Ahad, 25 April 2010

SABAR DALAM MENGHADAPI MUSIBAH

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Manusia yang hidup di dunia ini tidak akan terlepas dari menerima ujian dan dugaan dari Allah Subhanahu Wata'ala, perbezaannya hanyalah terletak pada besar atau kecilnya, berat atau ringannya dugaan yang menimpa itu. Tetapi ujian Allah Subhanahu Wata'ala tetap berlaku.
Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 155 tafsirnya :

"Dan demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar".

Sebagai umat Islam kita hendaklah mempunyai kekuatan iman dalam menghadapi apa pun jua situasi yang dihadapi, baik berupa ujian untuk umum seperti kemarau panjang, kebakaran, hujan yang turun tidak hentinya sehingga menyebabkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan sebagainya atau ujian untuk diri atau peribadi seperti penyakit, kemiskinan, kematian orang yang disayangi, dijatuhi hukuman dan sebagainya yang menimpa. Semua ujian ini, haruslah dihadapi dengan ketabahan, ketenangan dan yang paling utama ialah menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Sifat sabar dan tabah dalam menghadapi musibah amat perlu kerana dengan sifat tersebut menjadikan kita redha terhadap qada dan qadar Allah Subhanahu Wata'ala, sekali gus mengelakkan diri kita dari bersikap marah, merasa kecewa, berputus asa dan resah-gelisah dalam menghadapi ujian. Ketahuilah sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala mencintai orang-orang yang sabar, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 146 tafsirnya :

"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di sini kita bawakan dua kisah kesabaran yang perlu kita contohi.

Pertama : Kesabaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam perjuangan untuk menegakkan Islam adalah hasil dari kesabaran Baginda. Baginda sabar menghadapi rintangan walaupun orang kafir melemparkan najis unta kepada Baginda sewaktu Baginda melaksanakan solat. Baginda bersabar dalam kemiskinan walaupun tidak ada makanan untuk dimasak oleh isteri Baginda, namun ibadahnya tidak pernah kurang bahkan ketika Baginda selesai menunaikan solat Subuh di masjid dan pulang ke rumahnya, Baginda bertanya kepada isterinya, apakah ada sarapan pagi atau tidak? Lalu isterinya menjawab : Tidak ada. Baginda bersabda, baiklah aku berpuasa pada hari ini, Baginda berpuasa sunat kerana tidak ada hendak dimakan.

Kedua : Kesabaran Abdullah Ibni Abbas Radiallahuanhuma.

Ketika Abdullah Ibni Abbas Radiallahuanhuma sedang menunggang kenderaannya, beliau telah didatangi oleh seseorang sambil berkata : Semoga Allah mengurniakanmu ganjaran yang berlipat ganda wahai Ibni Abbas, anakmu telah meninggal dunia.
Apakah yang dilakukan Ibni Abbas sebaik-baik sahaja mendengar berita tersebut? Ibni Abbas tidak melakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan seperti kecewa atau berputus asa akan tetapi Ibni Abbas turun dari kenderaannya dan melakukan sembahyang dua rakaat. Selesai beliau sembahyang, orang yang membawa berita itu berkata : Saya sungguh mengkagumi tuan, wahai Ibni Abbas! Saya mengkhabarkan kepada tuan tentang kematian anak tuan lalu tuan menerimanya dengan sembahyang. Ibni Abbas menjelaskan : Tidakkah engkau membaca firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 153 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar".

Muslimin yang berbahagia,

Ketahuilah bahawa sabar itu amat besar pahalanya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala dan menjadi ukuran kepada kekuatan iman seseorang. Sabar itu terbahagi kepada tiga :

Pertama : Sabar yang membawa kepada sampai 300 darjat iaitu sabar mentaati Allah Subhanahu Wata'ala, sabar kerana mendirikan sembahyang, sabar kerana mengucapkan perkataan-perkataan yang baik-baik dan sabar kerana menghubungkan silaturrahim.

Kedua : Sabar yang membawa kepada 600 darjat iaitu sabar kerana menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat seperti zina, judi, ruswah, minum minuman yang memabukkan dan lain-lain lagi.

Ketiga : Sabar yang membawa kepada sampai 900 darjat iaitu sabar yang berlaku pada ketika mula-mula ditimpa ujian atau bencana, baik bencana itu menimpa dirinya atau hartanya atau anaknya.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai hamba Allah yang beriman, kita hendaklah bersabar dan tabah menghadapi segala ujian yang menimpa ke atas kita kerana semua itu adalah qada dan qadar Allah Subhanahu Wata'ala dan sebagai peringatan kepada hamba-hamba-Nya supaya tidak terus lalai dan leka dalam kesenangan dan kemewahan hidup di dunia. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan di dalam Al-Quran untuk sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar dan sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayah serta memberikan perlindungan kepada kita. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 177 tafsirnya :

"Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan Fi Sabilillah. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa".

http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=333

Tiada ulasan:

Catat Ulasan