Ahad, 3 Jun 2018

Tafaqquh 0

Perkataan tafaqquh adalah daripada perkataan fiqh yang bermaksud pengetahuan dan pemahaman tentang sesuatu. Dalam Al-Quran surah At-Taubah ayat 122, Allah ada menyebut liyatafaqqahu fiddin, iaitu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama.

A122
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

“Barang siapa dikehendaki baik oleh Allah maka Allah akan memahamkannya dalam masalah agama” 

Hadits ini juga diriwayatkan oleh Imam Bukhori, Imam Muslim, At-Tirmidzi dan yang lain.

 Hadits ini memberikan isyarat bahwa ketika Allah menghendaki kebaikan pada diri seseorang maka digerakkan hatinya oleh Allah untuk dengan sungguh-sungguh mempelajari dan memahami Agama. Hal ini karena ruh dari agama itu ada dalam ajaran-ajarannya, jika ajaran-ajarannya tidak dipahami dengan benar maka kebaikan agama itupun juga tidak akan pernah dirasakan. 

Dalam hadits yang lain Rasululloh ﷺ bersabda: 

تَجِدُونَ النَّاسَ مَعَادِنَ خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقِهُوا 

Kalian mendapati manusia adalah (seperti) Sumber-sumber. Sebaik-sebaik mereka pada masa jahiliyah adalah sebaik-baik mereka dalam Islam jika mereka memahami (agamanya) 

Hadits ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Bukhori, Muslim dan yang lain-lain.

https://tafaqquh.com/fikrah/tafaqquh-bukan-sekedar-nama/


Tafakkur 0

Perkataan tafakkur adalah daripada perkataan bahasa arab yang membawa maksud berfikir, memikirkan akan sesuatu, pertimbangan, memberi perhatian, mengkaji, mengingati, yakni merenung dan memikirkan ciptaan Allah. Tafakkur merupakan satu perbuatan ibadah dalam islam. Allah telah menyatakan mengenai tafakkur dalam surah ali imran ayat 191 yang berbunyi:


A191
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Jelas sekali bertafakkur adalah sesuatu yang disarankan oleh Allah.Mengapa tafakkur ini amat dianjurkan? Ini kerana terdapat banyak firman Allah SWT yang menyatakan tentang anjuran tafakkur ini. Antaranya seperti berikut;

#1 – Surah Yunus Ayat 101

“Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi.”

#2 – Surah Ad-Dzariyat Ayat 20-21

“Dan, di bumi terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin dan (juga) pada dirimu sendiri. maka, apakah kamu tidak memerhatikannya?”

#3 – Surah Fushilat ayat 53

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di setiap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu benar.”

#4 – Surah Al-A’raf ayat 69

“… maka, ingatlah akan nikmat-nikmat Allah, agar kamu sekalian beruntung.”

#5 – Surah An-Nahl ayat 18

“Dan, jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

#6 – Surah Al-Mujadalah ayat 7

“Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia-lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia-lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian, Ia memberitahu kepada mereka – pada hari kiamat – apa yang telah mereka lakukan. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

#7 – Surah Al-Baqarah ayat 219

“Demikianlah, Allah SWT menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, supaya kamu berfikir tentang dunia dan akhirat.”

#8 – Surah Al-Ankabut ayat 64

“Dan, tiadalah kehidupan dunia ini, melainkan senda gurau dan main-main. Dan, sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”

#9 – Surah Al-Munafiqun ayat 9

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang merugi.”
Tahukah kita, tafakkur ini selain dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, ia juga merupakan ibadah yang boleh melahirkan rasa tauhid, menambah kemakrifatan kepada Allah SWT, melahirkan kecintaan serta syukur kepada-Nya, berfikir tentang janji-janji-Nya, juga menimbulkan rasa kasih dan cinta pada hari akhirat.
Adapun, bertafakkur atau berfikir tentang ancaman mahupun amaran Allah SWT secara tidak langsung akan menimbulkan semangat untuk kita terus beribadah dan beramal, melahirkan rasa takut untuk berbuat maksiat serta menjauhi perkara yang ditegah.
Semoga perkongsian ini dapat menambahkan kecintaan kita untuk menghayati ayat-ayat suci-Nya seterusnya, memikirkan tentang kebesaran penciptaan Allah SWT. Moga bermanfaat. Wallahua’lam.

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 1

RAMADAN al-Mubarak kembali lagi. Orang-orang yang beriman pasti bergembira manakala golongan munafik dan fasik agak suram menyambut bulan yang penuh barakah ini. Sempena Ramadan kali ini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu sebagai tatapan seluruh pembaca di media sosial khasnya.
Tazkirah setiap hari Ramadan yang saya namakan sebagai Tadabbur dan Tafaqquh ini lebih menjurus kepada pemerhatian terhadap ciptaan Allah untuk dijadikan pengajaran kepada kita semua. Dalam juz pertama, Allah telah membawakan perumpamaan seekor nyamuk untuk ditadabbur serta dikaji perkaitan dengan kehidupan seharian kita.
Firman Allah S.W.T:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۖ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ
"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, seperti nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya). Maka adapun orang-orang yang beriman, maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula, maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang yang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik."
[al-Baqarah: 26]
Nyamuk adalah sejenis serangga yang terlalu kecil dan penghisap darah. Sekali lihat, ia adalah suatu makhluk yang hina dan tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Namun, jika ditadabbur serta dikaji, nyamuk boleh mendengar melalui antenanya sama dengan fungsi telinga manusia. Melalui kajian tentang indera pendengaran nyamuk sahaja, manusia boleh mencipta mikrofon yang terbaik dan mampu menangkap suara yang sangat perlahan.
Mengikut Saintis, jika dibuat penelitian melalui mikroskop dan diperbesarkan 400 kali, kita akan dapat menyaksikan di kepala nyamuk terdapat 100 mata, ada sekitar 48 gigi di mulutnya dan memiliki 3 jantung. Ini bermakna, daripada seekor nyamuk sahaja, kita dapat menyaksikan betapa lemahnya manusia dan tiada kemampuan untuk mencipta sesuatu yang lebih kecil daripada nyamuk. Jadi, apa sebab manusia ingin menyombong diri dan berlagak seolah-olah dialah yang berkuasa di muka bumi. Tadabburlah ayat Allah, nescaya ianya menginsafkan kita. Ramadhan Karim!.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN 
Menteri Besar Kelantan 
01 Ramadhan 1439H - HARAKAHDAILY 17/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 2

TAFAKKUR hari ini memfokuskan keagungan serta kuasa Allah S.W.T dalam membangkitkan semula orang mati. Dalam juz kedua ada dinyatakan melalui sepotong ayat berkenaan kisah penduduk sebuah kampung yang lari daripada penyakit taun kerana bimbangkan kematian.
Lalu setelah berhijrah ke perkampungan lain, Allah mematikan mereka. Seorang Nabi yang melalui kawasan berkenaan dikatakan namanya adalah Nabi Syam'un telah berdoa agar Allah menghidupkan mereka semula. Kisah ini dirakamkan melalui firman Allah:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللَّهُ مُوتُوا ثُمَّ أَحْيَاهُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ
"Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: 'Matilah kamu' kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur."
[Al-Baqarah:243]
Setengah riwayat menyatakan jumlah mereka mencecah 30 ribu orang dan ada pendapat jumlah mereka 4 ribu dan 8 ribu orang. Mereka enggan keluar berjihad kerana takutkan mati lantas Allah mematikan mereka dan menghidupkan semula agar mereka melihat kekuasaan Allah dan menjadi hamba yang bersyukur.
Sangat mudah bagi Allah menghidupkan semula orang mati walaupun jasad manusia sudah hancur. Kita semua maklum, apabila seseorang manusia mati, jantung berhenti mengepam darah ke seluruh badan. Sel-sel badan tidak lagi menerima oksigen yang diangkut oleh darah. Akibat ketiadaan oksigen, semua sel akan mati. Kematian sel bermula pada sel otak dan berakhir pada sel kulit.
Setelah manusia yang mati dikebumikan, jasadnya semakin hari akan hancur dimakan bakteria dan serangga di dalam kubur. Apa yang tinggal hanyalah tisu-tisu keras seperti tulang dan gigi. Akhirnya tulang juga akan hancur.
Dengan kuasa-Nya, manusia boleh hidup semula dan kekal di alam akhirat sama ada berada di Syurga atau di kediaman menakutkan Neraka. Marilah kita memohon kepada Allah S.W.T agar membebaskan kita daripada ancaman Neraka sempena kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga kita semua tenang berhadapan dengan kematian dan ketika hidup setelah kematian kelak.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
02 Ramadhan 1439H - HARAKAHDAILY 18/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 3

AL-QURAN telah menerangkan berkaitan proses kejadian manusia sebagai satu tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah. Demikian itu, Allah menempelak sikap manusia yang sering alpa asal-usul kejadian mereka sehinggalah sanggup membantah dan mempertikaikan hakikat kekuasaan Allah secara mutlak.
Manusia perlu menyelidiki semula hakikat kewujudannya yang hanya bermula daripada setitis mani dan Allah yang menentu pertumbuhannya semasa dalam rahim ibu. Firman Allah S.W.T:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَخْفَىٰ عَلَيْهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ (٥) هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٦)
"Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit (5) Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (6)"
[ali-'Imran: 5-6]
Proses kejadian manusia terjadi melalui percantuman benih lelaki dan perempuan yang dikenali sebagai Nutfah. Kemudiannya menjadi segumpal darah atau Alaqah kemudiannya seketul daging atau Mudghah. Setelah itu ia menjadi beberapa tulang atau Izham lalu tulang itu dibaluti dengan daging seterusnya terjadilah lembaga yang ditiupkan roh oleh Allah.
Menurut kajian sains, proses kewujudan manusia itu terdiri daripada sel daging, tulang, saraf, darah dan lain-lain yang membentuk jasad. Pertemuan benih seorang ayah dan ibu akan membentuk janin dalam rahim ibu yang tumbuh secara evolusi. Setelah janin itu sempurna, maka baharulah lahir seorang bayi.
Allah S.W.T dengan kuasa-Nya telah mengizinkan pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain pada minggu keempat. Selain itu, sistem pernafasan bayi sudah terbentuk. Jantung bayi pula mula berdegup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi ke bahagian jantung bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya.
Para Ulama sepakat mengatakan bahawa peniupan roh berlaku selepas terbentuknya organ-organ tubuh iaitu pada hari ke-120. Ketika di alam rahim, perkembangan manusia bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telah pun mempunyai hubungan dengan Allah S.W.T melalui ikatan kesaksian dan perjanjian.
Marilah sama-sama kita melapangkan masa tafakkur ayat-ayat Allah sempena Ramadan ini. Perbanyakkan bacaan al-Quran beserta mempelajari hukum tajwid dan mentadabbur rahsia ayat-ayat Allah yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan tinggi.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
03 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 19/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 4

TAFAKKUR hari ini memfokuskan satu ayat dalam Juz 4 yang membicarakan peranan tidur kepada tubuh badan manusia. Islam mengajar umatnya agar turut mementingkan jadual tidur dan kerehatan badan agar ibadah dan aktiviti harian dapat dilakukan dengan baik.
Tentera Rasulullah S.A.W pernah dibantu oleh Allah dengan bantuan tidur yang dapat mengumpulkan tenaga ketika berperang. Firman Allah S.W.T:
ثُمَّ أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُعَاسًا يَغْشَىٰ طَائِفَةً مِنْكُمْ ۖ وَطَائِفَةٌ قَدْ أَهَمَّتْهُمْ أَنْفُسُهُمْ يَظُنُّونَ بِاللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ ظَنَّ الْجَاهِلِيَّةِ ۖ يَقُولُونَ هَلْ لَنَا مِنَ الْأَمْرِ مِنْ شَيْءٍ ۗ قُلْ إِنَّ الْأَمْرَ كُلَّهُ لِلَّهِ ۗ يُخْفُونَ فِي أَنْفُسِهِمْ مَا لَا يُبْدُونَ لَكَ ۖ يَقُولُونَ لَوْ كَانَ لَنَا مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ مَا قُتِلْنَا هَاهُنَا ۗ قُلْ لَوْ كُنْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ لَبَرَزَ الَّذِينَ كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقَتْلُ إِلَىٰ مَضَاجِعِهِمْ ۖ وَلِيَبْتَلِيَ اللَّهُ مَا فِي صُدُورِكُمْ وَلِيُمَحِّصَ مَا فِي قُلُوبِكُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
"Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang Jahiliyah. Mereka berkata: Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu? Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini? katakanlah (wahai Muhammad): Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing. Dan (apa yang berlaku di medan Perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala yang ada di dalam dada."
 [Ali-'Imran: 154]
Tidur mengikut amalan Sunnah akan mendapat tenaga untuk beribadah. Di dalam Kitab 'Misykatul Mashabih' disebutkan tentang salah satu amalan Sunnah baik untuk kesihatan ialah tidur yang sedikit di waktu tengahari atau Qailulah. Mengikut kajian para Saintis, didapati bahawa tidur pada malam hari sahaja tidak mencukupi untuk manusia tetapi perlu ada sedikit tidur di siang hari dalam masa yang singkat.
Mereka mendapati bahawa otak manusia sebenarnya terdedah kepada keletihan di siang hari kerana berfungsi mengumpul pelbagai maklumat yang sampai kepadanya. Dengan demikian, otak memerlukan sedikit rehat. Rehat ini membolehkan otak menyusun semula maklumat dan mengatur gelombang-gelombang sel ke arah memantapkan semua maklumat yang diterima. Para Saintis juga mendapati prestasi otak dan kemampuan mengingati sesuatu bagi orang yang tidur sekejap di siang hari adalah lebih baik.
Sekiranya penumpuan kepada ibadat banyak diberikan pada waktu malam sempena Ramadan ini, maka sangat wajar ada sedikit kerehatan pada siang hari. Kekurangan tidur sebenarnya juga boleh mengakibatkan prestasi kerja menurun.
Di Amerika Syarikat, terdapat satu Suruhanjaya Khas untuk mengkaji tentang permasalahan yang timbul akibat tidur dan mereka melaporkan bahawa masalah akibat tidur telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian USD 100 hingga 150 billion setahun.
Saintis-saintis dari Universiti Chicago mendapati kekurangan tidur boleh menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan karbohidrat di dalam badan dan mewujudkan masalah seperti penyakit kencing manis.
Kajian juga mendapati seseorang yang tidur kurang daripada 3 jam akan mudah mengalami tekanan perasaan dan akan mudah dijangkiti kuman kerana sistem pertahanan badannya juga turut menjadi lemah.  
Umat Islam perlu sedar bahawa Ramadan merupakan bulan yang datang untuk menjaga kesihatan mereka dan puasa itu sendiri adalah vitamin kesihatan yang sangat mujarab. Baki lagi kita perlu menyusun jadual tidur dengan baik supaya ibadah semasa Ramadan tidak terganggu.
Ramadan Karim!
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
04 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 20/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 5

KITAB al-Quran merupakan mukjizat paling besar bagi Rasulullah S.A.W. Banyak ilmu-ilmu yang sukar untuk difahami pada zaman lampau akhirnya dapat dirungkai secara mendalam pada zaman kini melalui pemahaman kandungan al-Quran.
Allah S.W.T tidak menurunkan al-Quran semata-mata untuk memberi peringatan kepada manusia akan tetapi terdapat pelbagai ilmu dan jawapan bagi segala permasalahan. Sekiranya al-Quran hanya rekaan manusia dan tidak datang daripada Allah, nescaya banyak berlaku percanggahan. Firman Allah S.W.T:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
"Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan daripada sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya."
[al-Nisa': 82]
Tidak ada sebuah kitab pun yang dapat menandingi kitab suci al-Quran, sama ada mengenai ketinggian isinya, kejelasan keterangannya dan kesannya yang amat mendalam terpahat di jiwa. Allah S.W.T telah berjanji untuk memelihara dan melindungi al-Quran sehingga Hari Kiamat. Oleh itu, tiada kuasa dan sesiapa pun dapat merubahnya serta memalsukan ayat-ayatnya.
Terdapat golongan yang ingin mencipta sendiri kandungan ayat seumpama al-Quran seperti Musailamah al-Kazzab dan lain-lain pada zaman lampau. Sekitar tahun 1999, keluar kitab yang dikatakan al-Quran dinamakan al-Furqon al-Haq yang diterbitkan dalam Bahasa Arab yang mempunyai 77 Surah dan 366 halaman disebar di Iraq dan Kuwait. Namun, akhirnya kitab palsu yang dicetak di Amerika ini berjaya dilenyapkan oleh para Ulama Islam dan ditolak oleh seluruh umat Islam.
Sempena Ramadan al-Mubarak ini, al-Quran hendaklah diberi keutamaan serta dijadikan rujukan utama dalam semua aspek kehidupan. Ramadan adalah bulan al-Quran. Sangat memalukan sekiranya umat Islam hanya menjadikan al-Quran sebagai bahan perhiasan dan pendinding dalam kenderaan.
Ittaqillah!
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
05 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 21/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 6

RENUNGAN hari ini sekitar perbincangan ayat berkaitan pengharaman bangkai, darah, daging babi dan perkara lain yang memudaratkan manusia.
Allah S.W.T melarang keras daripada memakan perkara yang memudaratkan dan menamakan perkara tersebut sebagaimana dalam firman-Nya:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣)
"Diharamkan kepada kamu memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah, daging babi, binatang-binatang yang disembelih kerana yang selain daripada Allah, haiwan yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) serta yang disembelih atas nama berhala. Dan diharamkan juga kamu merenung nasib dengan undian anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu. Oleh itu, janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu serta Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[al-Ma'idah: 3]
Islam sangat mementingkan pegambilan makanan yang halal dan bersih. Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan dalam kitab beliau; Halal dan Haram Dalam Islam bahawa terdapat hikmah terlalu besar kenapa Allah mengharamkan kepada manusia bangkai, darah dan daging babi.
Bangkai disifatkan sebagai binatang yang kematiannya tidak disebabkan oleh sembelihan manusia. Secara naluri, bangkai dipandang sebagai sesuatu yang kotor dan tidak sesuai dengan kehormatan manusia memakannya.
Islam mengharamkan pemakanan darah kerana ia boleh memudaratkan. Saintis Islam terkenal, Prof Dr Zaghlul Al-Najjar menyebut bahawa darah dapat menularkan penyakit serius seperti HIV yang masih dianggap sebagai penyakit yang terlalu sukar diubati.
Dalam kandungan darah yang telah terdedah, terdapat pelbagai jenis gas bebas dan terlarut yang terkandung dalam plasma darah serta berkemungkinan tinggi terdapat virus yang hidup atau mati, bakteria dan parasit. Pemakanan darah ini sudah pasti akan memberi kesan tidak baik terhadap kesihatan manusia.
Begitu juga dengan daging babi, pegambilannya sebagai makanan boleh menjejaskan kesihatan. Dalam Journal of Virology 1997, dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang Pakar Sains yang dipimpin oleh Dr Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin, menunjukkan pada kerongkong babi terdapat sel-sel yang mampu merubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya.
Mengikut kajian itu juga, virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia akan bertukar menjadi kuman yang berbahaya dan boleh menjangkiti serta membunuh manusia selepas melalui perubahan di dalam tubuh babi. Jika manusia turut memakan babi, maka virus ini boleh menjangkiti pemakan tersebut dan boleh membahayakan kesihatannya.
Pilihlah makanan yang halal, thoyyibat dan tidak menjejaskan kesihatan tubuh badan. Ia sangat penting di bulan Ramadan ini, supaya ibadah kita tidak terjejas dan puasa yang ditaklifkan dapat disempurnakan dengan turut memperolehi kadar kesihatan yang baik kepada tubuh badan.
Selamat berpuasa, semoga beroleh ketakwaan.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
06 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 22/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 7

TAFAKKUR bacaan al-Quran hari ini memfokuskan satu ayat berkenaan rahsia penciptaan bintang di langit serta manfaatnya kepada makhluk di bumi. Allah S.W.T berfirman:
وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ لِتَهْتَدُوا بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (٩٧)
"Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan malam di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran Kami satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui."
[al-An'am: 97]
Bintang di langit adalah sebagai penunjuk arah bagi mereka yang berlayar di lautan mahupun orang yang berada di daratan. Allah S.W.T menyusun bintang-bintang mengikut susunannya yang tersendiri dan dapat dijadikan sebagai panduan arah kepada mereka yang mahir dalam ilmu ini.
Perlu diingatkan juga bahawa bintang tidak membawa apa-apa erti terhadap ramalan hidup seseorang. Ia hanya sebagai penunjuk arah, perejam Syaitan dan pengindah langit.
Penelitian berkaitan kewujudan bintang di langit termasuklah penerokaan ke angkasa bukanlah suatu yang asing bagi umat Islam. Secara tidak langsung, ini memberi erti bahawa kehidupan dan pengurusan manusia tidak terhad kepada bumi yang didiami manusia tetapi meliputi apa yang ada di luar atmosfera bumi.
Allah menyebut perkataan al-Samawat (السماوات) pada banyak ayat-ayat al-Quran mendahului al-Ardh (الأرض), menunjukkan terdapat kebesaran ciptaan Allah di langit yang perlu dikaji. Rasulullah S.A.W telah menerobos ke angkasa melalui Peristiwa Mikraj. Baginda telah naik ke langit dunia dengan kenderaan khas hingga ke langit ketujuh dan seterusnya ke Sidratul Muntaha.
Sementara pengkajian tentang ilmu penerbangan ke angkasa bukanlah suatu perkara baru bagi umat Islam. Jika ditinjau dari segi sejarah, orang yang pertama mencetuskan idea, mencipta dan melakukan teknologi penerbangan bukanlah daripada kalangan Bangsa Eropah akan tetapi seorang ahli Fizik dan Astronomi beragama Islam. Abbas Ibn Firnas, merupakan manusia pertama membuat penerbangan percubaan secara saintifik dalam sejarah sebagaimana disebut oleh ramai para sejarawan.
Selepas itulah, adanya percubaan pada abad ke-20 di mana mesin penerbangan pertama di dunia mula diterbangkan oleh Wright bersaudara pada 17 Disember 1903 di Amerika Syarikat.
Ini membuktikan bahawa umat Islam terkehadapan dalam pelbagai ilmu termasuk ilmu astronomi dan kajian angkasa. Ramadan adalah bulan untuk meneliti segala khazanah yang penuh takjub dalam al-Quran, bacalah serta tafakkurlah ayat-ayat Allah dengan penuh tawajuh.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
07 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 23/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 8

PENELITIAN dalam risalah Tafakkur pada Juz 8 hari ini mengambil pengajaran daripada satu ayat yang menyentuh berkenaan kehebatan ilmu Allah pada penciptaan angin. Antara lain Allah S.W.T berfirman:
وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالًا سُقْنَاهُ لِبَلَدٍ مَيِّتٍ فَأَنْزَلْنَا بِهِ الْمَاءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِ مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (٥٧)
"Dan Dia-lah yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang kering-kontang, lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu. Kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)."
[al-A'raf: 57]
Perkataan angin dalam al-Quran datang dengan lafaz al-Riyah (الرِّيَاحَ) yang membawa erti tiupan angin yang baik berserta rahmat. Sementara lafaz yang datang dengan al-Rih (الرِّيح) membawa maksud tiupan angin azab yang memusnahkan manusia.
Para Ulama telah mengkaji ayat-ayat Allah tentang kehebatan makhluk angin ini. Imam Ibnu Kathir telah menyebut dalam tafsirnya pendapat Sayyidina Abdullah ibnu Amru R.A bahawa angin yang disebut dalam al-Quran terbahagi kepada lapan jenis. Terdapat empat angin pembawa rahmat dan empat angin yang membawa azab.
Empat angin pembawa kebaikan disebut dalam al-Quran sebagai Al-Zaariyat, Al-Mursalat, Al-Mubassyirat dan Al-Naasyirat. Sementara angin azab dinyatakan dua daripadanya dapat memusnahkan makhluk di darat iaitu Al-Shorshor dan Al-'Aqim. Angin pemusnah di lautan pula ialah Al-Qashif dan Al-‘Ashif.
Demikian itu, Allah S.W.T mengarahkan kita memerhatikan isi kandungan al-Quran secara mendalam kerana padanya terdapat terlalu banyak rahsia alam yang sangat berguna untuk manusia termasuk ilmu tentang pergerakan angin.
Pada hari ini, angin juga turut digunakan untuk menghasilkan elektrik. Angin yang bertiup dapat memusingkan bilah kipas pada turbin angin. Bilah kipas kemudiannya akan menggerakkan gandar yang disambungkan pada generator dan akan menghasilkan tenaga elektrik.
Begitu juga dalam penurunan hujan, angin memainkan peranan dalam pembentukan awan yang akhirnya menghasilkan air hujan. Pakar Meteorologi hanya mengetahui maklumat terperinci pembentukan hujan, struktur dan fungsinya setelah adanya peralatan canggih seperti kapal terbang, satelit, komputer dan lain-lain.
Ianya adalah bukti bahawa al-Quran sangat kaya dengan khazanah ilmu yang tidak mampu dicapai oleh pemikiran manusia melainkan dengan tafakkur dan tafaqquh ayat-ayatnya.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
08 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 24/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 9

TAFAKKUR pada hari ini sekitar ayat yang membincangkan perihal hati manusia yang sentiasa berbolak-balik. Allah S.W.T memberi perumpamaan golongan yang tidak mendidik hati sehingga keras membatu adalah sama seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi, Firman-Nya yang berbunyi:
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak daripada kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti ke-Esaan Allah) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."
[al-A'raf: 179]
Pada hakikatnya, semua perkara dikuasai oleh hati manusia, baiknya hati, maka baiklah seluruh anggota begitulah juga sebaliknya. Apabila kita melihat, yang melihat itu bukannya mata. Mata hanya sebagai alat sahaja dan yang sebenarnya melihat adalah hati. Jika hati baik, maka yang dilihat adalah hal-hal yang baik. Hati yang baik tidak sanggup untuk melihat kejahatan dan kemungkaran.
Begitulah juga apabila seseorang itu berfikir, maka bukan otaknya yang berfikir akan tetapi hatinya yang berfikir dan memahami sesuatu. Inilah yang dimaksudkan oleh Firman Allah di atas, bahawa adanya hati yang faqih dan hati yang tidak faqih. Otak pada hakikatnya hanyalah alat bagi hati untuk menerima perintah daripada hati. Akal sebenarnya boleh merosakkan anggota apabila hati manusia tadi rosak.
Mengikut Pakar Sains, manusia mempunyai dua jenis minda iaitu akal atau minda sedar dan hati yang dipanggil minda segar atau minda bawah sedar. Hati sebenarnya berpotensi sebanyak 88 hingga 90 peratus untuk menguasai seluruh keupayaan tubuh badan manusia. Oleh kerana itulah, Islam sangat mementingkan penjagaan hati agar tidak dicemari dengan sifat Mazmumah yang boleh merosakkan seluruh anggota.
Sempena kedatangan Ramadan, kita mestilah berusaha mendidik hati agar sentiasa tunduk dan patuh terhadap tuntutan Allah walaupun bercanggah dengan emosi dan kecanggihan zaman. Sesungguhnya rahsia kemuliaan yang Allah S.W.T kurniakan kepada manusia berbanding dengan haiwan ialah kefaqihan hati.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
09 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 25/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 10

PENELITIAN terhadap kandungan ayat-ayat suci al-Quran membolehkan seseorang itu memperolehi pelbagai pengetahuan yang sangat mendalam. Al-Quran merupakan khazanah ilmu yang sangat unik selain ianya adalah mukjizat kenabian.
Umpamanya al-Quran ada menyebut tentang keperluan manusia memiliki binatang tunggangan yang pantas seperti kuda bagi kegunaan dalam bertempur sebagaimana dalam Firman Allah S.W.T:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap serta bersiap-sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya."
[al-Anfal: 60]
Pada zaman dahulu, kuda dijadikan sebagai binatang untuk bermusafir dan berperang. Kuda memiliki kekuatannya tersendiri berbanding binatang tunggangan lain. Kuda Arab dianggap sebagai kuda yang mewarisi kelajuan sejak turun-temurun, mempunyai kekuatan, ketahanan dan kelasakan. Ia sangat sesuai digunakan dalam berperang kerana ia mempunyai kepantasan menyerang dan lariannya yang mengkagumkan.
Setelah zaman mula berubah serta teknologi semakin canggih, kenyataan ayat al-Quran berkenaan adalah selari dengan persediaan yang menggerunkan musuh melalui ciptaan pelbagai jenis kenderaan tahan lasak dan pantas. Kenderaan untuk berperang di darat seperti kereta kebal, di udara seperti jet pejuang dan kapal selam di air mula digunakan dalam peperangan.
Kini kereta kebal dicipta khas sebagai kenderaan tempur berperisai serta berantai yang mampu untuk memusnahkan musuh melalui tembakan langsung daripada meriam dan tembakan sokongan daripada mesingan. Semua kereta kebal yang direka adalah sangat kuat dan berbahaya. Antara kereta kebal yang mempunyai perisai tambahan dan dikemaskini dengan alat elektronik terbaru ialah Leopard 2A7 rekaan German dan K2 Black Panther rekaan Korea Selatan.
Begitu juga pelbagai jenis kereta yang laju direka pada hari ini seumpama kereta Lykan Hypersport keluaran syarikat W Motors yang terletak di Dubai. Ia dilengkapi dengan enjin 3.7 liter twin-turbo flat-six yang menghasilkan 720 kuasa kuda dan mampu mencapai 100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat sementara kelajuan maksima mencecah 384 km/j.
Kesemua rekaan moden yang digunakan untuk bertempur khususnya adalah kenyataan yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran melalui kalimah 'Quwwah' dan 'Ribat Al-Khail' sebagaimana dalam ayat di atas.
Tafakkurlah al-Quran!
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
10 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 26/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 11

ALLAH S.W.T telah mencipta langit dan bumi serta matahari dan bulan untuk melancarkan kehidupan makhluk-Nya. Seluruh ciptaan Allah mengandungi pelbagai rahsia dan pedoman kehidupan. Tafakkurlah Firman Allah S.W.T berikut:
هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
"Dia-lah yang menjadikan matahari terang-benderang dan bulan bercahaya dan Dia-lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu berpindah-randah pada tempat-tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui."
[Yunus: 5]
Kejadian matahari dan bulan adalah suatu ciptaan yang sangat menakjubkan. Matahari adalah cakerawala yang sangat penting kepada seluruh kehidupan di bumi. Termasuklah tumbuh-tumbuhan memerlukan tenaga yang terdapat pada matahari untuk membuat makanan semasa Proses Fotosintesis.
Matahari terdiri daripada gas yang amat panas. Matahari dikelilingi oleh planet lain seperti Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, dan Neptun. Ahli Astronomi mengatakan bahawa matahari bergerak di dalam satu perjalanan di Galaksi Bima Sakti.
Pergerakan matahari turut diikuti oleh planet-planet lain di dalam Sistem Solar, termasuk planet bumi, berdasarkan kepada graviti dan tenaga yang terhasil. Mereka semua tunduk pada perintah Allah, bergerak mengikut orbit tersendiri, tidak pernah ingkar apatah lagi berlanggar dengan planet lain.
Manakala semasa bulan berputar mengelilingi bumi, matahari memancarkan cahayanya ke beberapa bahagian permukaannya. Dengan ini, terjadilah bulan sabit, bulan purnama dan bulan separuh.
Pusingan peringkat peredaran bulan akan menentukan perjalanan waktu, hari, minggu, bulan, dan tahun. Ia juga menentukan cuaca dan iklim sesuatu tempat. Dengan sebab putaran bulan ini juga, berlakunya air pasang surut.
Begitu banyak sekali kegunaan dan faedah sinar matahari dan cahaya bulan itu bagi makhluk Allah secara umumnya dan bagi manusia secara khusus. Semuanya itu sebenarnya dapat dijadikan dalil tentang wujudnya Allah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.
Allah menerangkan bahawa Dia telah menetapkan manzilah-manzilah(tempat-tempat perjalanan) bagi perjalanan matahari dan bulan. Pada setiap malam, bulan melalui satu manzilah. Sejak daripada manzilahpertama hingga manzilah terakhir memerlukan waktu antara 29 atau 30 malam atau disebut satu bulan.
Dengan demikian, manusia dengan mudah dapat mengetahui bilangan tahun, waktu hari sehingga kita dapat menetapkan waktu solat, puasa, waktu menunaikan ibadah haji dan sebagainya.
Renunglah ayat-ayat Allah yang sarat dengan pelbagai hikmah.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
11 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 27/5/2018

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 12

TAFAKKUR hari ini masih meneliti keagungan ciptaan Allah di langit dan bumi. Setiap kajian yang dilakukan bersandar kepada ayat al-Quran pasti akan membuahkan pengetahuan yang sangat luar biasa dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada jiwa manusia.
Allah telah menjelaskan kepada manusia tentang kekuasaan-Nya mencipta langit dan bumi dalam enam masa sebagaimana ayat:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۗ وَلَئِنْ قُلْتَ إِنَّكُمْ مَبْعُوثُونَ مِنْ بَعْدِ الْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ
"Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang Arasy-Nya berada di atas air. Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) berkata: bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati, tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata."
[Hud: 7]
Jika diteliti kepada pendapat para Mufassirun dalam mentafsirkan ayat berkenaan, bahawa yang disebut dengan 'sittati ayyaamin' itu adalah enam tahap atau proses penciptaan. Ia bukanlah enam hari sebagaimana hari-hari kita sekarang ini walaupun di sana ada pendapat Ulama yang turut menyatakan ia adalah seumpama enam hari biasa cuma peredarannya adalah dalam ilmu Allah yang tiada siapa mengetahuinya.
Sayyidina Ibnu Abbas, Mujahid dan al-Dhahhak berpendapat bahawa enam masa tersebut tidak seperti masa kehidupan kita bahkan setiap satu masa atau satu hari itu bersamaan dengan 1,000 tahun hari yang biasa.
Para Saintis Islam menyatakan bahawa hari atau fasa pertama penciptaan langit dan bumi dimulai dengan sebuah ledakan besar (Big Bang) sekitar 12 hingga 20 juta tahun lalu. Kemudian fasa kedua bermula proses pembentukan langit. Langit dilihat berwarna biru adalah disebabkan pantulan cahaya matahari oleh partikel-partikel di atmosfera.
Pada fasa ketiga berlaku penciptaan alam semesta melalui proses penciptaan tata suria termasuk bumi. Setelah bumi dicipta, pada fasa keempat berlaku pemadatan di kerak bumi seterusnya ia menjadi dasar lautan dan daratan. Kemudian hadirnya air dan atmosfera di bumi yang menjadi syarat terciptanya kehidupan di bumi pada fasa kelima.
Setelah itu, berlakulah fasa keenam melalui proses penciptaan alam dengan lahirnya kehidupan di bumi yang bermula daripada makhluk bersel tunggal dan tumbuh-tumbuhan. Hadirnya tumbuh-tumbuhan dan Proses Fotosintesis menyebabkan atmosfera bumi mulai terisi dengan oksigen.
Allah turut mengkhabarkan keagungan-Nya tentang awal penciptaan alam semesta sebelum makhluk manusia dan jin diciptakan dan bahawa Arasy Allah telah berada di atas air sebelum penciptaan langit dan bumi. Para Malaikat ada yang memikul Arasy dan yang berada di sekelilingnya bertasbih serta tunduk patuh kepada Allah S.W.T.
Ayat-ayat sebegini sangat perlu ditafakkur serta ditafaqquh kerana ia memberi rasa kerdilnya kita dan dapat melahirkan rasa kepatuhan yang sepenuhnya kepada Allah S.W.T.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
12 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 28/5/2018