Sabtu, 6 Oktober 2012

Bagaimana mendidik hati


Hati atau roh merupakan raja dalam ke­rajaan diri. Justeru itu, hatilah yang harus menjadi sasaran pendidikan kita. Gagal mendidik dan membaiki hati bererti gagal mendidik dan baiki manusia. Hati mempunyai dua penasihat yakni akal dan nafsu. Jika akal menjadi penasihat, maka hati pun baik. Jika nafsu menjadi penasihat, maka raja dalam diri manusia itupun menjadi jahat. 

Kelebihan
 
Anggota lahir hanya sebagai rakyat dalam kerajaan diri yang patuh pada perintah raja. Apabila hati jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Sebaliknya jika hati baik, baiklah seluruh anggota badan.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging, bila daging itu baik, baiklah seluruh anggota badan dan jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah itulah hati."
Hati sebagai raja dalam kerajaan diri mempunyai kelebihan daripada semua ang­gota lahir. Dia adalah raja yang luar biasa, yang sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menja­lankan sistem kehidupan yang sangat luas. Di dalam hati yang bersifat tersembunyi, pemimpinnya juga tersembunyi. Malaikat akan memimpin hati dengan sesuatu yang datang dari Allah. Syaitan pula akan memimpin hati dengan sesuatu yang datang dari Iblis. Walaupun hakikatnya semua perlakuan dari Allah jua tetapi kita sandarkan yang jahat kepada syaitan dan yang baik dari Allah, mesti tepat dan benar manakala yang datang dari syaitan ialah kekufuran dan tidak baik.
Hati sangat peka, tidak kira kepada yang positif atau negatif. Hati akan merasa bila datang cabaran. Yakni bila ada rangsangan dari luar misalnya, hati yang sensitif akan cepat tersinggung.
Kadangkala kerana kita tidak berhalus atau tidak ambil perhatian pada perjalanan hati maka kita rasa kita sudah baik dan sudah tenang. Tetapi sebaik sahaja datang cabaran atau rangsangan dari luar, barulah terasa yang sebenar. Misalnya, bila orang marah pada kita, bangkit rasa hendak marah balik. Ini menyedarkan kita bahawa kita ada sifat pemarah. Jika tiada rangsangan tadi, kita merasa hati kita sudah baik dan tiada sifat pemarah. Ini terbukti bahawa apabila timbulnya rangsangan dari luar membuat hati merasai sesuatu. Dari situ timbul kesedaran.
Walaupun hati manusia cuma satu tetapi oleh kerana rangsangan yang datang itu pelbagai, maka pelbagai jugalah rasa dan kesedaran. Misalnya bila mendapat satu kejayaan, hati akan menerima satu rangsangan lalu akan merasa sama ada bangga, riya', ujub atau ego dengan kejayaan itu ataupun rasa syukur dan malu kepada Allah. Pada waku merasa itulah hati yang sensitif akan merasa sedar. Sekiranya hati tidak sedar ia sudah berbuat baik, ini satu sifat terpuji kerana tidak akan berbangga dengan kebaikan itu. Tetapi jangan pula sampai hati tidak bersyukur kepada Allah atas keizinannya kita boleh buat kebaikan.Yang paling buruk ialah bila hati tidak sedar ia jahat. Hati tidak sedar, rangsangan yang datang membuatkan ia rasa bangga atau ego. Lebih berbahaya jika hati yang jahat disedari sebagai hati yang baik. Yang empunya hati tidak akan sedar kejahatannya sampai bila-bila dan tidak akan cuba buat perubahan dengan bertaubat. Bahkan akan terus berbuat jahat kerana merasakan dirinya dalam kebaikan.
Rasa hati terbahagi kepada dua. Kedua-duanya merupakan benih yang ditanam oleh Allah S.W.T. ke dalam hati manusia. Inilah fitrah semula jadi. Ia lahir bersama lahirnya manusia. Cuma sama ada ia akan subur atau terbantut, bergantung kepada usaha manusia itu sendiri. Misalnya di dalam satu kebun, benih jagung telah ditanam, terpulanglah kepada petani untuk menyiram, membaja dan menjaganya. Jika benih itu baik tetapi tidak dijaga, mungkin ia mati sebelum tumbuh ataupun ia terbantut. Begitu juga dengan hati. Fitrah baik manusia itu, jika tidak disuburkan dari awal, kemungkinan ia mati akhirnya.
Sebaliknya jika awal-awal telah disuburkan, ia akan berakar umbi di dalam hati hingga mudahlah hati itu menjadi baik. Jika sudah terlewat baru hendak disuburkan, agak sukar kerana ia umpama benih yang terbiar lama tanpa disirami, dibajai dan dijaga. Perasaan yang positif pada hati boleh dibantutkan jika sejak kecil seseorang itu tidak dididik, dibimbing dan diasuh. Maka ia akan terpaksa bersusah payah untuk menyuburkannya kembali. Sebaliknya jika benih yang positif (mahmudah) ini dijaga dan disuburkan sejak kecil maka ia akan subur dan tidak payah lagi bersusah payah bila dewasa. Jika perasaan negatif sejak kecil lagi susah disuburkan maka payah pula untuk ditebang bila sudah dewasa kerana pokoknya sudah teguh.
Begitulah juga sifat mazmumah (sifat keji) jika sudah disuburkan dalam hati sejak kecil dan setelah dewasa baru hendak dibuang maka usaha itu amat payah. Antara benih positif (mahmudah) ialah rasa kasih, penyayang, simpati, pemurah, pemalu, rendah diri, hormat, taat, redha dan sabar yang mana semua ini Allah tanam sebagai sifat positif di hati manusia. 

Bantut
 
Benih negatif pula ialah rasa benci, pemarah, besar diri, bangga, dendam, hasad, bakhil, suka buat fitnah dan lain-lain. Jadi manusialah yang perlu berusaha untuk menyuburkan atau membantutkan yang positif dan negatif itu. Benih kejahatan adalah umpama harimau tidur dalam diri manusia sama ada dapat mengawal atau mematikannya . Bila benih mahmudah disuburkan maka benih mazmumah akan bantut atau mati. Jika benih mahmudah yang kita suburkan maka malaikat akan turut membantu menyuburkannya. Maka pada ketika itu bersihlah hati kita. Sebaliknya, jika benih negatif yang kita suburkan maka syaitan akan membantu mengotorkan hati kita maka kotorlah ia. 

**diambil dari http://www.tranungkite.net/lama/berita10/warta87.htm
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan