Sabtu, 12 September 2009

Kasih di hujung rindu part akhir

Bab 55 - Farah

"Farah!! Jangan duduk di luar waktu maghrib begini. Tak elok. Sudah, masuk dalam. Khairul, bawa masuk isteri kamu ke dalam!" Emak mertuaku melaung dari dalam rumah. Aku hanya tersenyum sambil mengangguk tanda faham. Aku menghabiskan kerjaku menyiram pokok bunga di halaman rumah. Khairul pula sedang menyapu daun-daun pokok yang berselerak gugur ke bumi. Sesudah selesai menyiram, aku menuju ke paip lalu memutarnya untuk menghentikan pengaliran air. Aku menyangkut paip getah itu di kepala paip lalu menuju ke buaian. Aku melepaskan lelah di atas buaian. Tidak lama kemudian, Khairul menyertaiku yang sedang berbuai di atas buaian.

Aku akhirnya kalah dengan perasaan sendiri. Demi kebahagiaan anak dalam kandunganku dan juga anak-anak tiriku, aku kembali ke dalam hidup Khairul. Aku rasa langkahku kali ini tidak silap. Aku dijaga dengan penuh perhatian. Emak mertuaku juga sudah berubah sikap. Dia benar-benar berubah. Diriku dan juga kandunganku dijaga rapi. Pelbagai pantang dan nasihat buat wanita yang sedang hamil, diperturunkan kepadaku. Aku benar-benar bahagia dengan kehidupan aku sekarang.

Malah dia sanggup tinggal bersama kami di kota semata-mata mahu menjagaku sehinggalah aku bersalin nanti. Yang membuat aku semakin terharu, ayah mertuaku juga sependapat dengannya. Dan yang kelakarnya, dia menawarkan diri untuk menjaga aku sewaktu berpantang nanti! Semuanya aku terima dengan hati yang terbuka. Biarlah aku membahagiakan diri mereka selagi hayatku dikandung badan.

"Jauhnya melamun. Ingat pakwe lama ke?" Usik Khairul lantas memelukku. Pipiku dikucupnya berkali-kali. Aku ketawa kegelian.

"Haah, ingat pakwe lama. Agak-agaknya... bagaimana keadaan dia sekarang?" Balasku lalu ketawa kecil. Dia tersentak mendengar kata-kata yang keluar dari bibirku.

"Eh, betulkah sayang teringatkan pakwe lama? Siapa dia? Abang kenalkah dengan dia?" Bertubi-tubi soalan diajukan kepadaku. Dia memusingkan badanku supaya berhadapan dengannya. Wajahnya sedikit cemas. Aku ketawa gelihati melihat gelagatnya.

"Cemburu yaa..!!!" Usikku sambil menarik hidungnya.

"Eh, mestilah. Siapa yang tak sayang bini oii!!!" Balasnya lalu ketawa besar. Aku turut ketawa bersamanya.

"Tak adalah. Mana Farah ada pakwe lain. Abanglah pakwe pertama dan terakhir Farah. Tapi, tak tahulah pula abang. Agak-agaknyalah... Farah nie makwe yang ke berapa ya?" Aku cuba mengujinya. Dia tersenyum lebar mendengar bicaraku.

"Ermm... yang pertama Peah, yang kedua Minah, yang ketiga Temah, yang keempat... ermmm siapa ya?" Katanya sambil mengira-ngira jarinya.
"Amboi!!! Banyaknya dalam senarai... gatal ya!" Lengan tangannya yang terdedah kucubit manja. Dia ketawa terkekeh-kekeh. Suka benar dia dapat mengusikku. Kemudian dia terus memelukku erat.

"Kekasih abang yang pertama sudah tentu Linda. Harap Farah tak marah dengan pengakuan abang ini." Aku hanya tersenyum. Tiada sekelumitpun perasaan marah apabila dia berkata begitu. Malah, aku amat maklum tentang itu.

"Farah faham bang. Farah tak marah." Tangannya membelai wajahku. Betapa bahagianya hidupku tika
berada dalam pelukan suami tercinta.

"Dan kekasih terakhir abang, sudah tentu 'mak buyung' nan seorang nie." Selorohnya lalu mencubit pipiku. Aku ketawa besar. Selalu sangat dia mengusikku dengan memanggil 'mak buyung'. Mentang-mentanglah aku sedang 'boroi'. Suka hati dia dapat mengusikku.

"Aduhh..!" Kaki anak dalam kandungan menendang perutku. Terasa bergegar perutku. Aku memegang perutku yang sudah menjangkau sembilan bulan. Hanya menanti hari saja.

"Kenapa sayang? Sudah terasa sakitkah" Khairul kelihatan cemas. Aku menggelengkan kepala dan
melemparkan senyuman.

"Taklah. Baby nie nakal, agaknya tak sabar-sabar hendak keluar. Asyik menendang saja. Bergegar kita
dibuatnya." Aku ketawa bahagia.

"Lega hati abang mendengarnya. Ingatkan dah sampai masa tadi." Dia menghela nafas kelegaan sambil
mengurut-urut dadanya.

"Hai bang! Anak dah nak masuk tiga pun masih cemas lagi?" Usikku. Dia tersenyum.

"Memanglah. Inikan anak pertama buat Farah. Sudah tentu abang risau jika ada kesulitan." Ucapnya
bersungguh-sungguh. Aku ketawa lagi. Dia yang lebih-lebih risau. Aku biasa saja!

"Insyaallah bang. Takkan ada apa-apa yang berlaku. Jika ada apa-apa berlaku pada Farah, abangkan ada untuk menjaga baby kita nie." Luahku lalu mengusap-usap perutku. Dia turut sama mengusap
perutku.

"Ya Allah... tak masuk-masuk lagi? Takkan hendak tidur di luar tu budak-budak oii!!" Kali ini ayah mertuaku pula melaung dari ambang pintu. Tersentak aku dan Khairul dibuatnya. Kami berdua ketawa gelihati. Cepat-cepat kami bangun dari buaian. Khairul memimpin aku berjalan dengan berhati-hati.

"Oppsss... terlupa pula Farah nak ambil kain tuala yang Farah sangkut di buaian tadi. Sekejap ya bang...
Farah pergi ambil." Ujarku lalu hendak berpusing semula ke buaian.

"Tak mengapa, biar abang tolong ambilkan." Ucap Khairul pula.

"It's okay... I can do it! Don't worry." Bahunya kutepuk-tepuk perlahan. Kemudian aku berpusing lalu melangkah perlahan-lahan menuju ke buaian. Tanpa aku sedari kakiku tersangkut pada paip getah yang
bergulung di halaman rumah. Aku gagal untuk mengimbangkan diri. Badanku terdorong ke depan dan jatuh terhempap ke bumi.

Ya Allah!!! Sakitnya perutku.

"Abang!!!" Aku menjerit kesakitan. Khairul terkocoh-kocoh mendapatkan aku.

"Sakitnya bang!! Tolong bang... sakit." Rintihku perlahan menahan kesakitan. Tiba-tiba aku terasa air
hangat mengalir di pehaku. Aku meraba pehaku.

"Abang, darah bang! Darah..!!" Aku menghulurkan tanganku yang berlumuran darah. Khairul semakin cemas.

"Sabar sayang.. sabar. Abang bawa sayang ke hospital ya! Emak!!! Ayah!! Tolong saya. Farah jatuh!!" Suara laungan Khairul sayup-sayup kedengaran di telingaku. Aku semakin lemah... lemah... Pandanganku semakin kabur dan kelam...

Bab 56 - Khairul

Hampir satu jam Farah dimasukkan di dalam bilik kecemasan. Sudah beberapa kali aku berjalan berulang-alik di hadapan pintu bilik itu. Namun, tiada tanda-tanda doktor atau jururawat akan keluar dari
bilik itu. Aku semakin gelisah. Pelbagai kemungkinan yang buruk bermain-main di fikiranku. Ya Allah, kau
selamatkan isteriku. Permudahkanlah kesulitan yang dihadapinya.

"Khairul, cuba bawa bertenang. Insyaallah Farah tak apa-apa." Emak bersuara. Aku berpaling kepada emak. Perlahan-lahan aku menapak ke arahnya. Aku mengambil tempat di sebelahnya.

"Saya risau kalau apa-apa terjadi pada dia dan anak kami." Aku menekup wajahku dengan kedua-dua belah tanganku. Air ma ta seakan bergenang di kelopak mata, aku tahan daripada mengalir. Aku lelaki. Aku harus kuat!

"Kita berdoa saja pada Allah agar Farah selamat. Kita mesti yakin!" Kata-kata emak melegakan sedikit
perasaanku. Ayah pula tidak datang kerana terpaksa menjaga Farhan dan Azim di rumahku.

"Tapi, kenapa lama sangat mereka di dalam tu? Apa yang mereka sedang lakukan?" Aku masih tidak puas hati. Aku sudahpun berdiri dan kembali berlegar-legar di hadapan pintu bilik kecemasan. Emak menggeleng-gelengkan kepalanya melihat keadaan aku yang seperti cacing kepanasan.

Tiba-tiba pintu bilik kecemasan terbuka. Kelihatan seorang wanita yang sedang membuka penutup mulutnya berjalan menghampiriku. Aku bergegas mendapatkannya.

"Bagaimana dengan keadaan isteri saya?" Soalku tidak sabar.

"Awak suaminya?" Doktor wanita yang umurnya mungkin dalam lingkungan akhir 30-an bertanya kepadaku.

"Ya." Jawabku sambil mengangguk beberapa kali.

Doktor wanita mengeluh perlahan. Dahinya berkerut. Hatiku bertambah risau apabila melihat keadaannya
begitu.

"Isteri anda mengalami tumpah darah. Jadi, dia tidak dapat melahirkan anak secara normal. Pembedahan perlu segera dilakukan. Jadi, saya memerlukan tandatangan anda sebagai suaminya untuk membolehkan kami melakukan pembedahan ke atas isteri anda." Terang doktor wanita itu satu persatu.

Ya Allah, musibah apakah yang Engkau jatuhkan kepadaku? Kami baru mahu mengecap kebahagiaan, dan aku baru saja mahu melimpahkan kasih sayangku buatnya. Tapi, kini Kau mendugaku dengan dugaan yang hebat seperti ini!

"Buatlah apa yang doktor rasa perlu lakukan. Saya bersetuju asalkan doktor dapat menyelamatkan anak danisteri saya." Balasku dengan bibir bergetar. Dia menganggukkan kepalanya. Tidak lama kemudian, dia kembali masuk ke dalam bilik kecemasan.

"Khairul, kita berdoalah supaya Farah selamat." Aku berpaling kepada emak yang sedang berdiri di belakangku. Tanpa aku sedari, aku telah memeluk emak untuk mencari kekuatan agar dapat aku had api segala kemungkinan yang akan berlaku.

************************************************************************
Tiga jam sudah berlalu aku rasa bagaikan tiga tahun lamanya. Lampu bilik kecemasan masih menyala. Ini menandakan doktor masih bertungkus lumus menyelamatkan Farah di dalam. Aku di luar, menanti dengan resah. Jam sudah menunjukkan angka dua belas tengah malam. Suasana sudah lama sunyi. Hanya sekali sekala kedengaran suara petugas-petugas di hospital sedang berbicara sesama mereka. Emak pula sudah lama menghilang ke surau. Katanya hendak membaca Al-Quran.

Sedang aku hampir terlena di bangku, aku didatangi oleh doktor wanita tadi.
"Tahniah encik! Anda mendapat anak perempuan." Ucapnya sambil menyalami tanganku.

"Iya? Alhamdulillah..." Lega perasaanku. Tanpa aku sedari emak sudah berdiri di sisiku.

"Emak, saya dapat anak perempuan. Memang dah lama saya mengidam anak perempuan. Akhirnya Allah perkenankan permintaan saya." Ucapku dengan gembira. Emak juga tersenyum bahagia.

"Tapi..." Bicara doktor wanita itu terhenti. Jantungku seakan berhenti berdegup. Sesuatu yang buruk telah
berlaku ke atas Farahkah?

"Tapi apa doktor? Bagaimana dengan isteri saya? Dia selamat?" Soalku dengan debaran di dada.

"Dia selamat tapi, dia amat lemah. Dia mengalami tumpah darah yang agak serius. Dan sekarang dia masih tidak sedarkan diri. Saya sudah lakukan yang terbaik untuknya. Kita berserah saja kepada Allah." Ujarnya sebelum berlalu. Terpaku aku mendengar kata-kata doktor itu. Aku memandang wajah emak.

"Emak, Farah takkan tinggalkan sayakan?" Soalku kepada emak. Air mata emak sudah membasahi pipinya.

"Insyaallah Khairul. Semangatnya kuat." Jawab emak. Dalam masa yang sama, seorang jururawat baru sahaja keluar dari bilik kecemasan sambil menyorong troli yang menempatkan Farah di atasnya. Mereka mahu menempatkan Farah di wad. Aku dan emak mengekori mereka.
Bab 57 - Khairul

Farah masih lagi tidak sedarkan diri. Wajahnya begitu pucat. Tangannya yang berada dalam genggamanku begitu sejuk. Nafasnya begitu perlahan hingga seakan tidak kedengaran langsung bunyi nafasnya.

"Papa, kenapa lama sangat Auntie Mama tidur?" Farhan yang berada di sebelahku menyoal. Awal-awal pagi lagi ayah datang bersama Farhan dan Azim.

"Auntie Mama sakit. Jadi, dia kena rehat." Balasku lalu tersenyum hambar.

"Auntie Mama pun sakit macam mama dulu ke? Nanti Auntie Mama pun nak tinggalkan kita macam mama dulu ke?" Begitu petah sekali mulut comel itu menyoalku. Aku menjadi gugup apabila melihat Farhan cuba mengimbas semula peristiwa yang berlaku kepada Linda dahulu. Jantungku berdegup kencang.

Aku tiada jawapan untuk persoalan yang diutarakan oleh Farhan. Pertanyaannya kubiarkan tidak berjawab. Yang sebenarnya aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepadanya.

"Farhan, jangan bising. Nanti ganggu mama nak berehat." Ayah bersuara kepada Farhan. Farhan lantas
menutup mulutnya. Aku tertawa kecil melihat gelagatnya.

Aku kembali menatap wajah isteriku yang kepucatan. Tiba-tiba kelopak matanya seakan bergerak-gerak.
Begitu juga dengan tangannya yang berada di dalam genggamanku.

"Farah... bangun sayang. Abang ada di sini. Anak-anak pun ada sekali." Bisikku di telinganya. Aku berpaling kepada ayah dan emak yang duduk berhampiran dengan anak perempuanku di sebelah katil Farah.


Abang..." Kedengaran suara Farah memanggilku begitu perlahan sekali.

"Ya, sayang... abang ada di sini." Jawabku dengan hati berbunga ceria. Kelopak matanya terbuka
perlahan-lahan.

"Syukurlah kamu dah sedar Farah." Ucap emak lalu mengucup dahi Farah. Farah cuba senyum, namun
senyumannya begitu tidak bermaya sekali. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

"Mana anak kita bang? Saya nak tengok anak kita." Suaranya begitu lemah sekali.

"Sekejap ya, nanti abang bawa anak kita." Balasku lalu bangun menghampiri katil kecil di sebelah kiri katil
Farah. Anakku yang masih kemerah-merahan kuangkat dengan berhati-hati. Perlahan-lahan aku meletakkan bayi kami di atas dadanya.

"Kita dapat anak perempuan sayang." Beritahuku. Farah mengalirkan air mata sambil mengucup dahi bayi kami yang sedang nyenyak tidur.

"Abang dah letak nama pada anak kita?" Soalnya sambil membelai-belai tangan kecil itu. Sekali sekala dia mengucup tangan kecil itu.

"Belum. Biar sayang saja yang namakannya." Dia tersenyum kepadaku.

"Kalau saya letak nama Fatihah, sedap tak bang?"

"Fatihah? Hmmm... bagus juga nama tu."

"Kelak bila saya dah tak ada, bolehlah dia sedekahkan Al-Fatihah kepada saya selalu." Aku tersentak.
Cepat-cepat aku meletakkan jariku di bibirnya. Aku menggelengkan kepala tanda tidak suka dia berkata
begitu. Dia mengalihkan tanganku dari bibirnya dan tersenyum hambar.

"Farah rasa, Farah takkan lama di sini. Apabila Farah sudah tiada nanti... abang... abang jagalah anak kita; Fatihah, Farhan dan Azim dengan baik ya!" Begitu payah sekali dia cuba menuturkan kata-katanya itu. Hatiku sayu mendengar kata-katanya itu.
"Jangan kata begitu sayang. Farah akan hidup lama. Kan kita dah berjanji akan membesarkan anak-anak
bersama-sama." Dadaku bergetar. Akan berulang kembalikah peristiwa lama? Aku tidak sanggup
menghadapinya buat kali kedua. Emak sudah mula menangis. Ayah pula sugul sekali wajahnya.

"Maafkan Farah bang. Farah rasa..... Farah tak dapat menunaikan janji itu. Farhan, Azim mari pada mama." Farhan dan Azim memanjat katil Farah.

"Sayang mama sikit." Mintanya. Farhan dan Azim bergilir-gilir mengucup pipi Farah. Aku sudah tidak mampu untuk menahan air mata. Kukalihkan wajahku ke sisi. Tidak mahu mereka melihat air mata lelaki yang mengalir di pipiku.

"Farhan dan Azim bantu papa jaga adik baik-baik ya. Jangan nakal-nakal." Pesan Farah buat anak-anakku. Sekali sekali dia mengerutkan dahi menahan kesakitan. Emak menghampirinya lalu mengambil Fatihah dari pangkuannya dan meletakkan kembali ke katil.

"Mama nak pegi mana?" Azim yang masih kecil menyoal tanda tidak faham dengan keadaan yang berlaku.
"Mama nak pergi jauh sayang..." Suara Farah begitu dalam sekali. Begitu sukar untuk dia berbicara. Namun, demi untuk tidak menghampakan Azim, digagahnya untuk menjawab. Emak sudah tersedu-sedu. Ayah pula kulihat mengesat bibir matanya. Suasana begitu pilu.

"Macam mama A'an dulu?" Farhan memintas bicara Farah. Farah hanya tersenyum. Dia mengusap-usap pipi Farhan. Kemudian membelai-belai rambut Azim. Air mata mengalir dari kelopak matanya.

"Mama sayangkan Farhan dan Azim. Selalu ingat di dalam hati bahawa mama sentiasa sayangkan kamu berdua. Janji pada mama ya!" Farhan dan Azim mengangguk serentak. Farah tersenyum lagi.

"Emak... ayah..." Panggil Farah kepada emak dan ayah. Mereka bergegas menghampiri Farah. Tangan Farah digenggam erat oleh emak.

"Terima kasih kerana menjaga saya selama ini. Maafkan segala kesalahan dan, aduhh..." Farah memegang perutnya. Aku cemas melihat keadaannya.

"Abang panggil doktor ya." Ucapku dan cuba untuk bangun tetapi ditahan oleh Farah. Dia menggelengkan kepalanya. Aku kembali duduk.

"Maafkanlah segala kesalahan saya emak, ayah. Halalkan makan minum saya selama ini." Farah cuba menghabiskan kata-katanya.

"Kami maafkan kamu dan halalkan makan minum kamu." Tersedu-sedu emak. Ayah pula hanya mampu menganggukkan kepalanya sahaja. Farah nampaknya berpuas hati dengan jawapan emak. Dia tersenyum lagi. Dia kembali menatap Farhan dan Azim.

"Ingat ya... mama sayangkan kamu berdua." Ucapnya buat kali ketiga. Ditariknya Farhan dan Azim rapat ke dadanya. Dia memeluk mereka dengan erat. Dadaku bertambah sebak. Aku biarkan sahaja air mata lelakiku mengalir lesu di pipi. Tidak upaya lagi aku menahannya. Mengapa kamu mahu meninggalkan abang sayang? Mengapa semua orang yang aku sayang pergi meninggalkan aku? Adakah aku tidak berhak untuk mengecap kebahagiaan?

"Abang..." Suaranya serak. Aku merenung ke dalam mata Farah sudah kehilangan cahayanya. Wajahnya juga sudah kehilangan serinya.

"Ya sayang." Perlahan aku tunduk lalu mengucup dahinya.
"Farah rasa letih. Farah hendak tidur." Ucapnya kepadaku. Aku mengangguk-angguk. Memahami akan maksudnya itu.

"Tidurlah sayang..." Balasku sambil membelai-belai rambutnya. Kemudian aku mencapai tangannya lalu
kukucup berulang kali.

"Kalau emak dan abah sampai, sampaikan salam saya buat mereka ya. Katakan pada mereka bahawa saya mahu berehat." Dia tersenyum lagi. Air mataku berderai kembali.

"Baik sayang. Berehatlah dengan tenang." Selesai sahaja aku berkata, dia menutup matanya. Tangannya
terlepas dari genggamanku. Jatuh terkulai di tepi katil. Aku tersentak. Emak meraung sambil memeluk ayah.

Bab 58 - Khairul

Perkarangan tanah perkuburan kembali sunyi. Orang ramai yang mengiringi jenazah Farah mula pulang ke destinasi masing-masing. Kini yang tinggal hanyalah aku seorang sedang mengadap kubur Farah, isteriku yang masih merah.
Farah, mengapa kau tinggalkan abang sepertimana Linda tinggalkan abang dulu. Mengapa kamu berdua pergi ketika abang amat memerlukan kasih dan sayang dari kamu berdua?

Abang banyak menyiksa perasaanmu Farah. Sepanjang kau menjadi isteri abang, abang tahu kau tidak bahagia seperti isteri-isteri mereka yang lain. Kau banyak memendam perasaan. Kau juga banyak makan hati dengan perangai emak. Namun, semuanya kau telan demi kebahagiaan Farhan dan Azim. Abang banyak menyusahkan kau. Tapi, belumpun sempat abang untuk menebus kembali kesalahan-kesalahan lalu... kau telah pegi meninggalkan abang buat selama-lamanya.

Abang berjanji Farah, abang akan menjaga dan mendidik anak-anak kita. Janganlah kau risau kerana kaulah kekasih abang yang terakhir. Tiada lagi kasih abang buat wanita lain. Kasih dan sayang abang hanya buat kau dan anak-anak kita. Tidurlah kau dengan setenang-tenangnya di sana.

"Khairul..." Suara ayah mertuaku menyapa dari belakang. Kemudian terasa bahuku dipegang. Aku berpaling ke belakang. Ayah mertuaku menganggukkan kepalanya kepadaku.

"Marilah kita pulang. Redhalah dengan pemergiannya. Biarlah dia berehat dengan tenang di sini." Ucapnya. Mataku kembali bergenang dengan air mata. Aku menganggukkan kepala. Perlahan-lahan aku bangun dan melipat tikar yang mengalas dudukku.

Selamat tinggal sayang. Bersemadilah kau di sini dengan tenangnya.

Aku menghayun kaki mengikut langkah ayah mertuaku. Lewat petang itu, kami meninggalkan kawasan tanah perkuburan sebelum senja berlabuh.


TAMMAT.