PENGERTIAN ROHANI
Perkataan rohani dalam bahasa Malaysia sering dikaitkan dengan : hati, kalbu, jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang mewujudkan sebagai suatu unsur peribadi manusia yang paling unik yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Tetapi gejala dalam kerjanya dapat dirasakan. Gejala itu misalnya: menangkap dan menyimpan pengertian, mengingat, berfikir, berkemahuan, rindu, sedih, gembira dan sebagainya.
Imam Ghazali dalam kitab Ihyaulumiddin menerangkan bahawa roh itu ada dua makna. Pertama berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati jasmani dengan perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian badan. Kedua, ianya berupa sifat halus pada manusia yang dapat mengetahui sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian. Banyak pengertian yang dikemukakan mengenai jiwa namun begitu belum ada yang dianggap memuaskan.
Keterangan tentang adanya penyakit rohani itu dikemukakan di dalam Al-Quran antaranya:
Firman Allah yang bermaksud:
‘Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambah penyakit mereka dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan’.
(Q.S. Al-Baqarah, ayat 10)
LEMAH DAYA KERJA
Jika seseorang itu sihat rohaninya ia akan memiliki kemampuan beramal yang tinggi, ghairah bekerja dan bersemangat untuk maju dalam kebaikan. Sebetulnya orang yang mengidap penyakit rohani akan nampak kemundurannya dalam kemampuan bekerja,
hilang ghairah dan semangatnya untuk maju. Yang menonjol hanyalah kelemahan dan kemalasan.
TUMPUL FIKIRANNYA
Orang yang sihat rohaninya mudah menangkap kebenaran, hatinya selalu dipancari (nur) kebenaran. Adapun orang yang sakit rohaninya terlihat adanya kebodohan, kelemahan dalam berfikir sehingga susah menerima kebenaran. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Ertinya : ‘Tidakkah mereka mahu berjalan di muka bumi, supaya ada bagi mereka hati yang mereka boleh mengerti dengannya, atau telinga yang boleh mendengar dengannya. Sesungguhnya bukan penglihatan yang buta tetapi hati mereka yang ada di dalam dada itulah yang buta’.
(Q.S. Al-Haj, ayat 46)
Mereka begitu susah menangkap kebenaran, sekalipun dengan perbandingan dan perumpamaan sahaja. Dalam hati mereka terdapat kotoran yang menutup mata hatinya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
‘Dan sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam terhadap sejumlah jin dan manusia. Mereka yang mempunyai hati tetapi tidak mahu mengerti dengannya dan mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai’.
PENDANGKALAN RASA
Orang yang sihat rohaninya ialah orang yang begitu terkesan apabila mendapat nikmat dan rahmat Allah yang diterimanya dengan penuh syukur. Adapun bagi orang yang tidak pandai bersyukur dengan nikmat Allah dianggap sebagai memiliki perasaan dangkal dan kelemahan zauq. Pendangkalan rasa terhadap nikmat Allah itu dapat dipandang sebagai gejala penyakit rohani. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
‘Apabila kesukaran menimpa manusia, mereka seru Tuhan dalam keadaan berserah diri kepadaNya, kemudian apabila ia rasakan kepada mereka rahmat daripadaNya, tiba-tiba segolongan daripada mereka menyekutukan Tuhan mereka.’
(Q.S. Rum, ayat 33)
GELISAH DAN KELUH KESAH
Orang yang sihat rohaninya, terdapat ketenangan pada air mukanya. Sebaliknya orang yang mengalami gangguan penyakit rohani, terdampar pula melalui sikapnya yang diliputi kegelisahan dan keluh kesah. Kegelisahan dan keluh kesah itulah yang merupakan pencerminan daripada ketidak stabilan mental.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
‘Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat gelisah. Apabila bahaya mendatangani dia keluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan amatlah kedekutnya. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang. Yakni mereka yang tetap dalam sembahyangnya’.
(Al-Maarij, ayat 19-23)
LIAR TERHADAP KEBENARAN
Salah satu daripada tanda ketenangan jiwa ialah kecenderungan mencari dan menerima kebenaran dan menolak kebatilan. Fikirannya tenang dan sentiasa mempertimbangkan sesuatu itu dengan baik. Sebaliknya orang yang liar terhadap kebenaran dan tidak senang mendengarkan mutiara-mutiara hikmah dapat dipandang sebagai orang yang terkena penyakit rohani.
Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:
‘Apakah di dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu ataupun mereka khuatir kalau-kalau Allah dan RasulNya menganiaya mereka. Tidak! Bahkan mereka itulah orang yang zalim.
(Q.S. An-Nur, ayat 50)
BURUK SANGKA
Salah satu daripada tanda penyakit rohani ialah prasangka-prasangka yang buruk, antara lain anggapan yang bukan-bukan terhadap Allah dan RasulNya. Firman Allah yang bermaksud:
‘Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang yang dihatinya ada penyakit berkata: ‘Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan tipuan.’
(Al-Ahzab, ayat 12)
Selain mempunyai prasangka yang buruk terhadap Allah dan RasulNya, ia juga mempunyai prasangka yang buruk dan suka curiga terhadap orang lain tanpa alasan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
‘Wahai orang yang beriman, tinggalkanlah sebahagian besar daripada sangka-sangka, kerana sebahagian daripada sangka-sangka itu dosa.’
(Q.S. Al-Hujarat, ayat 12)
SUKA MENGHASUT (FITNAH)
Jika orang yang sihat rohaninya selalu rindukan ketenangan, kedamaian dan ketenteraman, sebaliknya orang yang berpenyakit rohani kadangkala suka menghasut dan menimbulkan pergaduhan dan keributan. Sebab itulah sikap suka menghasut dan menimbulkan kegemparan di dalam masyarakat dapat dipandang sebagai penyakit rohani. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
‘Sesungguhnya kalau orang munafik dan mereka yang dihatinya ada penyakit dan penggempar-penggempar (penghasut-penghasut) di Madinah tidak menghentikan (kegiatannya) sudah tentu kami akan perintahkan engkau menyerang mereka, kemudian mereka tiada dapat tinggal berjiran dengan engkau kecuali sementara waktu saja.’
(Q.S. Al-Ahzab, ayat 60)
MENARUH HATI TERHADAP WANITA YANG SUDAH BERSUAMI
Salah satu gejala daripada ketidak-normalan jiwa ialah sikap menaruh hati dan berkeinginan terhadap wanita-wanita yang sudah mempunyai suami. Kerana itulah, maka Allah memberi nasihat kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
‘Hai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak sama dengan seorangpun dari wanita-wanita lain jika kamu berbakti. Maka janganlah kamu berlembut kata (kepada lelaki lain), kerana akan menaruh harapan (akan timbul keinginan) orang yang hatinya ada penyakit melainkan ucapkanlah perkataan yang sopan.’
(Q.S. Al-Ahzab, ayat 32)
Di antara ahli tafsir ada yang mentafsirkan pengertian penyakit dalam ayat tersebut sebagai syahwat zina. Keterangan ini logik kerana orang yang normal fikirannya tentu dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang halal dan mana yang haram. Adapun orang cenderung kepada hal-hal yang tidak wajar dan menyimpang dari nilai-nilai moral maka ia dipandang sebagai kelakuan yang tidak normal.
KEROSAKAN YANG DITIMBULKAN OLEH PENYAKIT ROHANI
Setiap orang merasakan dan mengetahui betapa buruknya akibat-akibat penyakit jasmani yang menimpa seseorang. Tetapi penyakit rohani sebenarnya mempunyai akibat-akibat buruk yang lebih serius daripada penyakit jasmani. Antaranya ialah:
1. MENGGANGGU KETENANGAN
Orang yang berpenyakit rohani tidak akan dapat menikmati ketenangan hidup. Hal ini bererti mencelakakan dan meruntuhkan kebahagian. Hanya orang yang sihat rohani sajalah yang dapat menikmati ketenangan dan kebahagiaan.
2. MENJAUHKAN DIRI DARI TUHAN
Penyakit rohani dalam istilah lain disebut ghibah, sifat buruk, muhlikat, sifat buruk yang merosakkan atau ahlqul mazmunah yakni akhlak yang tercela. Sifat dan sikap mental yang demikian amat tidak diredai oleh Allah dan diperhitungkan sebagai dosa; misalnya munafik, iri hati, sombong, dan lain-lainnya. Dengan demikian memiliki sifat dan sikap tersebut bererti membuat diri dimurkai dan kian jauh dari Tuhan.
3. MELUMPUHKAN DAYA KERJA
Jika orang yang sihat rohaninya dia akan dapat bekerja dengan tekun dan beramal kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya sebagai bakti kepada Allah dan ihsan kepada sesama manusia. Sebaliknya orang yang berpenyakit rohani, daya kerjanya lumpuh dan tidak sanggup melakukan sesuatu yang penting dan bernilai dalam pembangunan. Jika seseorang hanya pandai merosak tetapi tidak pandai membangun maka dapatlah dipandang orang itu sebagai sampah masyarakat bahkan lebih buruk daripada sampah.
4. MEROSAKKAN JASMANI
Ahli-ahli di bidang kesihatan pada umumnya sependapat bahawa penyakit-penyakit rohani mengakibatkan berlakunya kerosakan pada jantung, tekanan darah, saraf, paru-paru dan sebagainya. Gangguan mental menyebabkan orang merasa tidak enak makan, dan tidak dapat tidur. Apabila penyakit rohani itu berlarutan tanpa ada usaha pengubatan dan pencegahan, maka akan membahayakan dirinya sendiri mahupun bagi orang lain.
Apabila penyakit itu kian bertambah berat, sehingga ke tahap membahayakan orang lain serta tidak dapat lagi memahami kenyataan-kenyataan hidup maka orang itu pasti terkena tekanan penyakit gila atau janun.
http://www.tranungkite.net/teladan/teladan250.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan