali mereka dahulu. Selalu juga aku bertandang ke mari. Itupun atas desakan Linda dan Khairul. Aku hanya menurut kata mereka kerana tidak mahu dikatakan sengaja menjauhkan diri.
Memang aku cuba menjauhkan diri dari mereka, terutama sekali Khairul. Dengan melihat kebahagiaan mereka, akan membuatkan hatiku bagaikan disiat-siat. Pedihnya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Maka untuk mengelakkan hatiku dari terus menerus terluka, aku terus mencari peluang kerja di tempat lain agar aku dari lari jauh dari mereka berdua. Akhirnya aku dapat menjawat jawatan jauh di kota dan langsung tidak menghubungi mereka.
Tetapi siapa sangka setelah lima tahun aku menyepikan diri, akhirnya aku bertemu semula dengan lelaki di sebelahku ini yang sekarang memegang gelaran duda beranak dua. Dan sekarang pula aku bakal hidup bersama dengan lelaki yang pernah aku cintai secara dalam diam. Aku sendiri masih tidak percaya dengan lamaran dari lelaki ini. Tapi, aku tahu, dia bersungguh-sungguh dan aku merasakan inilah saat yang paling terindah dalam hidupku.
"Kita suda h sampai." Ucapnya hampir ke telingaku. Aku tersentak dari lamunan. Aku berpaling ke kanan untuk memandang wajahnya. Dia sedang tersenyum kepadaku.
"Come!" Ajaknya lalu membuka pintu keretanya. Begitu juga dengan aku. Kemudian aku membuka pintu belakang kereta Wira itu untuk mengambil Azim yang masih lena. Farhan pula sudah awal-awal lagi berlari masuk ke rumah opah dan atuknya. Aku mengangkat Azim dari pembaringannya. Baru sahaja aku mendukungnya, dia sudah terjaga. Kelihatan dia agak mamai. Aku mengucup pipi gebunya.
Khairul membantu aku untuk menutup pintu kereta. Mukanya berseri-seri. Berbeza dengan diriku yang
kelihatan amat gugup sekali.
"Opah..!! Opah…!! Auntie datang…!!" Kedengaran lunak suara Farhan memberitahu opahnya akan kedatanganku. Ini membuatkan aku bertambah gementar. Khairul yang memahami keadaanku, menggenggam erat tanganku lalu dikucupnya lembut. Terpana sebentar aku dengan perbuatannya. Tapi yang pastinya ia dapat meredakan sedikit debaran kencang di dadaku.
Aku telah sampai di ambang pintu banglo putih itu. Aku memberikan salam. Seketika kemudian terdengaran suara perempuan menjawab salamku. Aku tahu itu suara Puan Fatimah, ibu Khairul. Aku menanti kemunculan ibu Khairul dengan sabar.
"Sudah sampaipun orang yang ditunggu-tunggu." Muncul Encik Said, ayah Khairul yang menyambut aku dan Khairul di pintu. Dia melemparkan senyuman mesra buat kami. Aku membalas dengan seadanya.
"Apa khabar pak cik?" Soalku ramah.
"Baik... baik… Jemputlah masuk."
Dengan bismillah aku melangkah masuk ke dalam rumah itu. Keadaannya sudah berubah. Perhiasan, perabot dan juga susun aturnya malah catnya jug sudah berganti dengan warna lain. Yalah, sudah lima tahun aku tidak ke sini.
"Mak cik kamu ada di dapur. Apa lagilah yang dibuatnya di dalam sana. Bukannya hendak menyambut bakal menantu." Beritahu ayah Khairul.
Aku tersenyum malu apabila mendengar perkataan ‘bakal menantu’ yang keluar dari mulut ayah Khairul.
Tidak lama kemudian, Farhan datang menerpa kepadaku. Azim pula masih berada di pangkuanku.
"Mari sini pada atok." Ayah Khairul menghulurkan tangannya untuk mengambil Azim dariku. Tetapi, Azim
pantas merangkul leherku.
"Amboi… mentang-mentanglah dah dapat mama baru, dengan atok pun dah tak mahu kawan." Seloroh ayah Khairul sambil tangannya memegang tangan Azim. Azim menjerit keengganan. Semakin erat dia merangkul leherku. Akhirnya ayah Khairul mengalah. Dia menarik Farhan lalu mengangkatnya dan diletakkan di atas pangkuannya.
"Apa khabar mak cik?" Ucapku apabila aku melihat emak Khairul sedang jalan menuju ke arah kami di ruang tamu.
"Khabar baik. Sudah lama kamu tak datang ke sini ya?" Balasnya lalu melabuhkan punggungnya di sebelah ayah Khairul. Tiada senyuman di bibirnya.
"Emmm… dah lama juga. Sudah lima tahun." Jawabku gugup.
"Linda meninggal pun kamu tak datang." Katanya lagi. Aku pula mula terasa bahang di dalam perbualan kami.
"Yang sebenarnya saya tak tahu pun kejadian yang menimpa arwah. Kalau tak berjumpa Khairul tiga bulan yang lalu, saya rasa sampai sekarang pun saya takkan tahu." Balasku lalu memandang Khairul yang duduk mendiamkan diri di sebelahku.
"Iyalah… Kalau kamu tak berjumpa dengan dia tiga bulan yang lalu, takkan kamu boleh sampai di sini, kan?" Ada nada sindiran di dalam ayat yang keluar dari mulut emak Khairul.
Aku mula gelisah. Patutlah sepanjang perjalanan ke sini, hatiku berasa sungguh tidak selesa. Seperti ada
sesuatu yang menghalang niatku untuk ke sini Rupa-rupanya emak Khairul tidak begitu menyenangi akan kehadiranku ke sini atau mungkin juga dia tidak begitu menyukai aku berkahwin dengan anaknya.
"Emakkk…" Kata Khairul seolah-olah memberi amaran pada emaknya supaya berhenti dari menyindirku.
Tiba-tiba sahaja perasaanku menjadi begitu sayu. Dadaku sebak dan aku berasa sungguh pilu. Entah
mengapa tiba-tiba sahaja perasaan itu hadir. Air hangat bergenang-genang di dalam kelopak mataku. Aku cuba menahannya dari gugur. Aku perlu tabah jika aku mahu meneruskan perhubungan ini walaupun kutahu banyak ranjau dan duri bakal aku hadapi kelak.
Bab 15 – Khairul
Aku memandang wajah muram Farah di hadapanku. Aku tahu tentu dia berasa amat sedih dengan layanan buruk yang diberikan oleh emak buatnya. Macam-macam disindirnya Farah hingga hampir menangis wanita ini dibuatnya.
"Farah, are you OK?"
Dia berpaling ke arahku. Tiada jawapan yang keluar dari bibir nipisnya, hanya gelengan kepala dan senyuman hambar.
Semalam, selepas makan malam, aku bergegas pulang kembali ke ibukota walaupun emak dan ayah menghalang. Aku memberi alasan bahawa aku ada kerja yang perlu dibereskan sebelum hari Isnin. Setelah melihat ketegasanku, mereka melepaskan kami pulang dengan syarat, aku perlu tinggalkan Farhan dan Azim. Pada mulanya aku agak terkejut dengan permintaan emak. Tapi, aku ikutkan kata emak dengan hati yang berat. Azim menjerit-jerit mahu mengikut kami pulang. Yang sebenarnya dia mahu bersama dengan Farah. Tetapi, emak cepat-cepat membawa masuk Azim ke dalam rumah tanpa sempat bersalam dengan aku dan Farah.
Aku tahu Farah tidak betah tinggal di rumah emak walaupun sesaat. Dia tersinggung dengan sikap emak. Tapi, tidak sekali-kali dia menyuarakannya. Dia hanya mendiamkan diri. Sikapnya itu membuatkan aku semakin dihimpit perasaan bersalah.
Aku tidak menyangka emak akan memberi layanan sebegitu pada Farah. Puas disindir, bermacam-macam amaran diberikan sebagai syarat untuk menjadi isteriku. Farah hanya menganggukkan kepala walaupun aku tahu dia tertekan dengan kata-kata emak.
"Aku rasa, kita tak patut teruskan apa yang kita rancangkan." Tiba-tiba sahaja Farah bersuara setelah hampir setengah jam dia mendiamkan diri. Pandangannya dilemparkan jauh ke tasik di hadapannya.
Terpempan aku seketika. Tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Farah.
"Apa maksud kau?" Soalku untuk meminta kepastian.
"Kau faham maksudku." Balasnya lalu mengeluh.
Aku terdiam. "Aku sudah nekad untuk mengambil kau sebagai isteri dan ibu buat anak-anakku. Tentang emak aku, kau jangan risau. Perangai dia memang begitu. Sewaktu aku mahu mengahwini Linda dulu pun, begini jugalah sikapnya. Kau sendiri sedia maklum dengan perangai emak aku. tapi, siapa sangka Linda akhirnya menjadi menantu kesayangan emak. Walaupun perangainya begitu, tapi sebenarnya emak baik hati."
"Aku bukan Linda dan aku tak boleh jadi seperti Linda." Perlahan sahaja dia bersuara. Ada air mata mengalir di pipi mulusnya.
"Sebelum keadaan jadi semakin teruk, baik aku undur diri." Sambungnya lagi.
"Farah!! Please… jangan macam nie. Tiada siapa lagi yang layak menjadi ibu buat Farhan dan Azim."
"Ada, cuma kau tak berjumpa."
"Aku sudah berjumpa dan orang itu adalah kau!"
"Tapi, emak kau…" Kata-katanya terhenti di situ.
"Farah…" Panggilku lembut. Aku menghampiri dirinya yang sudah teresak-esak. Aku peluk bahunya untuk mententeramkan perasaannya.
"Ada emak kata dia tidak benarkan kita berkahwin?" Soalku lembut.
Dia hanya menggelengkan kepalanya.
"So, dia hanya mahu menguji samada bakal menantunya ini tahan atau tidak dengan cabaran menjadi menantu Puan Fatimah dan Encik Said. Percayalah, semuanya akan berjalan dengan lancar. Kau sendiri dengar tadi. Ayah aku akan pergi merisik kau dalam masa sebulan lagi. Kemudian, kita akan terus bertunang. Tiba bulan kemudian, kita akan dinikahkan dan hidup bersama-sama. Kau jangan takut. Aku akan sentiasa di samping kau, ok?" Aku cuba memujuk Farah. Aku tahu fikirannya tidak menentu dan dia perlukan sokongan dari aku.
Sebenarnya aku sendiri tidak yakin dengan apa yang aku katakan ini. Aku tahu, walaupun emak memberi
persetujuan untuk aku berkahwin dengan Farah, ini tidak bermakna emak dapat menerima Farah sebagai menantunya. Farah perlu berusaha keras untuk memenangi hati emak seperti yang pernah arwah Linda lakukan.
Antara Farah dan Linda, tidak banyak yang berbeza dari segi perangai dan penampilan. Farah tidak mengenakan tudung seperti Linda. Walaupun begitu, dia tetap menyempurnakan suruhan Tuhan iaitu bersolat serta ibadah-ibadah wajib yang lain. Cuma satu sahaja sikap Farah yang arwah Linda tidak senangi iaitu dia tidak suka menunjukkan perasaannya. Segalanya akan dipendamkan sahaja di dalam hati. Aku takut dengan sikapnya yang begitu, akan merumitkan keadaan.
"Kau jangan fikir yang bukan-bukan. Tenangkan hati dan berdoalah agar jodoh kita cepat disatukan." Ucapku lalu merenung matanya yang digenangi air mata.
"I hope so…" Balasnya lemah.
Aku mengucup ubun-ubunnya lalu mengajaknya pulang.
Emak… ku harapkan agar dikau menerima Farah sebagai menantumu agar dia dapat menjalankan tugas arwah yang tidak sempat disempurnakan.
Best Regards;
Hasnita Mohd Leham
hhasnita@yahoo.com
()""()
( 'o' )
==(,,)=(,,)==
( . )
(,,,)-(,,,)
Bab 16 / 17 – Farah
Majlis perkahwinan di antara aku dan Khairul meriah walaupun dibuat secara sederhana. Aku menolak untuk bersanding, tetapi atas desakan oleh emak, aku menurut. Lagipun inilah satu-satunya majlis
perkahwinan yang diadakan oleh mereka kerana tinggal aku sahaja yang belum berumahtangga. Kakak tiriku sudah mendirikan rumahtangga dan kini menetap di Pulau Pinang. Majlis perkahwinan dia diadakan di rumah emak saudara sebelah ibunya.
Dengan dua kali lafaz, maka sahlah aku menjadi isteri Khairul. Aku bersyukur kerana majlis perkahwinan ini berjalan lancar walaupun aku tahu, emak Khairul tidak menyenangi diriku. Tapi demi Farhan dan Azim, akan kutelan segala kepahitan yang bakal aku tempuhi.
Pada hari keesokan harinya pula selepas majlis di rumahku, majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki pula diadakan. Aku agak berdebar-debar untuk ke sana. Perjalanan yang mengambil masa tiga jam ke rumah emak Khairul, agak meletihkan. Sebaik sahaja kami sampai, kompang dipalu. Suasana kelihatan lebih meriah jika dibandingkan dengan majlis di rumahku.
Khairul menggenggam erat tanganku sewaktu beriringan menuju ke tempat persandingan. Sebaik sahaja kami duduk, pertunjukan silat pulut diadakan. Tidak lama kemudian, acara menepung tawar pula diadakan. Ayah Khairul yang memulakan acara menepung tawar dan diikuti oleh emak Khairul. Sewaktu bersalam dengannya, aku dapat rasakan tanganku digenggam kuat. Aku tidak mengerti mengapa dia berbuat begitu. Tetapi, cepat-cepat aku menutup rasa kurang enak itu dengan mengucup tangannya. Sedihnya hati ini bila emak Khairul cepat-cepat menarik tangannya.
Azim tidak mahu berenggang denganku. Sewaktu makan beradap tadi pun, dia mahu duduk bersamaku. Aku dengan senang hati memangku Azim. Farhan pula berada di sebelah ayahnya. Agak kecoh sewaktu acara makan beradap apabila tetamu-tetamu yang hadir, mengusik kami. Tersipu-sipu aku dibuatnya.
"Selalunya pengantin lelaki suap pengantin perempuan dan pengantin perempuan suap pengantin lelaki pula. Tapi, sekarang kena suap anak-anak pulak." Kedengaran suara mengusik kami yang sedang leka melayan Farhan dan Azim yang makan bersama kami. Berderai ketawa para tetamu semuanya.
Setelah semua tetamu pulang, aku membantu untuk mengemas barang-barang dan makanan yang bersepah. Walaupun dilarang oleh saudara mara Khairul, sengaja aku pekakkan telinga. Takkanlah aku mahu goyang kaki sahaja dan melihat mereka yang lain bertungkus-lumus berkemas. Nanti apa pula kata emak Khairul. Khairul juga bertungkus-lumus membasuh periuk besar dan kawah yang digunakan untuk memasak lauk-pauk untuk majlis tadi.
"Penat?" Soalnya kepadaku sewaktu aku sedang leka mengelap pinggan dan mangkuk di sudut dapur.
"Sedikit. Abang nak air?"
"Boleh juga." Balasnya. Aku lantas bangun lalu menuju ke meja. Aku mengambil gelas dan menuang air teh lalu kuhulurkan kepadanya. Dengan beberapa kali teguk, habis air teh itu diminumnya. Nampak sangat dia kehausan.
"Abang nak lagi?" Soalku lagi tatkala dia menghulurkan gelas itu kembali kepadaku. Dia hanya menggelengkan kepala lalu mengesat peluh di dahinya.
"Amboi, pengantin baru nie… berdua-duaan di dapur ya!" Mak Ngah Tijah, ibu saudara Khairul tiba-tiba sahaja menjenguk lalu mengusik kami. Aku dan Khairul tersipu-sipu.
"Saya masuk nak minum airlah mak ngah. Haus sangat." Terang Khairul lalu tersengih.
"Takkan lari ke mananya Farah tu." Giat Mak Ngah Tijah lagi.
"Apalah mak ngah nie." Balas Khairul, segan apabila diusik oleh ibu saudaranya itu. Aku pula hampir
meledak tawaku apabila melihat muka Khairul merona merah kerana malu disakat!
Mak Ngah Tijah tersenyum mesra. Kemudian Khairul meminta diri untuk menyambung kerjanya di luar.
"Tak habis lagi mengelap pinggan tu Farah?" Soal Mak Ngah Tijah lalu duduk bersila di sebelahku.
"Belum lagi mak ngah. Ada sikit lagi." Balasku mesra.
"Cukuplah tu Farah, esok boleh sambung mengemas. Pergilah kau bersiap-siap dalam bilik." Arah Mak Ngah Tijah. Aku kebingungan.
"Bersiap-siap? Kita nak ke mana mak ngah?" Tanyaku sambil mengerutkan dahi. Takkanlah hendak keluar dalam keadaan rumah yang berselerak begini.
"Isy budak nie. Ke situ pulak perginya."
"Habis tu, mak ngah suruh bersiap-siap. Kita nak keluar ke?" Soalku lagi.
Mak Ngah ketawa besar mendengar soalanku. Aku semakin kebingungan.
"Apa mak ngah nie? Ketawakan Farah. Cakaplah betul-betul mak ngah."
"Farah… Farah… Mak ngah suruh kau bersiap-siap, pakai lawa-lawa, letak minyak wangi. Lepas tu, kau tunggulah suami kau dalam bilik. Takkan itu pun tak faham."
Terbeliak mataku mendengar kata-kata Mah Ngah Tijah. Merah mukaku menahan malu. Mak Ngah Tijah pula semakin galak ketawa. Aku menampar lembut peha Mak Ngah Tijah lalu ketawa bersama. Aku berasa sungguh selesa apabila berbual dengan ibu saudara suamiku ini. Walaupun dia adik emak Khairul, tetapi nampaknya dia dapat menerima aku dalam keluarga mereka. Berbeza dengan ibu Khairul sendiri, sampai tika ini, dia masih belum menegurku apatah lagi mahu berbual serta bergelak ketawa seperti begini. Dia asyik mengelak sahaja dari bertembung denganku.
"Bulan tengah mengambanglah mak ngah…" Beritahuku tersipu-sipu.
"Ya ke? Kena puasa dululah Khairul tu." Tak habis-habis Mak Ngah Tijah menyakatku. Aku hanya
tersenyum lebar mendengar kata-katanya.
"Auntie mama, Aan ngantuk…" Tiba-tiba sahaja Farhan menjengah ke dapur. 'Auntie mama' adalah panggilannya buatku setelah bergelar isteri papanya. Khairul mahukan anak itu memanggilku mama, tapi dengan petah anak itu menjawab bahawa mamanya sudah mati. Berbeza dengan Azim yang memang memanggilku dengan panggilan mama. Hmmm… nampaknya aku perlu membiasakan diri dengan panggilan yang berbeza dari anak-anak tiriku.
"Pergilah Farah bawa Farhan masuk tidur. Sudah mengantuk benar dia. Azim sudah mak ngah tidurkan dalam bilik opahnya. Kerja-kerja nie semua tinggalkan dulu. Esok boleh sambung semula. Kau pun mak ngah tengok dah letih sangat. Pergilah berehat." Kata Mak Ngah Tijah kepadaku.
Tanpa berlengah lagi aku mendukung Farhan lalu kubawa keluar dari dapur.
"Aan nak idur ngan Auntie mama…" Kata Farhan yang sudah terlentok di bahuku.
" OK, kita tidur sama-sama ya." Balasku lalu mengucup pipinya.
Di ruang tamu, masih lagi ada tetamu. Mereka sedang berbual-bual dengan ayah Khairul, Khairul dan saudara mara yang lain. Aku meminta diri untuk menidurkan Farhan. Tetapi, masih sempat disakat oleh mereka.
"Hah, Khairul! Farah sudah beri signal tu. Pergilah masuk." Sakat Pak Ngah Karim, suami kepada Mak Ngah Tijah. Tersipu-sipu Khairul dibuatnya. Habis bersorak semua orang yang berada di situ. Aku cepat-cepat melangkah menuju ke bilik pengantin sambil mendukung Farhan yang sudah terlena di dukunganku. Suami isteri sama saja kuat mengusik!
Di dalam bilik, aku meletakkan Farhan di atas katil. Aku mengambil kain batik untuk mengalas tempat
pembaringan Farhan. Aku letakkan juga sebiji bantal lalu perlahan-lahan aku alihkan Farhan ke atas
hamparan kain batik yang aku letakkan tadi. Setelah aku pastikan Farhan betul-betul lena, aku mengambil tuala dan masuk ke dalam bilik air yang sedia ada di dalam bilik itu untuk membersihkan diri.
Sewaktu aku keluar dari bilik mandi, kulihat Khairul sudahpun masuk ke dalam bilik. Hatiku berdebar-debar apabila melihat dia tidak berbaju sebaliknya hanya bertuala dari pinggang hingga ke lutut.
"Farah tidurlah dulu. Abang nak berendam dalam tab." Ucapnya sambil matanya tajam merenungku.
"Abang nak Farah sediakan air panas dalam tab mandi?"
"Tak mengapa. Abang boleh buat sendiri. Farah tidurlah dulu. Abang tengok Farah letih sangat." Kemudian dia menghilang di dalam bilik air.
Setelah melihat dia masuk ke dalam bilik air, aku menuju ke meja solek lalu menyisir rambutku. Kemudian aku letakkan sedikit haruman di sebalik kedua-dua belah belakang telingaku dan sedikit di pergelangan tangan.
Setelah selesai, aku beredar ke katil. Aku merebahkan badanku di sebelah Farhan. Farhan aku letakkan di tengah-tengah. Perlahan-lahan kuusap rambut Farhan. Sungguh nyenyak anak ini tidur. Aku mengucup dahi Farhan lalu memejamkan mata untuk melelapkan mata. Esok adalah hari baru yang bakal aku hadapi setelah bergelar isteri buat Khairul dan ibu buat Farhan dan Azim.
Bab 18 – Khairul
Sudah lima hari aku bergelar suami kepada Farah. Dalam tempoh itu, kami tinggal di rumah emak. Nampaknya Farah disenangi oleh sanak saudaraku. Mungkin keperibadiannya hampir sama seperti Linda, membuatkan dia mudah diterima masuk di kalangan saudara maraku. Cuma emak sahaja yang menjadi masalah. Farah kadang kala amat berhati-hati dalam perbuatan dan tutur katanya. Takut jika perbuatan dan percakapannya akan menaikkan kemarahan emak. Kasihan isteriku itu…
"Mak, ayah, abang… jemputlah makan. Farah hendak kejutkan Farhan dan Azim." Farah mempelawa kami makan sarapan pagi. Semenjak dia berada di sini, segala urusan masak-memasak dia yang mengambil-alih.
Dia menuangkan air kopi ke dalam tiga cawan lalu diletakkan di hadapan aku, ayah dan emak. Emak hanya memerhatikan tingkah laku Farah, seolah-olah menanti sahaja wanita itu melakukan kesalahan dan bersedia untuk menyindir. Sama seperti wak tu aku mula-mula mengahwini Linda dahulu. Aku tersenyum sendirian mengenang sikap emak.
"Apa yang kau senyumkan tu Khairul? Teringat sesuatu yang indah?" Usik ayah kepadaku. Ayah memang begitu, memang mesra dengan aku dan juga Farah. Ada sahaja akalnya untuk mengusik kami, pengantin baru.
"Tak adalah. Saya rasa lucu dengan emak nie." Jawabku lalu menghirup kopi panas yng disediakan oleh Farah. Terasa lega apabila kopi itu melalui kerongkongku.
"Kenapa pula kau gelakkan emak?" Soal emak terpinga-pinga.
"Mana taknya, awak tengok menantu awak nie macam seorang pengadil yang sedang melihat peserta
pertandingan memasak serta menghidang sarapan pagi." Jawapan yang keluar dari mulut ayah menyebabkan aku dan ayah ketawa besar. Emak pula hanya mencebik. Farah pula kelihatan tersenyum-senyum sahaja. Tidak berani hendak ketawa seperti kami. Mungkin takut dijeling oleh emak.
"Farah, marilah minum sekali. Sekejap lagi bangunlah si Farhan tu." Ajak ayah kepada Farah yang setia berdiri di sebelahku.
"Yalah Farah. Marilah kita minum sekali." Pelawaku juga lalu menarik tangannya.
"Tak mengapalah abang, ayah. Nanti siapa pula hendak temankan Farhan makan." Dalihnya pula.
"Habis, abang siapa yang nak temankan?" Usikku. Pipinya mula kemerah-merahan menahan malu diusik di hadapan emak dan ayah. Satu cubitan lembut diberikan pada lenganku. Ayah hanya tersenyum senang melihat kemesraan kami. Emak pula hanya menjeling, meluat.
"Hai, baru-baru kahwin bolehlah layan Farhan dan Azim tu selalu. Nanti bila dah bekerja semula, muka
budak-budak tu pun tak dijenguk. Sibuk memanjang." Emak mula menyindir Farah. Berubah air muka Farah seketika. Tetapi, dia cuba tersenyum untuk menutup perasaan sedihnya.
"Mamaa…" Kedengaran laungan dari Azim. Sejak kami berkahwin, memang Azim dan Farhan tidur sebilik dengan kami. Farah sedikit pun tidak menunjukkan perasaan kurang senang. Malah anak-anakku dilayan dengan penuh kasih sayang. Aku tahu, aku perlu berterus-terang dengan keadaan kami apabila pulang ke ibukota kembali untuk menyambung tugas.
Terkocoh-kocoh Farah menuju ke bilik untuk melihat Azim. Sejak menjadi isteriku, dia tidak pernah duduk
diam. Setiap ketika dia melayan karenah anak-anakku yang mahu diberi perhatian. Farhan dan Azim
seolah-olah berebut-rebut untuk mendapatkan perhatian serta kasih sayang dari mama bru mereka. Aku begitu sedih melihat keadaan anak-anakku yang ketandusan kasih seorang ibu di dalam hidup mereka. Aku berharap dengan kehadiran Farah, akan membuatkan sin ar kebahagiaan dan keceriaan akan menerangi semula keluarga kami.
"Limah, kenapa dengan awak? Ada saja perbuatan Farah yang tidak kena di mata awak. Cubalah awak belajar terima dia. Saya tak nampak cacat cela pun perangai Farah. Sedikit tidak ubah seperti arwah Linda dulu. Malah, Farhan dan Azim dibelai dengan penuh kasih sayang." Ayah bersuara setelah melihat Farah menghilang ke tingkat atas. Aku hanya mendiamkan diri. Tidak mahu mencelah kata-kata ayah.
"Baru-baru kahwin, bolehlah tunjuk baik. Lagipun berada depan kita. Bila dia sudah ikut Khairul balik,
entah apa dibuatnya pada cucu-cucu kita tu!" Emak tetap berprasangka terhadap Farah.
"Entahlah, saya dah tak tahu nak kata apa pada awak. Cakap saya sebagai suami awak pun awak ingkar, inikan pula mahu orang lain ikut kata awak. Dari dengar awak bersungut pasal Farah, baik saya makan nasi lemak yang Farah buat nie, lagi bagus. Sedap pula. Kalah awak. Awak buat pun tak sesedap ini." Kata ayah sengaja menyakiti hati emak. Emak hanya mencebik. Dia menyendukkan nasi lemak dan dihulurkan kepada ayah.
Aku mengeluh perlahan. Ketika aku mahu menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan, Farah turun dari tangga sambil mendukung Azim dan memimpin Farhan.
"Dah bangun anak-anak papa?" Ucapku lalu melemparkan senyuman pada mereka.
Farah hanya tersenyum lalu menghampiri kami. Dia meletakkan di dalam kerusi khas untuk kanak-kanak.
Farhan pula sudah berdiri di atas kerusi di sebelahku. Mulutnya becok mahu makan nasi lemak. Bahagia aku melihat keceriaan yng terpancar di wajah anak-anakku.
"Sedap nasi lemak dan sambl tumis ikan bilis yang Farah masak nie. Tambahan pula ada rendang daging, bertambah-tambah sedap dibuatnya. Kalau tak takkan emak kamu nie dah tambah nasi untuk round kedua." Ucap ayah ketika melihat emak menambah nasi lemak ke dalam pinggannya. Emak tidak menjawab, sebaliknya hanya menjeling kepada ayah.
Aku hanya tersenyum. Walaupun emak tidak begitu menyenangi Farah, tetapi apa sahaja yang dimasak oleh Far ah, bagaikan sesuai benar dengan tekaknya. Walaupun dia tidak pernah memuji masakan menantu barunya ini, tapi aku tahu emak memang menyukai masakan isteriku ini. Cuba kerana ego, dia tidak pernah meluahkannya.
Aku akui, Farah memang pandai memasak. Sewaktu aku masih bertunang dengan Linda dahulu, selalu juga aku bertandang ke rumah mereka untuk makan tengahari apabila hari cuti. Mereka pula menyewa serumah, maka bertambah rapatlah jalinan persahabatan di antara kami bertiga. Di antara Linda dan Farah, Farah lebih handal memasak berbanding Linda yang lebih kepada kreatif mengemas rumah. Bukannya aku cuba membanding-bandingkan kelebihan yang ada pada kedua-dua wanita itu, tapi kenyataan! Farah memang handal memasak.
Aku hanya melihat Farah melayani Azim makan. Farhan pula aku biarkan makan sendiri. Umurnya sudah mencecah tiga tahun. Sudah pandai serba sedikit untuk makan sendiri. Tetapi sejak Farah menjadi mamanya, perangainya lebih manja. Mungkin cemburu melihat adiknya lebih diberi perhatian. Farah yang mungkin perasan aku memerhatikannya, mendongak membalas pandanganku. Aku hanya tersenyum, dia membalas senyumanku lalu menumpukan kembali perhatiannya pada Azim. Aku menghela nafas kelegaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan