Sabtu, 12 September 2009

kasih di hujung rindu part 9

Bab 41 – Farah

Dua hari di rumah tanpa Farhan dan Azim, kurasakan begitu sepi sekali. Aku mulai rindukan gelak ketawa dan celoteh mereka berdua. Ketiadaan Khairul menambahkan kebosanan aku di sini. Kesihatanku semakin baik. Aku sudah tidak mengalami mual atau loya. Malah badanku juga semakin segar.

Di rumah aku hanya melakukan kerja-kerja ringan sahaja. Nasib baiklah anak-anak tiada di rumah. Tidaklah teruk aku mengemas barang-barang permainan mereka. Walaupun mereka nakal, namun tidaklah sampai membuatkan aku hilang sabar. Terutama sekali Farhan yang amat gemar mengusik adiknya, sekali-sekali memeningkan kepalaku juga. Apabila dia nampak seperti aku mahu memarahinya, dia akan cepat-cepat datang memelukku dan mengucup pipiku. Hilang perasaan marahku padanya.

Rindunya pada Farhan dan Azim. Rasanya elok aku ke sana untuk mengambil mereka. Lagipun esok, papanya sudah pulang. Lebih elok kalau ada anak-anak sekali. Rasa janggal pula bila tiada mereka. Kalau anak-anak tiada, sudah tentu aku terpaksa tidur di dalam biliknya. Ish… kenapa pula. Emak dan ayahkan sudah pulang. Jadi, bolehlah aku pindah semula ke dalam bilikku. Bagus juga. Selepas berkemas barulah aku pulang ke kampung untuk mengambil anak-anak.

Jika aku kembali ke bilikku semula, apa pula kata Khairul? Apa pula tanggapannya padaku nanti? Adakah apa yang aku lakukan itu betul atau mengeruhkan lagi suasana? Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan? Tambahan pula aku sedang mengandungkan zuriatnya. Wajarkah aku menyembunyikan tentang kandungan ini darinya? Padahal dia berhak tahu kerana dia adalah bakal ayah buat anakku ini. Jika aku memberitahu akan berita itu, apa pula tindakannya nanti? Pelbagai kemungkinan yang akan dilakukannya. Argghhh… aku buntu… buntu..!!!

Walau macam manapun aku tetap akan berpindah masuk semula ke bilikku. Aku tidak sanggup menghadapinya lagi. Tambahan pula keadaanku yang sudah berbadan dua ini, pasti menimbulkan syak terhadapnya jika aku mual atau loya sekali sekali. Dia sudah berpengalaman sebe lum ini sewaktu Linda menghamilkan Farhan dan Azim. Sudah tentu dia lali dengan keadaan orang mengandung.
Aku juga fikir, buat sementara ini biarlah ia menjadi rahsia dahulu. Keadaan kami tidak begitu baik
kebelakangan ini dan banyak masalah yang wujud di antara kami berdua. Aku sendiri yang bermasalah
sebenarnya. Tidak dapat menerima kehadirannya lagi walaupun aku tahu sudah banyak kali dia mencuba. Namun, hati ini begitu keras untuk menerimanya kembali.

Aku akui, perasaan kasih masih bersisa di hatiku. Cuma kesan perbuatan dan kata-katanya dahulu yang menjadi tembok pemisah perhubungan kami. Terlalu sukar untukku memaafkan dirinya. Adakah aku mementingkan diri sendiri? Tapi, aku rasa tidak. Anak-anaknya tetap kulayan dengan baik. Tidak sanggup aku berpisah dengan Farhan dan Azim. Mereka berdua bagaikan nyawaku.

Ah! Sudah lama aku mengelamun. Aku perlu mengemaskan barang-barang dan pakaianku ke dalam bilikku semula. Sekejap lagi aku perlu bergegas ke kampung untuk mengambil Farhan dan Azim.

Tanpa berlengah-lengah lagi aku terus menaiki anak tangga lalu menuju ke dalam bilik Khairul. Aku mengangkut kesemua barang-barang kepunyaanku masuk ke dalam bilikku semula. Dan aku mula mengemas dan meletakkan semua barang-barangku. Hampir sejam aku mengemaskan bilikku.

Setelah memastikan segalanya telah selesai, aku bersiap pula untuk ke kampung emak Khairul. Aku mahu membawa pulang Farhan dan Azim.

Aku memulakan perjalanan tepat pukul sepuluh pagi.

Bab 42 – Farah

Kedatanganku di sambut dingin oleh emak Khairul. Namun, dia agak terkejut melihat aku berada di hadapan rumahnya sebentar tadi. Setelah mempelawa aku masuk, dia membiarkan aku seorang diri di ruang tamu bersama Farhan dan Azim. Ayah Khairul pula keluar membeli barang di bandar.
"Ada apa kau datang ke sini?" Tiba-tiba sahaja emak Khairul muncul di belakangku sambil menatang dulang.

Aku agak tersentak. Namun, aku cuba berlagak selamba dan melemparkan senyuman. Azim pula duduk di atas ribaku. Farhan pula sedang memeluk leherku dari belakang. Aku tahu dia mahukan aku mengendongnya. Nampak sangat dia rindukan diriku ini. Tetapi kemesraan yang ditunjukkan oleh Farhan dan Azim seperti tidak disenangi oleh emak Khairul. Dia hanya menjeling sahaja kepada cucu-cucunya itu.

"Emmm… saya mahu bawa pulang Farhan dan Azim." Jawabku perlahan.

"Apa? Aku tak benarkan." Terpegun aku mendengar jawapan dari mulut emak. Kenapa pula?

"Emak…"

"Aku kata tak boleh, tak boleh. Selagi kau belum berhenti kerja, aku takkan benarkan kau ambil balik
cucu-cucu aku nie. Aku mahu kau berhenti dan jaga Farhan dan Azim sepenuh masa. Bukannya tinggalkan budak-budak ini kepada pengasuh. Lagipun Khairul berkahwin dengan kau dulupun sebab mahukan kau menjaga anak-anaknya."

Aku terdiam tanpa kata. Farhan dan Azim juga seperti terkejut apabila melihat opah mereka meninggikan suaranya kepadaku. Azim memeluk erat tubuhku. Aku tahu dia takut melihat perubahan pada suara opah mereka.

"Auntie Mama, naper opah marah-marah?" Farhan menyoalku. Aku berpaling kepadanya. Wajahnya kelihatan ketakutan.

"Tak adalah." Balasku lalu mengucup pipinya.

"Emak. Bukankah Khairul sudah berjanji bahawa bila tiba masanya nanti, saya akan berhenti kerja." Aku
cuba untuk memujuk emak agar membenarkan.

"Aku tak kata aku setuju." Pintas emak. Aku mengeluh perlahan. Nampaknya emak cuba untuk ‘menyerang’ku semasa ketiadaan ayah dan Khairul.

"Lagipun aku tengok kau sekarang sudah berubah. Badan kau pun makin berisi. Kau mengandungkah?" Pertanyaan yang keluar dari mulut emak bagaikan merentap nyawaku. Bagaimana emak dapat mengesan aku sedang hamil? Mukaku pucat kerana ketakutan rahsiaku akan bocor. Apa harus aku katakan?

"Tidak." Balasku sepatah. Emak merenung ke wajahku lalu tersenyum sinis.

"Aku hidup lagi lama dari kau. Aku dah masak dengan keadaan orang yang mengandung. Kau jangan nak berdalih dengan aku." Terlalu kasar bahasa yang emak gunakan kepadaku. Air mata sudah bergenang di kelopak mataku. Aku kuatkan hati agar tidak menitiskan air mata di hadapan emak.

"Mungkin juga. Saya belum pergi buat pemeriksaan. Tapi, mak… benarkan saya bawa pulang anak anak." Rayuku lagi. Kali ini emak berdiri sambil bercekak pinggang di hadapanku. Aku terkejut dengan tindakannya.

"Kau tak fahamkah? Aku kata tak boleh, maknanya tak bolehlah. Selagi kau tak turutkan kata-kata aku,
jangan harap kau dapat cucu-cucu aku ini. Sudah Farhan, Azim… mari ikut opah." Emak menengking aku di hadapan Farhan dan Azim. Kemudiannya dia terus menarik tangan Farhan dan Azim agar menurutnya. Tetapi mereka berdua berkeras dan terus mengeratkan pelukan padaku. Air mata sudah berderai di pipiku.
"Emak, jangan buat saya begini. Jangan pisahkan anak-anak dari saya." Ucapku bercampur sendu.

"Aku tak pisahkan mereka dari kau. Kau yang pisahkan mereka dari aku. Sejak kau ada di rumah itu, aku nie dah macam tak ada cucu-cucu. Selama mereka duduk di sini, nama kau tak pernah lekang dari mulut mereka. Apa yang dah buat pada cucu-cucu aku hah? Kau dah guna-gunakan mereka anak-beranak ya?" Begitu sekali tuduhan emak Khairul terhadapku. Sampai sanggup menuduh aku telah mengguna-gunakan mereka sekeluarga.

"Sampai hati emak tuduh Farah begitu. Farah tak pernah lakukan perbuatan syirik itu mak. Kasih sayang Farah pada anak-anak bukannya dibuat-buat dan Farah juga tahu kasih sayang anak-anak pada Farah juga bukannya dipaksa-paksa. Semuanya lahir secara semulajadi."
"Aku tak percaya. Kalau tidak takkan Khairul yang selama ini tidak pernah membantah kata-kataku,
tiba-tiba sahaja menolak cadangan aku dengan mentah-mentah. Aku tahu kau memang berniat buruk pada kami sekeluarga."

"Astaghfirullah… saya tak pernah lakukannya apa yang emak katakan itu, percayalah!" Lantas aku memegang tangan emak. Namun, ditepisnya tanganku. Hampir membuatkan aku hilang imbangan badan. Nasib baiklah aku sempat berpaut pada sofa.

"Aku mahu cucu-cucu aku. Kau boleh balik sendiri. Aku tak jemput pun kau datang ambil mereka di sini." Emak merampas Azim dari dukunganku. Menjerit-jerit anak kecil itu apabila diambil tanpa kerelaannya. Tangan Azim menggapai-gapai ke arahku. Apabila aku cuba menyambutnya, emak cepat-cepat membawa lari Azim lalu menguncinya ke dalam bilik. Aku hanya melihat gelagat emak tanpa kata. Hanya air mata sahaja yang berjujuran di pipiku.

"Farhan, mari sini!" Tinggi suara emak memerintahkan Farhan. Namun, Farhan memelukku erat. Aku juga memeluk Farhan dengan erat sekali.

"Kalau emak tak benarkan saya bawa balik kedua-duanya sekali, benarkanlah saya bawa Farhan sahaja." Rayuku lagi. Emak memandangku dengan bengis.

"Jangan harap kau hendak merampas cucu-cucu aku ini selagi aku masih hidup." Serentak dengan itu emak cuba merentap tangan Farhan dari dukunganku.

"Emak, tolonglah… saya merayu pada emak…"

Emak tidak menjawab sebaliknya terus berkeras menarik Farhan dari dukunganku. Pelukan Farhan makin lama makin longgar. Aku cemas.

"Emak…" Panggilku meminta simpati. Farhan sudah meraung kesakitan kerana tangannya direntap kasar.

Tak semena-mena emak menampar pipiku. Dan aku terlepas rangkulan Farhan akibat tamparan emak yang kuat itu membuatkan aku tersungkur di lantai. Aku terkedu dengan tindakan kasar emak kepadaku. Ternyata emak amat membenciku.

Aku berpaling ke arah emak. Dia sedang memegang erat tangan Farhan yang ketika itu sedang cuba melepaskan diri dari genggaman opahnya. Sekuat manalah kekuatan kanak-ka nak sekecil Farhan jika dibandingkan dengan opahnya.

"Emak, jangan begini. Saya tahu saya bukan menantu pilihan emak. Tapi, saya betul-betul sayangkan anak-anak Khairul. Mereka bagaikan nyawa saya. Jangan kerana saya mengandung, emak mahu pisahkan mereka dari saya. Jika beginilah, saya turutkan kemahuan emak. Saya akan berhenti, tapi benarkanlah saya bawa pulang anak-anak." Aku tidak berputus asa merayu agar emak membenarkan aku membawa balik Farhan dan Azim. Entah mengapa emak bersikap sebegini kasar dan menuduh aku
telah mengguna-gunakan Khairul anak-beranak semata-mata mahu merebut kasih sayang darinya.

"Huh! Kau buktikan dahulu. Dan kau jangan pula bersenang hati aku akan beri semula cucu-cucu aku
untuk kau jaga selepas kau berhenti kerja. Jangan harap! Lagipun kau sedang mengandungkan anak sendiri dan bakal mempunyai anak sendiri. Sudah tentu kau tidak akan pedulikan mereka berdua. Aku takkan biarkan cucu-cucuku terbiar. Aku akan jaga mereka dan kau pula jaga anak kau sendiri."

"Emakkkk…..!!!!" Jeritku lantang. Mengapa begini teruk sekali tanggapannya terhadapku. Aku bangun dan merapati emak. Farhan masih lagi menjerit-jerit pinta dilepaskan tangannya. Sungguh sedih aku melihat Farhan diperlakukan sebegitu. Dalam waktu yang sama, kedengaran suara Azim meraung-raung memanggil aku dari dalam bilik yang berkunci. Mana aku sanggup mendengar raungan yang meruntunkan jiwaku.

"Sudah, keluar kau dari sini! Aku tak mahu tengok muka kau." Emak menghalau aku. Namun, aku tetap berdiri dan cuba melepaskan cengkaman tangannya dari tangan Farhan.
"Emak, jangan buat Farhan dan Azim begini. Mereka masih kecil. Lepaskanlah tangan Farhan, sakit tangan dia mak."

"Kau jangan nak bermanis mulut di sini, pergi aku dari sini!" Sekali lagi dia menghalau aku. Kali ini dia menolak aku agar keluar dari rumahnya. Dia mencengkam lenganku lalu mendorong aku ke pintu. Aku hanya menurut. Namun, aku amat sedih apabila dia mengheret Farhan tanpa belas kasihan. Farhan kembali menjerit kesakitan. Aku rasa seperti mahu pecah dadaku melihat Farhan meraung kesakitan.

"Pergi kau dari sini. Jangan kau jejakkan kaki ke sini lagi." Serentak dengan itu pintu ditutup dengan kasar. Namun, aku cepat-cepat menghalangnya. Emak tidak berpuas hati lalu melepaskan cengkamannya dari Farhan dan cuba menutup pintu dengan menggunakan kedua-dua belah tangannya. Ketika itulah Farhan terus keluar meluru kepadaku lantas memelukku erat. Emak terkejut apabila melihat Farhan sudah berada di dalam pelukanku.

"Farhan, mari sini!!" Jerkahnya. Farhan menggelengkan kepalanya. Aku menapak ke belakang.
"Kau mahu bawa ke mana cucu aku tu?" Soal emak lalu menerpa kepadaku dan merentap tangan Farhan. Aku yang sememangnya sudah lemah, tidak mampu menghalang emak dari merampas Farhan dariku. Farhan meraung kesakitan. Aku tahu, tangannya direntap kasar oleh emak.

"Emak… jangan buat Farhan begitu. Nanti tangannya patah. Jangan sakiti mereka. Kalau emak nak pukul, pukullah saya tapi jangan anak-anak saya. Mereka kecil lagi." Mendayu-dayu rayuanku kepada emak. Namun, sedikitpun tidak diperdulikan rayuanku itu.

"Anak-anak kau? Jangan mimpilah." Ucap emak dan kemudiannya terus berpaling sambil mendukung Farhan lalu terus hilang di sebalik pintu.

"Emak… buka pintu emak. Jangan begini. Saya minta ampun kerana telah menyakiti hati emak. Tapi, jangan pisahkan saya dengan anak-anak. Saya tak boleh hidup tanpa mereka. Benarkanlah saya bawa mereka pulang." Aku mengetuk-ngetuk pintu. Aku sudah tidak memperdulikan jiran-jiran di sebelah. Emak tidak membalas kata-kataku. Cuma kedengaran raungan tangisan Farhan dan Azim. Sedihnya hati aku mendnegar tangisan mereka. Tapi aku tak tahu apa yang boleh aku lakukan. Mengapa begini???

"Emaakkkk….."
Bab 43 – Khairul



Aku bergegas pulang apabila mendapat panggilan dari emak yang mengatakan bahawa Farhan dikejarkan ke hospital. Belum pun sempat aku bertanya mengapa, emak telah memutuskan talian. Nasib baiklah, waktu itu aku memang sudah berkira-kira mahu pulang setelah menyiapkan kerja-kerjaku.

Kenapa dengan Farhan? Dia cederakah? Mungkin juga demam atau kemalangan. Nauzubillah… minta dijauhkan perkara-perkara buruk dari terjadi terhadap anakku itu! Sebaik sahaja aku sampai di perkarangan hospital, aku terus memakir kereta dan berlari-lari anak menuju ke wad.

Dari jauh aku melihat emak dan ayah kelihatan begitu sugul sekali. Hatiku berasa tidak enak. Parahkah penyakit Farhan. Aku mendekati mereka dengan perasaan yang tidak menentu.

"Emak, ayah… bagaimana dengan keadaan Farhan?" Soalku sebaik sahaja sampai.

"Khairul…" Emak teresak-esak. Hatiku bertambah cuak.

"Ayah, macam mana dengan anak saya?" Aku menyoal ayah pula apabila melihat emak begitu sedih hingga tidak mampu untuk berkata-kata kepadaku.

"Entahlah Khairul. Ayah pun tak tahu macam mana benda nie boleh berlaku. Sebaik sahaja ayah sampai di rumah, ayah dengar Farhan meraung seperti kesakitan. Emak kamu pula sedang mengurut-urut tangannya. Kata emak kamu, Farah cuba melarikan Farhan dan Azim tetapi emak kamu tak benarkan. Tetapi, Farah berkeras dan menyentap tangan Farhan. Agaknya tergeliat tangan anak kamu itu." Beritahu lalu mengeluh perlahan.

"Ayah tak tahan tengok dia meraung begitu. Ayahpun bawalah ke hospital. Dah hampir sejam dia masuk sampai sekarang tak keluar-keluar." Sambung ayah kembali.

Aku menahan rasa di dalam hati. Tak mungkin Farah sanggup mengasari Farhan kerana dia terlalu menyayangi anak-anakku. Tapi, takkanlah pula emak mahu mengada-adakan cerita.

"Betulkah apa yang emak katakan ini?" Aku menyoal emak yang sedang duduk di atas kerusi. Serta merta emak mendongak kepadaku yang sedang berdiri.

"Kau tak percaya pada emak?" Emak menyoalku semula.

"Bukan begitu, tapi… tak mungkin Farah sanggup mengasari Farhan. Dia terlalu sayangkan Farhan, begitu juga dengan Azim."

Apabila mendengar bicaraku, tiba-tiba sahaja emak menyinga.

"Heh, depan kau tentulah dia tunjuk sayang. Belakang kau, ada kau tahu apa yang dia dah buat pada anak-anak kau tu. Depan aku pun dia berani buat anak-anak kau. Dah jadi begini pun, kau sanggup ketepikan emak semata-mata mahu menangkan bini kau tu. Aku dah agak akan jadi begini." Emak merengus kasar.

Terkedu aku mendengarnya. Aku keliru. Yang mana harus aku percayai. Naluriku atau kata-kata ibuku sendiri.

"Azim mana ayah?" Aku mengalihkan tumpuanku kepada ayah pula.

"Ayah tumpangkan dia pada Kak Ros sebelah rumah kita." Hambar sahaja ayah menjawab soalanku. Aku menganggukkan kepalaku. "Azim mana ayah?" Aku mengalihkan tumpuanku kepada ayah pula.

"Ayah tumpangkan dia pada Kak Ros sebelah rumah kita." Hambar sahaja ayah menjawab soalanku. Aku menganggukkan kepalaku.

Tiba-tiba sahaja pintu wad ditolak perlahan. Kelihatan seorang doktor muda keluar lalu melemparkan senyuman kepada kami bertiga. Aku terus mendapatkan doktor muda itu.

"Doktor, bagaimana dengan keadaan anak saya?"

"Encik ayahnya?" Soal dia pula. Aku segera menganggukkan kepala.

"Oh, encik tak perlu risau. Tangannya cuma tergeliat sedikit. Kemungkinan akibat ditarik atau direntap
dengan kuat. Jadi buat masa sekarang, tangannya terpaksa dibendunglah buat sementara waktu." Jawapan dari mulut doktor itu melegakan hatiku. Setelah bersalam dengan doktor kacak itu, aku menyandarkan badanku ke dinding.

"Emak mahu kau biarkan emak sahaja yang menjaga anak-anak kau itu. Emak dah tak percayakan dia lagi. Kalau ikutkan rasa marah aku nie, mahu saja aku suruh kau ceraikan dia."

"Emak…. Takkanlah sampai mahu saya buat begitu!" Aku cepat-cepat memintas kata-kata emak.

"Habis tu, apa yang kau nak buat? Takkan kau nak tutup mata sahaja dengan perangai bini kau yang mendera cucu-cucu aku nie? Kalau sayang sekalipun, takkan kau sanggup biarkan anak-anak kau jadi korban." Kata-kata emak menusuk ke hatiku. Namun, aku tidak segera membalas kata-kata emak. Aku hanya mendiamkan diri. Ayah pula sudah menghilangkan diri entah ke mana. Agaknya melihat Farhan.

Memang aku sayangkan dia, tapi dia sudah tidak sayangkan aku. Sudah bermacam-macam aku lakukan untuk mengembalikan kemesraan dulu… namun segala-galanya sia-sia saja. Dia sudah tidak memperdulikan akan diriku lagi. Walaupun begitu, tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu tetap dilakukan. Mana mungkin aku mendapat seorang wanita yang setabah dan sebaik Farah.

Tapi, ada kemungkinan juga dia melepaskan rasa marah dan tidak puas hatinya terhadapku kepada Farhan dan Azim. Tapi, tak mungkin!! Farah bukannya begitu. Dia terlalu menyayangi Farhan dan Azim.

"Apa yang kau menungkan? Kau masih tak percaya akan kata-kata emak?" Tiba-tiba sahaja suara emak menerjah ke corong telingaku.

"Bukan begitu, cuma…."

"Emak tahu kau tak percaya dengan apa yang emak katakan itu. Tapi, kau fikirlah sendiri Khairul. Emak
sayangkan cucu-cucu emak. Emak juga tidak sanggup biarkan mereka diperlakukan sebegitu. Takkanlah emak mahu mengada-adakan cerita apabila melihat hal-hal seperti ini. Lagipun emak lihat kau dengan Farah tidaklah seperti suami dan isteri yang lain. Selama emak dan ayah berada di rumah kamu, emak tahu kamu berdua sedang bermasalah. Kamu berdua seperti menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan emak dan ayah. Tapi, emak takkan memaksa kamu memberitahunya. Itu masalah rumahtangga kamu. Emak tak mahu masuk campur. Pandai-pandailah kau urus dan selesaikannya. Dalam hidup berumahtangga memang perlu ada sikap saling percaya antara satu sama lain tetapi perlu juga ada sikap berwaspada. Perangai manusia sukar untuk dijangka. Emak bukannya mahu menghasut, tapi kau dan tengok apa yang sudah terjadi pada anak kau. Takkanlah kau mahu diamkan saja apa yang Farah sudah lakukan. Kau perlu bertindak Khairul. Kau perlu bertegas. Farhan dan Azim sajalah a nak-anak kau. Tiada yang lain lagi. Hari ini nasib baiklah tangannya cuma tergeliat, esok lusa…" Bicara emak terhenti di situ. Emak menepuk-nepuk bahuku lalu berlalu dari sisiku. Terkedu aku mengamati kata-kata emak sebentar tadi. Tak mungkin emak mahu mengada-adakan cerita semata-mata mahu meruntuhkan rumahtangga anaknya sendiri.

Tiba-tiba sahaja perasaan marah terhadap Farah meluap-luap. Tidak aku sangka dia sanggup memperlakukan Farhan sebegitu sekali. Kalau dahulu, dia mencurahkan kasih sayangnya kepada anak kecil itu, tapi sekarang lantaran dendamnya kepadaku, dia sanggup engasari anak kecil itu. Sungguh aku tidak menyangka, wanita yang berwajah lembut dan penuh keibuan boleh bertukar watak dan rupa sebegini.

Farah, abang tak sangka kau sanggup buat begitu kepada
Farhan!!!

Bab 44 - Farah


Masih ternging-ngiang lagi akan tutur bicara Khairul telah yang menghancurkan hati wanitaku ini. Namun apalah dayaku untuk mempertahankan kebenaran sedangkan fikirannya sudah diracuni dengan kata-kata emaknya. Aku masih ingat lagi peristiwa lewat petang tadi...

"Farah! Abang tidak menyangka Farah sanggup buat begitu pada Farhan. Sampai hati Farah mencederakan Farhan. Bukankah dahulu, Farah amat menyayanginya." Ucapnya sebaik sahaja muncul di dalam rumah.

"Farhan cedera? Terukkah bang? Macam mana dengan keadaannya sekarang?" Aku mula gelabah apabila mengetahui Farhan cedera.

"Tak usah berpura-pura bertanya pada abang sedangkan Farah sudah ada jawapannya." Sinis sekali sindiran yang diberikan kepadaku.

"Apa maksud abang? Farah tak faham?" Aku semakin keliru.

"Tak faham? Baiklah, sekarang abang akan buat Farah faham. Dengar sini!" Seraya dengan itu dia mendekati aku lalu mencengkam bahuku dengan kuat. Aku menyeringai kesakitan.

"Sakit bang." Aku mengaduh kesakitan.

"Tahupun kau sakit. Habis, bagaimana dengan Farhan yang kau buat sampai tangannya hampir patah? Budak sekecil itu, sudah tentu tidak tahan menanggung kesakitan seperti itu." Aku terkaku mendengar
kata-kata Khairul. Bibirku bergerak-gerak, cuba untuk menuturkan ayat. Belumpun sempat aku mengeluarkan kata-kata, Khairul sudahpun memintas.

"Abang tahu, abang tidak dapat menjadi suami yang baik untuk Farah. Namun, sejak kebelakangan ini... abang cuba untuk memperbaiki keadaan kita. Tetapi, Farah secara dalam diam-diam telah menolak abang mentah-mentah. Dan Farah melepaskan rasa marah Farah terhadap abang pada Farhan. Dia tidak bersalah. Mengapa harus Farah buat begitu pada dia?" Wajah Khairul yang menyinga tadi tiba-tiba sahaja bertukar muram.

"Farah tak pernah melakukannya bang..." Aku bersuara perlahan. Air mata sudah lama membanjiri pipiku. Aku hanya membiarkannya ia mengalir di pipiku.
"Sudahlah Farah. Mengaku sajalah. Mengapa harus menyembunyikan kenyataan yang sudah terserlah kebenarannya."

"Sumpah bang, Farah tak pernah lakukan apa yang abang katakan itu. Percayalah." Aku merayu kepadanya. Tanganku memegang wajahnya. Namun segera dia menepis tanganku. Tersentak aku dengan perbuatannya itu. Dia terus berpaling lalu menumbuk dinding, melepaskan kemarahannya.

"Abang..." Panggilku lalu mendekatinya. Aku menjamah belakangnya. Tiada reaksi. Lantas aku memeluknya dari belakang. Terdengar keluhan darinya.

"Percayalah abang, Farah takkan sanggup biarkan seekor nyamukpun menggigit anak-anak inikan pula mahu mencederakan mereka... tidak sekali-kali. Percayalah pada Farah." Rayuku lagi.
"Sudah!!! Jangan kau berpura-pura lagi. Emak sudah menceritakan segala-galanya pada abang. Kau telah merampas Farhan dari dukungan emak dan kau cuba melarikan anak-anak. Apa yang Farah lakukan ini? Mengapa harus mahu melarikan mereka. Emak itu, opah mereka. Bukannya orang lain!"

Apa? Aku cuba melarikan Farhan dan Azim? Emak menuduh aku telah menyebabkan Farhan cedera? Mengapa emak melakukan semua ini kepada aku? Mengapa??

"Mengapa diam? Terkejut kerana rahsia sebenar sudah terbongkar?" Khairul menyindirku lalu mengrungkaikan pelukanku.

"Tak bang. Bukan Farah, emak... emak yang merampas Farhan dari pelukan Farah. Emak juga mengheret Farhan dan mengurung Azim di dalam bilik semata-mata tidak mahu membenarkan mereka pulang bersama Farah. Emak sengaja mahu memisahkan anak-anak dari Farah. Emak mahu Farah berhenti kerja dan selagi Farah tidak menyanggupinya, dia takkan benarkan Farah membawa balik Farhan dan Azim. Tetapi, setelah Farah bersetuju, emak tetap tidak mahu memulangkan anak-anak pada Farah. Farah tak boleh hidup tanpa Farhan dan Azim. Tetapi, sumpah bang... bukan Farah yang menyebabkan tangan Farhan jadi begitu"Aku cuba untuk membela diriku sendiri. Namun, riak wajah Khairul tetap tidak berubah. Di wajahnya tergambar perasaan benci yang meluap-luap terhadapku.

"Kau menuduh emak pula?" Soalnya sambil mengetap gigi.

"Abang, percayalah. Abang kenal hati budi Farah. Farah takkan lakukan semua itu pada anak-anak."

"Jadi, Farah kata emak sengaja mengada-adakan cerita ini?" Suaranya menengking aku. Aku terasa begitu kerdil di hadapannya tika itu.

"Bukan itu maksud Farah. Bukan Farah mahu memburuk-burukkan emak, tapi kenyataan! Tolonglah abang... Farah merayu..."Aku terus melutut dan memeluk kakinya. Namun sedikitpun dia tidak memperdulikan diriku.

"Abang tidak menyangka Farah begini. Abang sangkakan Farah mulia, tapi perangai Farah tak ubah seperti perempuan jalang di jalanan."

"Abang!!!"

Air mata kembali mengalir lesu di wajahku. Entah bera pa lama aku berkeadaan begini. Semenjak aku sampai lewat malam, hinggalah kini... air mata tidak jemu-jemu menemaniku. Tidak aku menyangka dia sanggup menghina aku sedemikian. Dia menyamakan tarafku seperti perempuan jalanan yang tidak bermaruah. Mengapa dia berubah begini? Dahulu, akulah yang disayanginya walaupun tahu aku tidak disukai oleh emaknya. Tapi kini... mengapa dia berubah? Adakah kerana hasutan dari emaknya hingga dia sanggup melontarkan kata-kata sebegitu kesat terhadapku.

Kemuncak pertengkaran kami, akhirnya aku dihalau keluar dari rumah itu. Walaupun sudah puas aku merayu kepadanya. Namun, sedikitpun dia tidak sudi memandang wajahku.

"Keluar kau dari sini. Aku tak mahu melihat wajah kau di dalam rumah ini lagi. Kau boleh bawa apa sahaja barang yang kau mahu. Tetapi, jangan sekali-kali kau jejakkan kaki kau di rumah ini lagi."
Begitulah kata-katanya. Tika itu azan maghrib sedang berkumandang. Terasa hancur luluh hatiku setelah
dihalau bagaikan anjing kurap. Ke mana harus kutuju? Aku tiada siapa di sini. Balik kampung? Aku tak mahu menyusahkan hati emak dan abah. Pergi ke rumah Hanim? Aku tak mahu menyusahkan dia. Akhirnya aku kembali ke rumah yang aku duduki sebelum berkahwin dengan Khairul. Aku bernasib baik kerana masih menyimpan kunci rumah ini. Rumah ini adalah kepunyaan emak dan abah. Dengan langkah yang longlai, setelah mengemaskan pakaian dan barang-barangku, aku keluar dari rumah itu dengan perasaan yang begitu berat. Tetapi aku sempat mencapai gambar-gambar Farhan dan Azim serta beberapa helaian pakaian mereka buat mengubat rinduku.
Jam berdenting lima kali. Namun mataku masih lagi terbuka di dalam kegelapan. Air mata sudah kering. Aku memikirkan nasibku setelah apa yang berlaku siang tadi. Bagaimana aku mahu teruskan hidup dalam keadaanku yang begini? Dalam keadaan aku yang berbadan dua, seharusnya mendapat belaian, jagaan dan kasih sayang dari suami. Tapi, kini... aku terkapai-kapai seorang diri untuk meneruskan kehidupan ini. Mampukah aku untuk mengharungi hidup ini?
Bab 45 - Khairul

Waraskah aku dengan tindakanku menghalau isteriku keluar dari rumah? Kejamkah aku membiarkan dirinya membawa diri seorang diri malam begini? Ke mana hendak dia tuju? Di mana dia hendak berlindung? Aku sayangkan dia. Sungguh... aku terlalu menyayanginya. Namun aku tidak dapat menerima jika dia telah menyakiti anakku lalu menuduh emak yang bertanggungjawab di atas kecederaan Farhan.

Hanya Farhan dan Azim sahajalah 'harta' yang ditinggalkan oleh Linda padaku. Mereka aku tatang bagai minyak yang penuh. Segala kemahuan mereka aku penuhi. Dan kerana mereka jugalah, hingga kini aku
tetap gagah berdiri dan terus bersemangat meneruskan hidup setelah kehilangan ibu mereka yang juga isteriku, Linda.

Namun, dengan kehadiran Farah dalam keluargaku... diharapkan dapat menyingkirkan kegelapan dan kesuraman yang selama ini membelenggu hidup kami tiga beranak. Farah berjaya menceriakan kembali hidup kami. Tapi, aku sendiri yang tak sudah-sudah menyakiti dan menyeksa perasaannya. Aku sebenarnya yang bersalah. Aku jugalah yang menjadi punca kepada apa yang telah Farah lakukan kepada Farhan. Akuuu...

"Papa, mana Auntie Mama?" Suara Farhan menyentap aku dari lamunan yang panjang. Aku menumpukan perhatianku kepada Farhan. Aku mengusap-usap rambutnya. Dia memandangku seolah-olah menantikan jawapan.

"Auntie Mama tak ada." Jawabku perlahan.

"Auntie Mama pegi mana?" Dia masih tidak berpuas hati.

"Papa tak tahu." Balasku lagi.

"Sian Auntie Mama..." Keluh Farhan. Keluhan Farhan menarik perhatianku.

"Kenapa pula kesian pada Auntie Mama?" Aku pula menyoalnya. Aku membetulkan gebarnya yang hampir melurut ke bawah. Tika ini aku sudah membawa pulang Farhan ke rumah emak memandangkan kecederaan yang dihadapinya tidak terlalu serius.

"Tadi opah marah Auntie Mama. Auntie Mama nangis. Auntie Mama nak bawa A'an balik. Opah tak beri. Auntie Mama dukung A'an. Lepas tu, opah tolak Auntie Mama. Auntie Mama jatuh. Sian Auntie Mama." Terkedu aku mendengar kata-kat a Farhan. Betulkah apa yang aku dengar ini? Farhan sudah mula terisak-isak. Seolah-olah turut merasai kesedihan dan kesakitan yang Farah hadapi.

"Betul ke? Jadi, siapa yang buat tangan A'an sakit?" Dadaku berdebar-debar menantikan jawapan dari Farhan. Aku mengesat air mata yang mengalir dari pipi gebu anakku.

"Opah!" Hah? Emak yang lakukan? Tapi, kata emak tadi Farah yang lakukan. Sudah bercanggah cerita yang aku terima. Tapi, mungkin boleh juga Farhan berbohong. Tapi, bolehkan budak sekecil Farhan mereka-reka cerita? Mungkin juga kerana dalam usia sebegini, mereka lebih banyak berimiginasi. Tambahan pula dia teramat sayangkan Farah.

"Oklah sayang. A'an tidur ya! Papa pun dah penat."Pujukku sambil menepuk-nepuk perlahan tangan Farhan.
"A'an nak Auntie Mama!" Bentaknya lalu kembali terisak-isak.

"Papa tak tahu mana Auntie Mama pergi?"
"Papa carilah..." Pinta Farhan. Aku mengeluh perlahan lalu menganggukkan kepala sekadar untuk memuaskan hatinya. Setelah yakin dengan diriku akan mencari Auntie Mamanya, barulah dia memejamkan mata. Aku menghela nafas lega.

"Tadi, opah kurung adik dalam bilik." Tiba-tiba sahaja Farhan kembali bersuara. Dahiku berkerut mendengar kata-kata Azim.

"Opah kurung adik?" Aku menyoalnya kembali. Dia mengangguk pantas.

"Kenapa?"

"Sebab adik nak ikut Auntie Mama balik." Selepas berkata begitu dia kembli memejamkan matanya semula.

Kepalaku makin berserabut dengan cerita Farhan. Farhan menyatakan bahawa emak yang membuatkan tangannya terseliuh dan emak juga telah mengurung Azim di dalam bilik. Mengapa emak lakukan semua itu. Dan betulkah emak yang lakukannya? Sanggupkah emak bersikap sebegitu semata-mata kerana bencikan Farah? Emak takkan begitu sikapnya. Tapi, kata-kata Farhan juga tidak boleh dipandang remeh. Mungkin dia bercakap benar dan emak pula mereka cerita. Tak mungkin emak begitu. Tetapi, jika didorong dengan rasa bencinya terhadap Farah, tidak mungkin dia akan lakukan begini. Tapi, mengapa emak sanggup buat begitu?
Bab 46 - Khairul

Kepalaku berserabut asyik teringatkan permintaan dari Farhan yang mahu dicarikan Auntie Mamanya. Azim juga asyik memanggil namanya dan sejak kebelakangan ini, kesihatan mereka juga tidak begitu baik. Mungkin kerana teramat rindukan Farah. Hampir sebulan Farah keluar dari rumah setelah aku menghalaunya. Dan sampai sekarang juga aku tidak tahu di mana dia berada dan apa yang berlaku padanya.

Pernah juga aku terserempak dengan Hanim, rakan sepejabatnya. Sekadar berbalas senyuman apabila bertemu di dalam lif. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Lidahku kelu untuk bertanyakan tentang Farah. Takut jika aku tersalah bicara, mungkin akan menimbulkan kehairanan dan tanda tanya pada dirinya.

"Apa yang kau menungkan tu?" Sergah ayah dari belakang menyentakkan lamunanku. Aku membetulkan kedudukanku di kerusi.

"Tak ada apa-apa ayah." Jawabku perlahan.

"Teringatkan Farahkah?" Duga ayah. Aku hanya tersenyum. Ayah juga turut tersenyum.

"Ayah tak nampak apa pincangnya Farah tu pada kau. Malah secara jujur ayah katakan, ayah tidak percaya yang dia sanggup mencederakan anak-anak kau. Dan bukan juga ayah mahu menuduh emak kau yang bertanggungjawab. Mungkin ada salah faham yang berlaku antara emak kau dan Farah. Hanya mereka berdua yang tahu hal sebenarnya. Ayah sendiri pun tak tahu apa yang terjadi pada hari itu. Yang ayah tahu, apabila ayah sampai sahaja di rumah, emak kau menggesa ayah membawa Farhan ke hospital." Ayah menarik nafas sebentar. Aku menumpukan perhatianku kepada ayah. Sedikit sebanyak kata-kata ayah menusuk ke dalam fikiranku.

"Farhan dan Azim juga ayah tengok teramat rindukan Farah. Setiap masa mereka asyik menyebut-nyebut nama mama mereka. Kau tahu-tahu sajalah emak kau tu. Bukannya suka sangat cucu-cucu dia tu asyik menyebut si Farah. Bertambah marah dan sakit hati dia. Kadang-kadang ayah kasihan melihat emak kau tu. Dia cuba untuk mengambil perhatian Farhan dan Azim. Tapi, nampaknya budak-budak tu terlalu sayangkan Farah hinggakan emak kau mer asa dia tersisih dari mendapat kasih sayang dari cucu-cucunya sendiri. Budak-budak… bukannya mereka tahu tentang hati dan perasaan orang dewasa. Kesihatan Farhan dan Azim juga ayah tengok semakin teruk kebelakangan ini. Badan mereka agak panas. Dah berapa lama begitu?" Berkerut dahinya ayah menyoalku.

"Dah hampir seminggu ayah." Aku menjawab tanpa memandang wajah ayah. Kedengaran ayah mengeluh.

"Hmmm… kau sendiri tengok. Nampak sangat mereka rindukan Farah. Sudahlah Khairul. Pergilah cari Farah semula dan bawa dia pulang. Kalau betul-betul dia bersalah, maafkan sajalah kesalahannya. Mungkin dia ada sebab-sebab tersendiri hingga memaksanya buat begitu. Tapi, satu sikap kau yang ayah kesalkan sangat. Kau menghukumnya sebelum sempat dia membukti bahawa dirinya tidak bersalah. Kau menghakiminya dengan perasaan marah kau bukannya dengan fikiran rasional kau. Andainya Farah tidak bersalah dalam hal ini, kau akan menyesal buat selama-lamanya. Hatinya sudah terluka." Terkedu aku mendengar bicara ayah. Air liur yang kutelan dirasakan begitu pahit.

"Adakah saya sudah silap membuat keputusan ayah?" Pertanyaanku disambut dengan senyuman sinis dari ayah.

"Jangan tanya ayah, tanya diri kau sendiri. Tanya diri kau samada apa yang kau lakukan itu betul atau salah? Adil atau tidak?" Aku mencengkam rambutku. Seribu kesalan menyesakkan kepalaku.

"Saya tak tahu dia di mana sekarang?" Akhirnya aku mengalah. Aku sendiri mengaku yang aku juga turut
merindui Farah. Rumahku terasa begitu sunyi tanpa kehadiran Farah. Akibat tidak tertahan dengan kesunyian yang melanda, setiap minggu aku membawa pulang Farhan dan Azim ke kampung. Dan sekarang ini, aku berada di kampung.

"Kaukan tahu tempat kerjanya. Cuba cari di sana. Mungkin kawan-kawannya juga dapat membantu. Ikhtiarlah Khairul. Janganlah kau mensia-siakan perempuan sebaik Farah itu." Sekali lagi aku terkedu mendengar kata-kata ayah.

Mengapa ayah berkata begitu? Adakah aku telah silap membuat keputusan? Perempuan sebaik Farah telah a ku lepaskan hanya kerana salah faham yang berlaku. Tapi, benarkah apa yang Farhan ceritakan padaku dulu. Benarkah emak yang bertanggungjawab ke atas kecederaan yang Farhan alami? Ingin aku bertanya sendiri pada emak, tetapi aku batalkan sahaja niatku itu. Aku tidak mahu emak menuduh aku tidak mempercayainya. Hati emak perlu aku jaga, tetapi hati Farah? Aku telah melukakan hatinya malah telah menghinanya.

Di mana harus aku mencarinya? Tidakkah dia merindui Farhan dan Azim sebagaimana anak-anak itu merinduinya? Andainya aku dapat mencarinya, mahukah dia kembali hidup bersama aku dan anak-anak? Dapatkah dia memaafkan diriku?

"Sudahlah Khairul. Dengar kata ayah. Pergilah cari dia. Bawa dia pulang. Insyaallah, demi Farhan dan Azim, dia akan kembali semula pada kau. Cuma yang perlu aku lakukan hanya mencari dan memujuknya untuk kembali." Ayah menepuk-nepuk bahuku lalu beredar dan meninggalkan aku termangu-mangu seorang diri di ruang tamu.

"Papaa…" Kedengaran suara rengekan dari Azim. Dia sedang terisak-isak sambil berlari-lari anak
mendapatkan aku.

"Kenapa nie sayang?" Soalku lalu mengangkatnya lalu aku letakkan dia di atas ribaku.

"Opah jahat! Dia pukul adik…" Azim terus terisak-isak di pangkuanku. Aku memujuknya lantas aku mendukungnya. Aku mencari-cari kelibat emak. Seketika kemudian aku terdengar riuh-rendah di dapur. Aku mengaturkan langkahku menuju ke dapur.

"Kenapa dengan kau nie ha? Degil sangat? Makan sajalah apa yang opah masak!" Kedengaran suara emak meninggi dari ruang dapur. Aku mempercepatkan langkahku. Aku sampai di ambang pintu. Kelihatan emak sedang melayan Farhan makan.

"Opah masak tak cedap. A’an nak Auntie Mama juga masak." Bentak Farhan lalu menolak pinggan berisi
bubur nasi.

"Eh, eh budak nie! Ini mesti perempuan tu lah yang ajar jadi biadap macam nie." Muka emak menyinga
apabila nama Farah disebut-sebut oleh Farhan.

"Opah jahat! Opah pukul Auntie Mama. Sebab tu la Auntie Mama lari. Tak balik-balik." Farhan masih lagi memb entak. Tetapi emak nampaknya sudah hilang sabar, lalu mengangkat tangan dan cuba untuk menampar pipi Farhan.

"Emak!!!" Tahanku lalu cepat-cepat menghampiri mereka. Emak kelihatan serba salah dan sedikit cemas.

"Tengoklah anak kau nie. Nak suruh makan pun susah. Tak kuasa aku nak layan lagi. Kau sendiri sajalah yang beri anak kau makan." Kata emak lalu terus berpaling dan beredar dari situ.

Aku terkejut melihat tindakan emak tadi yang hampir mahu menampar Farhan. Hanya kerana Farhan asyik menyebut tentang Farah, emak seperti hilang pertimbangan dan tak dapat menahan sabar. Emak juga seperti teramat bencikan Farah. Nampaknya aku sudah dapat tahu jawapannya. Tidak syak lagi. Jadi, betullah tanggapan ayah selama ini dan apa yang Farhan beritahu kepadaku, semuanya benar belaka.

Farah… abang bersalah terhadap kau. Abang telah menghukum kau tanpa memberi peluang kepada kau untuk membuktikan kebenaran. Maafkanlah abang Farah. Terlalu besar dosa abang terhadap kau. Di manakah kau berada sekarang sayang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan